Breaking News

Ditimpa bala kerana culas bayar zakat | Koleksi PETUA Tradisional, tips, information of MALAYSIA

DATUK Hassan kini mempunyai banyak masa selepas bersara daripada sebuah institusi kerajaan. Beliau seorang jurutera berkelulusan England yang sudah menjelajahi banyak negara di dunia tetapi belum menunaikan haji.

Isterinya, Datin Rahmah yang sentiasa bergiat dalam usrah bersama-sama kumpulannya yang tinggal di kawasan elit bandar raya, sering mengingatkan suaminya mengenai menunaikan haji.

“Bang! Bila lagi kita nak pergi mengerjakan haji? Ramai kawan usrah bertanya macam perli saja,” kata isterinya pada suatu petang.

“Itulah tabiat usrah awak. Bukan nak pergi belajar, asyik nak perli orang, jual barang-barang, bercerita pasal melancong, habis bila usrah awak nak berkat? Bayar guru harga murah tapi melancong bukan main mahal lagi. Semua suami yang kena tanggung,” jawab Datuk Hassan.

Datin Rahmah hampir merajuk: “Kalau begitu, Mah tak mahu lagi ajak abang ke Makkah. Abang main golf hingga ke Afrika Selatan seminggu pun Mah tak kisah. Tapi kalau pergi ke Makkah berkira”.

Hassan tersentak kerana jarang isterinya mengomel. Dia amat sayangkan suaminya hingga tidak pernah langsung berkasar. Hidup mereka terlalu riang kerana sikap isterinya yang tidak pernah banyak kerenah.

Mungkin kali ini luahan hati Datin Rahmah itu benar kerana umur mereka yang sudah meningkat dan ditambah pula dengan tanda penyakit mula terhidu.

“Baiklah, tahun depan kita pergi,” kata Hassan yang mula menyedari kebenaran kata-kata isterinya bercampur merajuk tadi.

“Aikk! Senangnya abang buat agakan untuk pergi tahun depan. Orang lain berdaftar dengan Tabung Haji menunggu selama empat tahun baru sampai giliran,” jawab Rahmah.

“Awak jangan bimbang. Kita ada duit. Cari pakej paling mahal, bayar berapa banyak yang ditentukan, pasti boleh pergi. Tak payah ikut giliran,” jawab Datuk Hassan penuh yakin.

Pagi esoknya, pasangan itu pergi ke Tabung Haji bertemu dengan pengarah dan membawa lapan keping gambar seorang. Pengarah yang belum berpangkat Datuk terkejut dengan kehadiran kedua-dua tetamu hebat hingga menangguhkan taklimat kepada kakitangannya.

“Apa cerita Datuk?” tanya pengarah itu.

“Biasalah, kalau ke Tabung Haji ini tentulah nak pergi haji,” jawab Datuk Hassan.

Dengan menunjukkan gambar lapan keping dan kad pengenalan serta sekeping cek bernilai RM40,000, pengarah itu memanggil seorang kerani kanannya untuk mengisi borang pendaftaran.

Selepas keluar dari bilik pengarah selama 10 minit, ketua kerani itu masuk semula ke bilik pengarah dan meminta nombor akaun tetamu kehormat itu.

Datuk Hassan berpaling kepada isterinya dengan wajah yang agak kesal kerana tidak mengutamakan Tabung Haji sebagai perkara lebih wajib dari simpanan yang lain.

Isterinya menjawab, “Silap kita. Kalau masuk lebih awal kan mudah.”

Pengarah berkata, “ Datuk, kami boleh daftarkan dulu Datuk dan Datin, tapi giliran pemergian ini bergantung kepada senarai menunggu kerana orang yang mempunyai simpanan lama didahulukan mengikut pemilihan komputer,”.

“Kalau pergi dengan pakej pun terpaksa menunggu giliran. Yang masuk senarai pilihan baru boleh daftar dengan pakej,” tambahnya.

Datuk Hassan rupanya tersalah sangka. Beliau ingat jika ada duit, ambil pakej mahal tidak perlu menunggu giliran. Itu membuatkannya tercabar namun masih bersikap tenang.

Datin Rahmah merayu: “Tuan, masukkan kami dalam senarai menunggu. Nanti kalau ada orang batal dahulukan kami”.

“Datin, senarai menunggu dari orang yang terdahulu dan sudah lama menyimpan masih banyak lagi. Sistem komputer Tabung Haji memang begitu. Tapi saya akan masukkan juga nama Datuk dan Datin,” jawab pengarah memberi penjelasan.

Sebulan kemudian, Datuk Hassan mendapat jawapan Tabung Haji bahawa mereka termasuk dalam senarai yang boleh berangkat tahun itu tetapi peluang menyertai pakej sudah tertutup kerana kelewatan mendapat tempat.

Datuk Hassan yang agak tercabar dengan penutupan peluang menyertai pakej itu terus bertindak menulis surat rayuan kepada menteri. Tidak sampai seminggu rayuannya berbalas dan dia dikehendaki memilih mana-mana pakej yang dikehendakinya.

