Breaking News

Gusar tunang, bakal mentua tak penting agama | Question and ask all about marriage, life, money

SAYA wanita berusia 23 tahun, sudah bertunang dan merancang mendirikan rumah tangga Mac 2008. Masalah saya ialah tidak suka kepada bakal mentua kerana mereka kurang mementingkan agama. Dalam tempoh perkenalan dan pertunangan saya banyak mengenali serta mengetahui mengenai keluarga tunang saya. Bapa tunang saya mempunyai kebolehan menghalau makhluk halus, tetapi peliknya, saya tidak pernah melihat beliau sembahyang. Malah, pernah kami keluar bersama dari pagi hingga petang, beliau tidak meminta untuk berhenti di masjid mendirikan solat. Lagi satu, penampilan bapa mentua tidak sekemas bapa saya yang bertubuh sasa serta mementingkan nilai agama kepada isteri serta anak. Perkara itu membuatkan saya memandang rendah keluarga tunang saya. Persoalannya bagaimana saya dapat menerima keluarga bakal suami. Antara tujuan saya mengahwini tunang adalah untuk mengubah beliau menjadi lebih baik dengan bantuan ibu bapa saya.

Siswi positif
Serdang, Selangor

———————

Saya ada beberapa pandangan mengenai masalah saudari. Pertama, kembali kepada asas perkahwinan dalam Islam, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang wanita itu dikahwini kerana keturunannya, hartanya, rupa parasnya dan agamanya. Maka, pilihlah yang beragama nescaya beruntung kedua tanganmu.”

Apa yang boleh disimpulkan ialah Nabi SAW mengatakan lumrah bagi seseorang itu berkahwin kerana empat sebab terbabit. Tetapi, sebab yang keempat akan membawa kebahagiaan berpanjangan dan berkekalan (dunia hingga akhirat).

Inilah kiasan di sebalik ‘beruntung kedua tanganmu’. Sebab lain sifatnya duniawi dan sementara. Harta bukan sesuatu yang kekal dan boleh pindah milik pada bila-bila masa. Rupa paras ada tempoh luputnya. Wajah cantik tidak kekal lama dan ketika itu pandangan beralih kepada lebih menawan.

Lelaki yang bijak akan memilih isteri yang beragama. Bukan mudah untuk seorang berubah melalui perkahwinan. Ramai bertekad untuk mengubah pasangannya selepas berkahwin. Kenyataannya ramai yang gagal kerana yang ingin mengubah itu juga tidak kuat pegangan agamanya.

Penghayatan agama adalah sesuatu yang dihayati dan bukan didorong faktor luaran. Penghayatan agama bermula dengan pendidikan sejak kecil hingga amalan seperti solat dan kewajipan lain menjadi darah daging dalam diri seseorang.

Jika seseorang itu mahu berubah dan menghayati agama kerana jatuh cinta pada seseorang, ia sangat diragui. Keinginannya untuk berubah adalah didorong rasa cintanya. Kerana cinta ia sanggup melakukan apa saja.

Tetapi, apabila sudah berumahtangga dan cinta mulai pudar kembalilah ia kepada cara lamanya. Saya tidak mengatakan tidak ada orang yang berubah selepas berkahwin, tetapi peratus amat kecil sehingga tidak boleh dijadikan sandaran.

Jika lelaki berhadapan dengan cabaran besar untuk mendidik isteri yang kurang beragama, bagaimana pula halnya isteri hendak mendidik suami? Suami punya egonya tersendiri apatah lagi suami yang kurang agamanya.

Dia sekali-kali tidak akan tunduk kepada isteri yang dianggap cuba untuk mengajarnya. Sedangkan perintah Allah pun tidak diendahkan, inikan pula untuk menerima nasihat seorang isteri? Jauh panggang daripada api.

Pembawaan bakal bapa mentua dan anaknya yang tidak mendirikan solat juga sudah cukup untuk menggambarkan latar belakang pendidikan agama bakal suami anda. Barang siapa yang meninggalkan solat bererti meruntuhkan agamanya.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama, sesiapa yang meninggalkannya bererti meruntuhkan agama.”

Mungkin tidak adil jika saya kaitkan bapa dengan anak kerana anak boleh berubah walaupun tidak dididik dengan soal keagamaan oleh keluarganya. Namun, apabila saudari mendedahkan tunang anda pun jarang solat dan mencuaikan solat Jumaat, nampaknya dia tidak jauh berbeza daripada ayahnya dalam soal ini.

Cubalah saudari bincangkan perkara ini dengan ayah dan keluarga. Saya yakin keluarga saudari yang berpegang teguh dengan agama pasti membimbing saudari untuk membuat keputusan terbaik dalam hal ini.

Ingatlah, membina rumah tangga adalah membina takwa. Sabda Nabi SAW bermaksud: “Apabila berkahwin seseorang dia melengkapkan separuh agamanya. Maka, hendaklah dia bertakwa pada selebihnya.”

Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM.

[sumber]

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]





No comments