728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

19 May 2007

Majikan teraniaya pembantu rumah lari

Oleh Halina Mohd Noor

BAGAI ada yang tidak kena apabila memperkatakan mengenai pembantu rumah yang lari daripada majikan. Bahkan sudah terang lagi bersuluh, bagaikan ada satu pakatan antara agensi dan pembantu rumah untuk mengenakan majikan demi mengaut keuntungan.

Jelas sekali ada sindiket yang menyediakan ‘laluan’ untuk pembantu rumah melarikan diri selepas majikan mengeluarkan ribuan ringgit untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah daripada ejen. Jika tidak, masakan begitu mudah pembantu rumah yang rata-ratanya datang daripada Indonesia sebatang kara dan tidak tahu selok belok negara ini, boleh begitu berani melarikan diri keluar daripada rumah majikan?


Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan mungkin ada pihak yang sudah menanti untuk ‘menjemput’ mereka lalu ditawarkan sebagai pembantu rumah kepada majikan lain. Apa yang pasti, sindiket dan ejen adalah pihak yang paling banyak mengaut keuntungan, manakala majikan juga yang terpaksa menanggung segala kos dan lebih menyedihkan didenda gara-gara pembantu rumah melarikan diri sendiri tanpa dipaksa.

Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Hamdan Adnan, berkata peraturan baru yang lebih tegas dan adil perlu diwujudkan demi membela nasib majikan yang selalunya teraniaya.

“Buat masa ini, tiada peraturan khusus yang jelas untuk memastikan keadilan ditegakkan untuk majikan. Peraturan baru perlu diwujudkan bagi melindungi majikan, pembantu rumah dan ejen. Kita kasihankan majikan yang terpaksa menanggung kos seperti denda akibat pembantu rumah yang melarikan diri.

“Lebih teruk, sudahlah mereka kerugian kos sekurang-kurangnya RM4,000 ketika mendapatkan pembantu rumah ini, jika ingin mendapatkan pembantu baru, terpaksa lagi mengeluarkan wang dalam jumlah yang sama. Ini sudah tentu tidak adil sekali untuk majikan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Ketika ini, majikan yang berhadapan dengan masalah pembantu rumah lari, mereka perlu membayar denda RM250 kepada pihak Imigresen jika ingin membuat permit bagi mendapat pembantu baru.

Selain kewangan, majikan juga berhadapan dengan masalah cuti apabila terpaksa menunggu tempoh yang lama untuk mendapatkan pembantu rumah baru. Beruntunglah jika pihak atasan di pejabat memahami dan sanggup meluluskan cuti yang lama, tetapi jika tidak pasti memeningkan kepala memikirkan siapa hendak menjaga anak ketika pergi bekerja.

Prof Hamdan yang turut menerima aduan mengenai pembantu rumah melarikan diri, tidak menolak kemungkinan wujudnya sindiket yang bukan saja menyeludup pembantu asing malah berpakat untuk melarikan pembantu rumah selepas tamat tempoh jaminan selama tiga bulan.

“Imigresen perlu menimbangkan untuk tidak mengenakan denda kepada majikan jika didapati pembantu rumah lari tanpa sebab munasabah. Peraturan baru ini juga perlu tegas dengan menarik balik lesen ejen terbabit kerana gagal menyediakan perkhidmatan terbaik, manakala pembantu rumah yang lari tadi tidak boleh dibenarkan masuk ke negara ini lagi atau disenarai hitam.

“Jika ini tidak dilakukan, kitar semula pembantu rumah akan berlaku seperti hari ini yang mana mereka lari dan ditawarkan semula kepada majikan lain dan sudah tentu mereka akan lari semula. Akibatnya ramai majikan yang akan menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata, bagi menangani masalah itu ejen sepatutnya bersikap lebih bertanggung jawab mengenal pasti latar belakang pembantu yang bakal ditawarkan kepada majikan agar tidak timbul masalah pada kemudian hari.


“Patutnya sedari awal pihak ejen sudah tahu apa masalah yang dihadapi pembantu rumah yang bakal bekerja di negara ini. Majikan juga berhak mengetahui latar belakang pembantu rumah yang bakal digaji agar mereka tidak berasa tertipu oleh pelbagai faktor seperti yang berlaku hari ini,” katanya.

Dianggarkan 300,000 pembantu rumah dari Indonesia di negara ini melarikan diri atas pelbagai alasan seperti majikan cerewet, tidak bertimbang rasa dan bertolak ansur, tidak bertanggungjawab atau majikan menyeksa dari segi mental dan fizikal. Mereka berasakan tidak selesa dan mahu melarikan diri.

Mengikut undang-undang di Indonesia, pembantu rumah diwajibkan menjalani kursus latihan, psikologi, pemeriksaan kesihatan. Bagaimanapun ada agensi tidak telus dengan menghantar pembantu rumah tidak melalui syarat itu. Sesetengah agensinya menukar maklumat pembantu rumah seperti usia, penyakit dan ada menghidapi penyakit mental.

Persoalannya, mengapa majikan yang perlu menjadi mangsa? Sebagai pengguna perkhidmatan yang ditawarkan, majikan berhak mendapat yang terbaik. Bagaimanapun, hak majikan langsung tidak dipertimbangkan malah dipermain-mainkan.

FAKTA

Di Malaysia ada 320,000 pembantu rumah berdaftar dengan 95 peratus dari Indonesia

Dilaporkan ada 300,000 pembantu rumah lari.

Pembantu rumah yang dihantar ke negara ini adalah daripada gred E (tidak berkemahiran dan berkemungkinan besar bermasalah)

Majikan perlu membayar denda RM250 jika pembantu lari dalam tempoh jaminan selama tiga bulan. Majikan akan diberi gantian untuk pembantu rumah baru.

Jika pembantu lari selepas tamat tempoh jaminan, agensi tidak akan mengganti pembantu rumah tetapi majikan masih perlu membayar denda RM250.

Majikan perlu membayar sebanyak RM425 jika mahu menukar pembantu lain untuk pasport dan permit.

Ingin Letak Iklan ANDA di RAHSIA PERKAHWINAN ?
EMAIL KEPADA admin@rahsiaperkahwinan.com

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Majikan teraniaya pembantu rumah lari Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top