728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

25 November 2007

Berkhatan pelengkap tuntutan syarak | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA

Ulama sepakat bersunat fitrah manusia, berdosa jika tak dilaksana sehingga baligh

MUSIM cuti akhir tahun persekolahan, ramai ibu bapa mengambil kesempatan mengkhatankan anak mereka. Lazimnya amalan mengkhatankan anak dilakukan secara berkumpulan atau majlis berkhatan beramai-ramai.

Rasionalnya, selain melaksanakan tuntutan syarak, amalan sebegini boleh mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat apabila dilakukan secara bersama membabitkan banyak pihak.

Bagi lelaki, khatan (atau dalam bahasa Arabnya disebut khitan) ialah amalan memotong qulfah (kulit yang menutupi kepala) zakar. Ia juga disebut ‘bersunat’ dalam masyarakat Melayu.
Sebenarnya amalan berkhatan adalah daripada agama Nabi Ibrahim. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Nabi Ibrahim adalah seorang Nabi yang berkhatan sendiri pada usia lapan puluh tahun.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hal ini khususnya, Rasulullah SAW serta umatnya diperintahkan mengikuti agama Nabi Ibrahim. Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian Kami (Tuhan) telah mewahyukan kepadamu supaya mengikut agama Ibrahim yang suci.” (Surah al-Nahl, ayat 123)

Menurut pendapat kebanyakan ulama seperti al-Sya’bi, Rabi’ah, al-Azra’i, Yahya bin Sa’ad al-Ansari, Malik, al-Syafi’i dan Ahmad, amalan berkhatan adalah wajib bagi golongan lelaki.

Banyak hadis Rasulullah SAW yang menunjukkan mengenai pensyariatan khatan. Antaranya, hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada lima perkara yang dikategorikan sebagai fitrah (sifat semula jadi) seseorang manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, diriwayatkan daripada Ammar bin Yasir katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara fitrah ialah berkumur, membersihkan hidung dengan air, menggunting misai, bersiwak, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, memotong bulu kemaluan dan berkhatan.” (Hadis riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis itu, Abdullah Nasih Ulwan menjelaskan, meskipun Rasulullah SAW menyebut khatan bersama perkara sunat, namun tidaklah bermakna hukum berkhatan itu sunat. Jelasnya, hadis di atas membicarakan dua perkara utama iaitu perkara wajib dan sunat.

Dalam hal ini, al-Khattabi pula berpendapat, meskipun khatan selalu disebut bersama dengan perkara sunat seperti mencukur bulu ketiak dan memotong kuku, kebanyakan ulama mengiranya sebagai wajib.

Ia adalah syiar Islam yang membezakan antara Muslim dan kafir. Jika ada seorang yang berkhatan mati di kalangan sekumpulan manusia yang tidak berkhatan, maka hendaklah disembahyangkan dan dikuburkan di tanah perkuburan Islam.

Kewajipan berkhatan juga berdasarkan hadis diriwayatkan daripada ‘Utsaimin bin Kulaib bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang baru memeluk Islam yang bermaksud: “Bersihkanlah dirimu dari rambut kufur dan berkhatanlah.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Selain itu, diriwayatkan daripada Ibnu Abbas katanya, “Seseorang yang tidak berkhatan tidak diterima solatnya dan hasil penyembelihannya juga tidak boleh dimakan.”

Maka jelaslah bahawa khatan itu adalah fitrah manusia, syiar Islam dan ia wajib ke atas lelaki. Oleh itu, sesiapa yang tidak menyegerakan khatan sejak ia mula memeluk Islam dan tidak melaksanakannya hingga masa balighnya, maka dia dikira berdosa.

Kebanyakan ulama menyatakan bahawa khatan adalah wajib ketika seseorang anak itu sudah hampir baligh kerana tidak berapa lama lagi anak berkenaan akan menjadi mukallaf untuk mematuhi segala hukum syariat dan perintah Allah.

Tetapi masa yang paling afdal (baik) ialah pada hari pertama kelahiran. Hal ini berdasarkan hadis diriwayatkan daripada Jabir katanya, bahawa Rasulullah SAW mengkhatankan al-Hasan dan al-Husin pada hari ketujuh (selepas kelahiran) mereka.

Setiap amalan yang disyariatkan Allah mempunyai hikmah dan kelebihannya. Amalan berkhatan mempunyai faedah dari aspek kesihatan.

Dr Sobri al-Qubbani dalam bukunya Hayatuna al-Jinsiyyah berkata, antara faedah terpenting berkhatan ialah, seseorang lelaki itu akan dapat menghindari daripada penyakit kulit disebabkan oleh peluh yang berkumpul dalam kulit qulfah itu.

Perkara itu dibuktikan pakar bedah, Dr Gerald Weiss, yang menegaskan tanpa khatan, bahagian di bawah kulit menutupi kepala zakar akan menjadi tempat takungan pelbagai jenis kuman dan ini meningkatkan risiko mendapat jangkitan (cesspool of infection). Kadangkala keadaan ini akan mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

Kata Dr Sobri al-Qubbani lagi, berkhatan juga dapat menghindari daripada penyakit kanser. Hal itu dibuktikan profesor Perubatan Kanak-Kanak Universiti California, San Francisco, Dr Edgar J Schoen.



WebMD Medical News bertarikh 6 Mac 2000 melaporkan mengenai satu kajian yang beliau lakukan bersama rakannya dan mereka mendapati daripada 89 kes kanser zakar, 87 daripadanya daripada kalangan lelaki tidak berkhatan.

Justeru, mereka merumuskan khatan mencegah lelaki daripada menghidap kanser zakar dan penemuan itu dimuatkan dalam majalah Pediatrics.

Dr Danial Zainal Abidin dalam bukunya Perubatan Islam Kontemporari, menjelaskan banyak kajian dilakukan menunjukkan khatan mencegah pelbagai jenis penyakit antaranya:
# Risiko seseorang wanita menghidap barah pangkal rahim (cervix) adalah tinggi jika pasangannya tidak berkhatan. Satu kajian dilakukan di Lembah Kashmir pada 1993 menunjukkan, amalan berkhatan di tempat itu menyebabkan peratus barah pangkal rahim menjadi rendah berbanding kawasan lain di India.
# Mengikut pakar kanak-kanak terkenal, Dr Edgar J Shoen, luka yang sering berlaku di kulit penutup zakar ketika melakukan persetubuhan memudahkan lelaki yang tidak berkhatan dijangkiti kuman penyakit jangkitan seksual, terutama siflis, chancroid dan genital herpes.

Berdasarkan hasil kajian, jelaslah orang yang berkhatan akan dapat menikmati kesihatan yang baik serta terhindar daripada pelbagai penyakit merbahaya.

Oleh Mohd Shukri Hanapi

[sumber]

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]





rahsia clickbank


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Berkhatan pelengkap tuntutan syarak | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top