Breaking News

Jangan biar suami mati kering | Husband and Wife, passion, sex and relationships, romance

Jangan biar suami mati kering | Seks Suami-Isteri | Bercinta Dengan Suami Orang | SuamiPerkasa.com | Suami Cepat Tewas | Berbagi Suami | SuamiOnline.com | Kisah Suami | Info Seks Suami Isteri | Sarapan Buat Suami | ghairah suami | Husband and Wife, passion, sex and relationships, romance
Minggu ini dipaparkan kisah paling unik pernah saya dengar yang lahir dari mulut suami itu sendiri yang melahirkan rasa tidak senang hati, terhadap isterinya. Kadang-kadang rasa pelik juga dengan kehidupan ini, ada suami terlalu sayangkan isteri, tetapi si isteri tak ambil kisah. Ada pula isteri menyanjung, mencintai suaminya, tetapi dia diperlakukan seperti kain buruk untuk pengesat kaki. Namun mari kita ikuti kisah ini, dan berilah pandangan anda apa harus suami ini lakukan.

Setelah tiga minggu menunda pertemuan kerana kesibukan menyambut Hari Raya, dan cuti raya yang panjang, akhirnya saya menemui ‘Penyupower’ di sebuah tempat makan berhampiran tempat kerjanya.

Selama berkenalan melalui e-mel, anak muda ini menamakan dirinya ‘Penyupower Menangis’ satu nama yang unik, ketika bertemu wajahnya bukanlah macam penyu, tetapi handsome, berkulit putih dan memang power, tetapi mengapa dia menangis? Katanya, dia menangis kerana mengenangkan nasibnya sudah berumah tangga, tetapi tidak mendapat layanan sewajarnya daripada isterinya

Petang itu ‘Penyu’ atau Shahrul menceritakan segalanya tentang kehidupannya dan dia langsung tidak menyangka nasibnya begitu malang.

‘‘Saya bertemu Hanisah kira-kira sembilan tahun lalu secara tidak langsung ketika mencari-cari bas di sebuah stesen di utara kerana urusan kerja. Dari pertemuan itu lahirlah perkenalan. Saya cepat tertarik hati dengan kelembutan dan kebaikannya. Tak sampai tiga bulan berkenalan kami berkahwin.

‘‘Semua urusan merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan saya serahkan kepada emak, kerana saya sibuk dengan tugas di KL, sementara Hanisah di utara. Saya cuma balik untuk urusan pernikahan dan bersanding. Emak tak banyak soal, kalau suka dia ikut saja. Asalkan saya bahagia.

‘‘Selesai kahwin saya bawa Hanisah ke KL, dan dia berhenti kerja kerani di sebuah syarikat di utara. Di sinilah bermula segalanya, saya fikir tentulah bahagia setelah beristeri tetapi malangnya Hanisah sejuk.

‘‘Dia tidak seperti pengantin baru, ada pengantin baru sampai tak keluar bilik, tetapi dia menolak apabila saya mendekatinya apa lagi untuk melakukan hubungan seks. Saya tak tahu masalahnya, tetapi memikirkan kami baru kahwin dia berhak untuk berasa malu. Masalah itu saya pendamkan begitu saja sambil memikirkan takkan lari gunung dikejar dan biarlah dia ambil masa dan lakukan dengan rela.

‘‘Tetapi malangnya hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun, dia tetap sejuk. Malah lebih teruk lagi membuatkan saya merasakan sesuatu yang tidak kena. Tetapi kerana saya sering diburu tugas yang banyak, saya berjaya melupakannya seketika. Kerana tugas juga amat penting. Dan saya sering berpindah kerana tugas, dan kami terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

‘‘Masuk tahun ketiga saya terfikir untuk berpisah jika Hanisah masih dengan kelakuannya. Tetapi nak jadikan cerita dia mengandung. Hasrat saya terbantut. Saya gembira akan jadi ayah. Tetapi keadaannya tidak berubah malah lebih teruk, dia tidak mahu melayan saya dan sentiasa menolak.

‘‘Pernah beberapa kali kami berbincang tentang hubungan suami isteri, keperluan seks, mengapa dia dingin. Tapi pemikirannya jauh berbeza. Saya belikan buku ilmiah dia tak baca pun. Padanya seks itu kotor, kerana itu setiap kali saya berpeluang buat hubungan dengannya, dia buat persediaan rapi, kunci pintu, tingkap, padam lampu dan lapik tilam dan badannya dengan kain khas supaya badannya tak kotor.

