Breaking News

Awas! Kaki raba dalam bas | Koleksi PETUA Tradisional, tips, information of MALAYSIA

Awas! Kaki raba dalam bas | Koleksi PETUA Tradisional, tips, information of MALAYSIA
DALAM kehidupan manusia ada pelbagai ragam. Sesetengahnya bijak mengambil kesempatan tanpa mengira tempat dan masa, janji keinginan mereka terlaksana. Kalau yang positif tentu tidak menimbulkan kemarahan tetapi bagaimana jika yang dianggap keterlaluan dan tidak sopan.

Tentu ada di kalangan pembaca terkejut dengan mukadimah saya minggu ini. Apa yang ingin saya ceritakan agak menarik dan perlu diberi perhatian serius oleh mereka yang menggunakan perkhidmatan bas untuk berulang-alik ke destinasi tujuan mereka.

Kisah menarik ini saya kutip daripada anak jiran yang diraba penumpang di sebelahnya ketika sedang tidur semasa dalam perjalanan dari utara ke Kuala Lumpur.

Sehingga saat ini, gadis itu yang saya panggil Rose masih trauma dengan kejadian tersebut dan tidak mahu lagi naik bas.

“Itulah akibatnya bila membeli tiket pada saat akhir,’’ kata ibunya yang turut marah dengan kejadian tersebut.

Pun begitu tidak bermakna si ibu tidak mengambil berat malah mulai saat itu dia dan suami sanggup berulang alik menghantar dan mengambil anaknya setiap kali cuti semester.

Kepada saya, Rose memberitahu segala-galanya berlaku tanpa sedar.

“Saya membeli tiket dalam keadaan kelam-kabut setelah kertas terakhir habis diduduki lebih awal dari jangkaan masa sebenar. Kerana tidak mahu membuang masa saya nekad untuk balik hari itu juga kerana tidak mahu tinggal seorang diri di asrama sebab kawan-kawan lain semuanya sudah pulang.

“Nasib saya baik kerana masih ada tiket untuk perjalanan pukul 12 tengah malam. Kerusinya pula di hadapan pemandu. Mulanya risau juga tapi bila fikir dah tidak ada pilihan saya beranikan diri.

“Saya sampai di stesen bas pukul 11 malam. Orang memang sudah ramai. Lima belas minit sebelum bas bergerak saya naik dan duduk di kerusi yang menjadi milik saya. Ketika itu penumpang di sebelah saya belum ada.

“Sebaik enjin bas dihidupkan, seorang pemuda berusia awal 20-an naik dan duduk di sebelah saya. Dia memandang ke arah saya tapi saya buat-buat tidak nampak.

“Sebaik duduk dia menegur dan bertanya khabar. Saya hanya tersenyum, malas hendak layan sebab tidak kenal orangnya. Walaupun dia cuba ‘memancing,’ saya tidak layan dan berpura-pura tidur.

“Sebaik bas memasuki Lebuh raya Utara Selatan saya melihat penumpang di kiri kanan sudah terlelap. Tetapi tidak penumpang di sebelah saya itu. Walaupun dia tahu soalannya tidak saya jawab tapi dia terhegeh-hegeh juga berbual. Naik meluat pula saya.

“Dalam leka menonton televisyen saya terlelap. Saya tidak perasan si lelaki tadi sudah mula lentok ke bahu saya. Tangannya pula diletakkan di atas paha saya. Dalam khayal tidur saya boleh rasa tangannya merayap-rayap pada tubuh saya. Di peringkat awal saya berpura-pura tidur. Saya tidak mahu kecoh-kecoh.

“Lama kelamaan saya dapat merasakan tangannya terus merayap, lalu saya tepis. Dia tersentak tetapi tidak mengalah. Setiap kali saya cuba mengelak, semakin kuat dia menekan dan menghimpit tubuh saya.

“Hati saya mula bimbang. Jantung saya bergerak kencang. Saya menggigil tapi saya cuba kawal ketakutan kerana tidak mahu penumpang lain panik kalau saya menjerit. Saya cuba angkat beg tangan dan letakkan di tengah, tapi gagal.

“Saya mula gelabah. Macam-macam saya lakukan untuk menyedarkan dia tapi dia buat tak tahu sahaja malah miangnya makin menjadi-jadi.

