Breaking News

Elakkan kepercayaan karut, mitos jejas ibadah haji

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Dan diwajibkan ke atas manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah al-Haram bagi mereka yang berkuasa sampai kepadanya.” (Surah Ali-Imran, ayat 97)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bahawa mengerjakan haji itu salah satu daripada perkara yang menjadi tiang kepada Islam selain daripada mengucap kalimah syahadah, mendirikan solat, menunaikan zakat dan berpuasa pada Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pelbagai salah tanggapan dan mitos mengenai melaksanakan amalan ibadat haji yang perlu dilihat, dianalisis dan dibetulkan.
Ada kalangan kita melihat ibadat haji sebagai budaya turun-temurun yang perlu dituruti. Kononnya jika tidak mengerjakannya, kita akan ditohmah, dianggap kurang prestij atau hina oleh masyarakat sekeliling.

Sebaliknya bagi yang sudah menunaikannya, ada yang merasakan diri ‘lebih mulia’ dan wajib dipanggil dengan gelaran ‘haji’ atau ‘hajah’. Gelaran tidak salah, tetapi gelaran itu bukan wajib. Ia hanya gelaran penghormatan dan budaya masyarakat.

Ada juga kalangan kita mengaitkan amalan mengerjakan haji dengan istilah ’sampai seru’ terlebih dulu kerana ibadat haji yang bakal ditunaikan akan memperoleh ketenangan, kesempurnaan untuk sampai ke tahap ‘mabrur’.

Sehingga ada yang sudah mampu untuk ke Makkah tetapi tidak juga ke sana dengan menggunakan alasan belum sampai seru, sedangkan hakikatnya seru sudah sampai seperti firman Allah itu.

Sebenarnya, inilah kesilapan yang kita cipta sendiri sehingga menghalang diri untuk mengerjakan ibadat.

Walhal dalam ibadat ke Baitullah terkandung banyak hikmah antaranya ia adalah satu penghayatan terhadap sejarah anbia’, simbolik kepada taqarrub, penyerahan dan pengorbanan kepada Pencipta seterusnya memperoleh keberkatan-Nya.

Ringkasnya ibadat haji sarat dengan pelbagai rahsia yang hanya Allah yang dapat menyingkap tabirnya untuk tatapan hamba-Nya yang terpilih.

Kita juga sering digembar-gemburkan dengan segala macam cerita dan hal seperti peristiwa aneh atau kejadian tidak diingini berlaku ke atas jemaah haji sama ada sebelum, semasa mahupun selepas mengerjakan haji ke Tanah Suci.

Antara perkara menjadi sajian cerita kepada bakal jemaah haji ialah perkara buruk yang berlaku kepada mereka kerana mempunyai perilaku tidak baik atau ada membuat perkara bertentangan norma kehidupan serta syariat Islam seperti sakit kronik dan aneh, koma, hilang ingatan, sesat jalan dan lain-lain lagi.

Selain itu, cerita mengenai kejadian lain tidak diingini membabitkan institusi kekeluargaan seperti pertengkaran antara suami dan isteri ketika berada di Tanah Suci sehingga membawa kepada kes perceraian.

Sehingga ada suami tidak membawa isteri bersama kerana takutkan pertelingkahan dan perceraian terjadi di sana kelak.

Ada juga cerita mengenai kejadian perbalahan ibu bapa dan anak sehingga menyebabkan perhubungan dingin dan ada juga kejadian perselisihan antara adik-beradik yang menjurus kepada kekeruhan hubungan pertalian darah.

Sehinggakan ada anak atau menantu takut untuk membawa atau menemankan ibu bapa serta mentua kerana bimbangkan kejadian buruk dalam hubungan mereka anak beranak.

Sedangkan ibadat haji adalah simbol penyatuan ummah secara umumnya dan ia juga mencakupi institusi kekeluargaan

Banyak lagi perkara lain yang berlaku disampaikan melalui pengalaman jemaah haji itu sendiri dan tidak kurang juga terdapat artikel majalah yang memaparkan cerita sedemikian untuk tatapan umum.

Kebimbangan itu semua adalah tidak berasas. Malah cerita negatif inilah yang menyumbang kepada ketidaksediaan umat Islam untuk mengerjakan haji.

Jika kita menelusuri hakikat tersurat, mahupun tersirat mengenai falsafah haji, kita dapati ia adalah simbol pembersihan serta penyucian jiwa insani dengan cara bertaubat kepada Allah. Ia adalah manifestasi taubat yang menyesali sebarang salah laku dan dosa atau noda yang sudah dilakukan.

Ibadat haji bakal membenihkan sinar mahmudah ke dalam hati sanubari untuk meneruskan kehidupan.

Jadi untuk mengerjakan haji, seseorang itu perlulah membetulkan niat dan bersiap sedia sepenuhnya dari segi fizikal, mental, rohani dan spiritual untuk menjamin ketenangan dan ketertiban menjalani ibadat haji.

Doa adalah senjata ampuh bagi orang Islam. Umat Nabi Muhammad SAW dilimpahkan kurniaan yang banyak oleh Allah. Antara keistimewaan yang kita nikmati ialah tempat mustajab untuk berdoa serta waktu dan ketika yang makbul untuk memohon sesuatu kepada Allah.

Kita sepatutnya menjadikan ia sebagai peluang untuk berdoa, mengadu serta bermonolog kepada-Nya berkenaan apa saja termasuklah perpaduan dan penyatuan yang diharapkan secara umumnya sementara kebahagiaan kekeluargaan serta kesejahteraan diri amnya.

Khususnya sewaktu musim haji, kita mempunyai waktu wukuf di Arafah, bermalam di Mudzalifah, Raudhah di Masjid Nabawi, di hadapan Hajar al-Aswad dan pelbagai tempat serta waktu. Inilah kesempatan yang boleh dimaksimumkan jemaah haji untuk meminta apa saja kepada-Nya.

Apa saja yang ingin dilakukan perlukan kepada perancangan yang teratur dan rapi bagi menentukan kesudahan terbaik. Begitu juga dengan pelaksanaan ibadat haji, memerlukan kesabaran, pengorbanan, kesungguhan dan ketakwaan demi mencapai tahap haji yang mabrur.

Inilah ujian perlu dilalui daripada saat pertama berhasrat untuk menunaikan ibadat haji hingga kembali daripada menunaikannya. Ujian terbesar ialah adakah kita berubah kepada yang lebih baik atau sebaliknya selepas pulang daripada menunaikan haji. Tepuk dada, tanyalah iman.

Oleh Abdul Raouf Dahlan

Penulis ialah guru di Sekolah Menengah Agama Bistari, Subang Jaya dengan kerjasama Wanita JIM dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]

No comments