‘‘Apa saya ini kotor sangat ke hinggakan dia jijik, apalagi kalau saya ingin memeluk dan menciumnya. Dia tak mahu saya mencium mulutnya, katanya, dia rasa nak muntah. Gigi saya bersih, tak rosak, tak berlubang. Apa hal ni!

‘‘Bila ada anak, keadaan bertambah teruk, dia tidur dengan anak, saya disuruh tidur di tempat lain. Apa dah jadi ni! Saya pernah berbincang dengan kawan-kawan lelaki, mereka suruh saya bercerai ketika baru kahwin. Kalau dibiarkan teruk nanti. Kini semuanya benar. Saya bukan hendak bercerai tapi cemburu dengan kawan-kawan yang mendapat layanan terbaik daripada isteri.

‘‘Kerana tugas juga saya ditukarkan bekerja di seberang laut, tugas saya memaksa saya berada di sana dua bulan dan bercuti tiga minggu kembali ke tanah air. Saya fikir setelah sekian lama ditinggalkan tentulah dia berubah. Malangnya dia tetap sama, dia tidak pernah pedulikan saya yang kehausan setiap kali balik dari luar negara.

‘‘Bayangkan perasaan saya dua bulan tanpa isteri, bila cuti tiga minggu balik rumah, isteri pula tak mahu layan. Kalau saya lelaki lain mungkin dah lama dia kena pukul atau diceraikan. Atau saya puaskan nafsu di luar. Di sana ada ramai wanita perlukan lelaki, tetapi saya tahu halal haram, kerana sejak kecil dididik dengan kesedaran agama, itulah penyelamat saya.

‘‘Bermacam cara saya lakukan untuk menawan hatinya menyayangi saya. Berkali- kali saya katakan dia tak perlu masak kalau masak dan kemas rumah memenatkannya hingga tidak dapat melayan saya. Saya perlukan isteri, bukan tukang masak atau tukang cuci. Saya mahu hidup bahagia seperti orang lain yang mempunyai isteri normal sentiasa menyiapkan diri melayan kehendak suami.

‘‘Kalau dia tak memasak saya boleh beli di restoran, kalau dia tidak cuci pakaian saya boleh hantar dobi, tapi kalau dia tak berikan layanan seorang isteri di manakah saya akan memperoleh semua itu?

‘‘Bila setiap kali pulang ke rumah, waktu tulah dia nak mandi, atau mandikan anak, nak masak, nak berkemas. Sepatutnya dia menyiapkan diri, tunggu saya di muka pintu untuk sambut saya dengan pelukan dan ciuman serta kata-kata manja.

‘‘Pernah saya peluk dia dari belakang ketika dia sedang memasak, niat saya nak bermesra, nak bergurau senda dan nak bermanja. Dia boleh menjerit pada saya suruh lepaskan dan halau saya duduk depan.

‘‘Ketika di luar negara, saya belikan dia macam-macam hadiah contohnya jam tangan adalah beberapa kali dia pakai lepas tu tak pakai dah. Bila tanya mana jam, dia kata lupa entah mana tah. Belikan minyak wangi yang mahal pun dia malas nak pakai. Belikan pakaian dalam yang boleh membentuk tubuh supaya lebih cantik berharga RM2,500 pun dia rasa susah nak pakai, disimpan dalam almari. Belikan baju tidur yang mahal dia tak pakai alasannya tak selesa dan terlalu seksi.

‘‘Pernah saya belikan baju seksi sikit suruh dia pakai, dia kata memalukan. Salahkah isteri berpakaian seksi dalam rumah untuk suaminya? Bukan tunjuk kat orang. Itu belum masuk aksesori lain yang saya belikan, tapi dia tak suka. Dia langsung tak jaga badan dan penampilan diri. Rambut jarang cuci apatah lagi menggunakan peralatan pewangi luaran dan dalaman badan.

‘‘Saya pernah sambut hari lahirnya di salah sebuah restoran terkenal di KLCC, malangnya semasa orang ramai menyanyikan lagu selamat hari lahir, masa tu juga dia tengking dan marahkan saya kerana dia tak suka. Saya amat malu ditengking di hadapan orang ramai. Habis tetamu.

‘‘Saya juga tunaikan permintaannya belikan kereta, bawa dia melancong ke luar negara, ke Sabah dan Langkawi juga tidur di hotel lima bintang dengan harapan dia terbuka selera memberikan layanan yang baik pada saya, tetapi hampa.

‘‘Di luar negara, saya menulis sajak meluahkan isi hati saya padanya. Bila saya pulang ke Malaysia dia langsung tidak memberikan reaksi. Sejuk!