Ketika menjalani kursus anjuran pakej di sebuah hotel, penceramah sering mengingatkan jemaah yang tinggal berdua dalam satu bilik supaya tidak nakal kerana mereka dalam ihram dan jika mereka tidak menjaga tingkah laku nanti akan dikenakan dam.

“Cabaran mengerjakan haji ini banyak sangat. Mula-mula kena tunggu giliran sehingga minta tolong menteri, ketika kursus diberi amaran dan jika sampai sana nanti apa pula dugaan yang akan ditempuhinya,” kata Datuk Hassan.

“Abang, kita ini sudah lama menerima nikmat Allah. Apa salahnya kita menerima dugaan-Nya kali ini,” jawab isterinya.

Akhirnya mereka pun berangkat ke Makkah dengan penerbangan terakhir iaitu seminggu sebelum wukuf. Mereka melakukan tawaf qudum dan saie dalam keadaan sesak.

Kedudukan hotel mereka walau pun empat bintang tetapi amat hampir dengan masjid. Kadang-kala waktu solat, orang ramai bersesak hingga ke pintu hotel.

Ada jemaah yang merungut: “Bayar mahal pun tak dapat sembahyang dalam masjid, sedangkan orang yang ambil muassasah datang awal boleh sembahyang dekat Kaabah. Inilah mewah sangat sampai hilang pahala”.

Waktu berangkat ke Arafah, Datin Rahmah mula menunjukkan reaksi kurang daya tahan. Beliau mengadu pening kepala dan dalam perjalanan beliau sering melentukkan kepala ke bahu Datuk Hassan.

Sewaktu dalam khemah di Arafah, pakej menyediakan perkhidmatan solat malam. Datuk Hassan tidak dapat memberi tumpuan kerana isterinya sering mengerang dan memanggilnya.

Akhirnya Datin Rahmah dibawa ke klinik Tabung Haji Arafah dan Datuk Hassan terpaksa menjaganya sehingga pagi. Datin terpaksa dimasukkan oksigen kerana doktor mendapati otaknya diserang virus yang tidak diketahuinya.

Pada petangnya, ramai sahabat melawat Datin Rahmah di klinik dan malamnya ambulan membawa Datin ke Hospital Annur di Makkah. Datuk Hassan tidak dibenarkan menemani isterinya kerana urusan bermalam di Muzdalifah dan melontar jamrah Aqabah.

Datuk Hassan diserang resah. Mabrurkah haji isterinya yang tidak memenuhi ibadat wukuf, termasuk dirinya sendiri. Rakan-rakannya terus memberi semangat untuk bertenang dan meneruskan ibadat.

Semua orang bersimpati kepada Datuk Hassan. Apabila tiba masa berangkat ke Madinah, Datuk Hassan ditinggalkan di hotel untuk menunggu isterinya.

Empat hari kemudian, Datin Rahmah dibenarkan keluar. Datuk Hassan meminta pakej menguruskan keberangkatan mereka ke Madinah dengan kereta khas walaupun berapa saja bayarannya. Apa yang penting ialah mereka dapat bersama kumpulannya.

Ada pegawai yang mencadangkan supaya Datin dihantar balik ke Malaysia dengan penerbangan awal. Namun, Datuk Hassan tetap membawa Datin ke Madinah walau pun terpaksa mati di Kota Suci itu.

Dua hari berada di hotel, tiba-tiba sekali lagi Datin pengsan dan dihantar ke klinik swasta tercanggih. Beliau hidup dengan bantuan pernafasan.

Kali ini, Datin lebih parah lagi kerana langsung tidak boleh bergerak. Matanya sudah terpejam lebih 20 jam. Datuk terus memberitahu keluarganya di Malaysia untuk datang melawat kerana harapan Datin untuk terus hidup amat tipis.

Lagi sekali, Datuk Hassan menggunakan pengaruhnya menghubungi kementerian untuk membawa empat ahli keluarganya. Tiba di hospital itu, kira-kira jam 10 pagi. Pelawat tidak dibenarkan masuk kerana sedang membuat pemeriksaan.

Akhirnya, pegawai pakej yang fasih berbahasa Arab merayu supaya mereka dibenarkan masuk. Datin tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Pegawai pakej kemudian mengambil keputusan membaca Yassin untuk membantu.

Doktor pakar tercengang tetapi tidak boleh menghalang kerana itu adalah hospital swasta yang pelawatnya dibenarkan berbuat apa saja.

Keajaiban berlaku apabila tiga hari selepas itu Datin boleh bernafas tanpa menggunakan alat bantuan dan dibenarkan keluar dari hospital.

Selepas itu, mereka semua pulang ke Malaysia dan mengadakan kenduri kesyukuran sebagai menghargai jasa rakan-rakan yang membaca Yassin dan mendoakan keselamatan Datin.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan keselamatan Datin. Mungkin ini adalah balasan kepada saya kerana sering culas membayar zakat. Jika Allah ingin membalas tidak perlu tunggu lama,” kata Datuk Hassan.

Bersama Md Daud Che Ngah

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]





No comments