“Saya menjadi tidak tenteram. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan dengan tujuan mengelak daripada berhimpit dengan pemuda itu.

“Beberapa kali saya menepis tangannya tetapi tidak ada yang perasan sebab semua orang tidur. Mengerling ke arah pemandu saya nampak dia memandang melalui cermin. Dia mengangkat isyarat minta saya diam.

“Saya mengangkat tangan berkali-kali sambil menunjuk ke arah pemuda tersebut. Syukur pemandu itu faham dan perasan tingkah laku biadap pemuda tersebut walaupun keadaan gelap.

“Kerana tidak tahan lagi diraba saya bingkas bangun dan menolak pemuda itu ke tepi. Saya redah juga untuk keluar daripada tempat duduk saya lalu terus menghala ke arah tangga bas.

“Saya berdiri di tepi pemandu. Pemuda itu tergamam. Keadaan mula kecoh bila pemandu bas meminta saya bertenang. Saya mula perasan, seorang demi seorang penumpang mula terjaga.

“Masing-masing tertanya-tanya apa yang sudah berlaku. Masing-masing terpinga melihat saya berdiri di tepi pemandu dengan wajah takut dan sugul.

“Menyedari dirinya terperangkap, pemuda itu cuba turun tetapi terhalang sebab pintu bas tertutup.

“Sampai di sebuah R & R bas berhenti. Pemandu yang tengah ‘mendidih darah’ itu terus meluru ke arah pemuda tersebut dan mencekak kolar bajunya.

“Semua penumpang panik. Tapi jeritan pemandu bas itu memarahi pemuda tersebut menjadikan mereka faham kenapa dia bertindak demikian. Dua puluh minit kemudian, sebuah kereta peronda polis tiba. Pemuda itu dibawa pergi.

“Saya hanya disoal siasat sekejap dan diambil butiran diri sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.

“Dalam keadaan sebak saya menelefon mak ayah memberitahu apa yang berlaku. Mereka terkejut dan bercadang datang mengambil saya. Mujur pemandu bas itu berjanji akan menjaga saya dan membawa saya dengan selamat ke Kuala Lumpur.

“Syukur kepada Tuhan kerana saya selamat sampai ke Kuala Lumpur seperti dijadualkan. Terkejut saya apabila dimaklumkan ayah dan mak tidak tidur sepanjang malam selepas saya menelefon dan bercerita apa yang berlaku.

“Sebaik melihat saya kedua-duanya meluru dan memeluk saya dengan kuat sekali. Mak tidak henti-henti menangis, maklumlah saya ini anak perempuan sulung mak.

“Terima kasih kepada pemandu bas yang prihatin dan mengambil berat itu,’’ kata Noni menamatkan ceritanya.

Saya juga tergamam dengan cerita Noni. Tidak sangka pula sampai begitu sekali jadinya. Ingatkan naik bas selamat, rupanya ada juga dugaannya.

Kepada golongan pemuda yang suka mengambil kesempatan dengan melakukan kegiatan tidak bermoral ini, nasihat saya hati-hatilah. Hentikan sikap buruk anda itu. Jangan ingat selama-lamanya anda akan selamat. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Ingat! Allah nampak apa yang anda lakukan.

Kepada ibu bapa jangan biarkan anak-anak terutama anak gadis berjalan jauh sendirian tanpa kenalan atau saudara mara bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Adalah lebih baik memastikan mereka bergerak menggunakan bas waktu siang jika berseorangan dan kalau sebelah malam, biarlah berteman dan waktu berlepas pula jangan sehingga tengah malam.

Malang tidak berbau, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Lebih baik beringat sebelum terjadi perkara yang tidak diingini. Bimbang nanti menangis air mata darah sekalipun tidak akan mengembalikan keadaan.

Mengundur diri pesanan telus saya, jika terlihat kabut di depan mata, jangan terus melangkah. Tunggu sehingga kabut hilang kerana selepas ia hilang, pasti ada cahaya yang menanti bagi memudahkan langkah anda seterusnya dalam menuju destinasi harapan.

Salam.

Petikan: Utusan Malaysia 16 Nov 07


Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]





No comments