‘‘Kerana terlalu sedih, saya menangis dalam kapal terbang semasa keluar negara atau dalam teksi ketika ke KLIA memikirkan mengapakah Allah berikan saya isteri seperti ini? Sudah puas berusaha dan berdoa supaya dia berubah dengan perubatan moden dan tradisional tapi dia tetap sejuk.

‘‘Kalau ditegur dia kata saya bencikan dia, kalau bercerai dia ugut ambil anak-anak. Pada Hanisah, lakukan seks hanya untuk dapatkan anak. Kami jarang lakukan hubungan seks, kalau terjadi pun dua atau tiga bulan sekali. Akhirnya saya puaskan nafsu sendiri walaupun di sebelahnya.

‘‘Saya pernah temukan dia dengan isteri kawan-kawan saya supaya dia boleh berkongsi pengetahuan tentang hal-hal suami isteri, tetapi dia buat selamba aja tak berminat berkawan. Akhirnya mereka kata Hanisah susah didampingi.

‘‘Bila dapat dua anak keadaannya semakin teruk, pukul 10 masuk tidur, alasan tidurkan anak-anak, tapi dia ikut tidur. Dibiar saya sendirian. Kerana kesiankan dia sibuk dan letih menjaga anak-anak dan rumah, saya sediakan pembantu rumah tapi dia tak berubah. Akhirnya pembantu rumah jadi teman saya. Dia gosokkan pakaian, buatkan minuman waktu menonton TV, dia sediakan sarapan, carikan stoking dan bersihkan kasut sewaktu saya nak pergi kerja.

‘‘Dialah tempat saya curahkan masalah. Oleh kerana tertekan dengan kelakuan Hanisah, saya buat keputusan kahwin dengan pembantu rumah, Tuti. Saya nikah di kampungnya. Saya bawa dia balik dan sediakan sebuah rumah. Waktu itu saya rasa saya cukup bahagia hidup bersuami isteri. Saya dilayan bagaikan raja. Dia tidak menepis, membantah apa lagi menolak. Jiwa saya tenang, nafsu saya terjaga amal ibadat sempurna. Layanannya amat memuaskan tidak pernah saya terima daripada Hanisah.

‘‘Hanisah tahu kami dah nikah. Bila dia tanya kenapa kahwin lagi, saya katakan kerana dia tidak mahu layan saya. Dia diam. Saya tanya apakah sejak kahwin dua dia kurang mendapat perhatian atau kurang tanggungjawab? Katanya tidak.

‘‘Tetapi ketika pulang ke kampung, dia beritahu emak, saya kahwin lagi dengan pembantu rumah. Emak mengamuk, dia suruh saya berpisah tanpa beri saya peluang membela diri. Tetapi kerana tak mahu derhaka, saya ceraikan Tuti. Dia terima kenyataan dengan tenang sebab saya sudah beritahu dia dari awal lagi. Tuti pulang ke kampung halamannya tanpa anak.

‘‘Setelah bercerai, hidup saya kembali hambar, tawar dan tidak keharuan bukan kerana ingatkan Tuti, tetapi kerana perangai Hanisah. Bila keadaan tidak dapat dikawal lagi, saya akan memuaskan nafsu sendiri. Dia tidak melayan saya seperti isteri lain lakukan terhadap suami mereka. Saya dah pergi kaunseling di pejabat agama dan jalan terbaik berkahwin lagi. Tetapi adakah itu jalan terbaik buat saya? Adakah insan di luar sana memahami masalah saya dan sanggup berkongsi hidup dengan saya?

‘‘Saya buntu memikirkannya, bagai nak gila. Saya pernah minta bantuan keluarga Hanisah tetapi usaha mereka juga gagal. Dia tetap dingin. Kini hati saya sudah tawar, hidup saya kosong, walaupun saya miliki keperluan material, tapi jiwa saya sunyi. Hidup saya hanya untuk besarkan anak.

‘‘Sampai bilakah saya harus hidup begini, apakah jalan terbaik saya lakukan untuk meneruskan hidup ini, supaya hati kembali ceria, jiwa jadi tenang dan bersemangat untuk saya berjaya di dunia dan di akhirat? Demikian luahan hati kecewa Shahrul ‘Penyupower’ yang sedang menangis.

Ramaikah isteri yang dingin seperti Hanisah? Kalau dah dingin dan enggan berusaha untuk memperbaiki diri sendiri, jangan marah kalau suami kahwin lagi.

[sumber]

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]





No comments