728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

14 May 2007

Kedudukan anak hasil perkahwinan syubhah

Bersama Mohamad Isa Abd Ralip

SAYA sudah berumah tangga selama lima tahun dengan duda beranak satu. Hasil perkahwinan, kami dikurniakan seorang anak. Bagaimanapun, saya meragui status anak suami dengan bekas isterinya kerana baru-baru ini saya menjumpai salinan sijil perkahwinan lamanya. Di bahagian atas sijil tertulis ‘Nikah Semula’ dan terdapat lampiran surat dari Jabatan Agama Islam Selangor yang menyatakan pernikahan mereka tidak sah kerana wali pada masa itu adalah abang bekas isterinya yang tidak sah taraf. Ketika proses perkahwinan semula, bekas isterinya telah mengandung dan melahirkan anak mereka tiga bulan selepas perkahwinan semula itu. Soalan saya:

Apakah taraf anak itu? Bolehkah dia berbinkan suami saya?

Adakah anak itu berhak atas harta suami dan nafkah anak setiap bulan?

Batalkah air sembahyang dengan anak-anak kami?

Ibu Bingung
Selangor

———————



MASALAH yang puan alami banyak terjadi di dalam masyarakat kita hari ini. Status sah taraf seseorang anak terutama yang membabitkan anak hasil perzinaan dipandang remeh sehingga ada yang sanggup menipu dan menyorokkan hal sebenar semata-mata demi menjaga nama atau hati anak berkenaan.

Malangnya, masyarakat kita lupa kesan daripada tindakan itu sangat besar dan akhirnya membawa kemudaratan. Kerana itu, Islam tidak pernah memandang mudah permasalahan ini bahkan turut memberi jalan penyelesaiannya.

Ia kerana permasalahan serta persoalan berkaitan keturunan adalah satu isu penting. Bermula dari keturunan akan menentukan pelbagai hukum asas seperti pernikahan, nafkah, al-wilayah ataupun kedudukan, pembahagian harta pusaka serta penentuan bahagian dan kelayakan menerima wasiat.

Jika keturunan tidak dapat ditentukan dengan jelas maka ia akan memberi kesan terhadap beberapa hukum penting sebagaimana yang dijelaskan di atas.

Hal itu juga yang berlaku ke atas perkahwinan terdahulu suami puan iaitu perkahwinan itu harus difaraqkan (dipisahkan) atas alasan wali ketika pernikahan adalah wali yang tidak sah.




Walaupun lelaki itu abang kepada pengantin perempuan tetapi abangnya adalah seorang anak yang tak sah taraf. Perkahwinan itu pada asalnya dianggap sah tetapi terpaksa difaraqkan atas alasan yang menyebabkan perkahwinan itu menjadi tidak sah.

Antara faktor suatu perkahwinan menjadi tidak sah adalah kerana masalah wali. Selanjutnya, pasangan suami isteri hendaklah berkahwin semula mengikut syarat perkahwinan yang sah bagi membolehkan perkahwinan mereka sah mengikut hukum syarak.

Itulah yang dilakukan suami puan dan bekas isterinya yang terdahulu. Setelah mereka berkahwin semula mengikut tatacara yang tepat dan menggunakan wali selayaknya, barulah hubungan mereka dianggap sah dan boleh meneruskan kehidupan suami isteri seperti biasa.

Pertama, persoalan puan mengenai status anak kepada suami yang dilahirkan ketika dalam tempoh perkahwinan terdahulu. Mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, Seksyen 114 menyatakan, “Jika seseorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu”.

Peruntukan itu bermaksud, setiap anak yang lahir melalui persetubuhan syubhah tetap dianggap sebagai anak sah taraf dan anak kandung kepada bapanya sekiranya dilahirkan di antara tempoh enam bulan hingga empat tahun qamariah dikira bermulanya dari persetubuhan itu berlaku.

Perkahwinan syubhah bermaksud suatu akad perkahwinan yang dianggap sah oleh pasangan kerana semua syarat perkahwinan telah dipenuhi tetapi pada hakikatnya akad itu tidak sah kerana sebab tertentu.

Contohnya bagi suami puan dan isterinya terdahulu, mereka beranggapan perkahwinan mereka sah kerana ada wali, saksi, ijab kabul, pengantin lelaki dan pengantin perempuan.

Tetapi hakikatnya, akad itu tidak sah kerana wali tidak memenuhi syarat perwalian. Oleh yang demikian, jika ketika dalam proses perkahwinan tiada mana-mana pihak yang mengetahui status wali yang mewalikan pernikahan itu, maka anak tiri puan telah memenuhi syarat peruntukan di atas dan anak berkenaan adalah anak sah taraf dan boleh dibinkan atau dibintikan kepada suami puan.

Tetapi jika ada pihak ketika proses perkahwinan itu mengetahui status sebenar wali yang mewalikan pernikahan tidak menepati syarat atau adalah anak tak sah taraf, maka kesan ke atas anak dari perkahwinan itu tidak boleh dibinkan atau dibintikan dengan nama bapa anak berkenaan.

Perkara kedua, kedudukan anak itu dianggap anak sah taraf, menjadi kewajipan bagi seorang ayah menyediakan nafkah sewajarnya terhadap anaknya sebagaimana yang layak diterima oleh anak-anak puan.

Nafkah dari segi istilah adalah dimaksudkan dengan semua perkara yang diperlukan manusia seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Bapa dan datuk ke atas wajib memberi nafkah kepada anaknya dan cucunya ke bawah.

Oleh itu, bapa adalah bertanggungjawab menyediakan nafkah untuk anaknya tidak kira sama ada lelaki atau perempuan. Jika bapa tiada, maka datuk atau mana-mana waris yang terdekat hendaklah mengambil alih tanggungjawab itu.

Begitu jugalah hak anak terhadap harta suami puan, memandangkan anak itu adalah anak kandung suami puan, maka dia berhak terhadap pembahagian harta pusaka milik suami puan.

Jika anak itu tak sah taraf, maka dia tidak berhak ke atas nafkah serta harta pusaka suami puan. Sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 86 Enakmen yang sama bahawa hak penjagaan ke atas anak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu. Maka ibu anak itu berkewajipan menyediakan nafkah dan anak juga hanya layak menerima pembahagian harta pusaka dari hak milik ibunya saja.

Berkenaan batasan aurat di antara anak itu dan anak puan, jelas tanpa sebarang pertikaian jika anak itu dan anak puan adalah saudara kandung sebapa tidak akan terjadi istilah batal air sembahyang.

Tetapi jika sebaliknya, maka auratnya adalah sama seperti hubungan dengan orang lain yang tiada perhubungan persaudaraan. Semoga puan dapat menjaga dan melayan anak itu dengan baik dan ikhlas seperti anak puan yang lain.

Saya berharap jawapan saya dapat memuaskan hati puan dan jika masih terdapat kemusykilan saya sarankan puan membuat rujukan lebih terperinci atau merujuk kepada alim ulama yang lebih arif.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang persoalan syariah sila kemukakan ke admin@pgsm.org.my


Ingin Letak Iklan ANDA di RAHSIA PERKAHWINAN ?
EMAIL KEPADA admin@rahsiaperkahwinan.com

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedudukan anak hasil perkahwinan syubhah Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top