728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

23 May 2007

ISTERI BERPERANAN UBAH PERANGAI BURUK SUAMI


Lelaki sebagai ketua rumah tangga perlu tunjukkan teladan baik terhadap anggota keluarga

“SUDAH berbuih mulut saya, tetapi dia buat pekak aje. Mungkin sebab dia suami, maka dia buat apa yang dia suka saja, walhal solat itu bukan perkara yang boleh dipermainkan sebaliknya wajib,” kata Zanariah Ali, ibu muda beranak dua ini dipersetujui rakannya, Norida Alias.

“Kita ingatkan bila sudah berkahwin dia akan menjadi pembimbing dan ketua keluarga, ini terbalik pula. Usah cakap tiba bulan puasa, kadang-kadang saya pula yang malu bila anak usia lima tahun tanya, ayah tu tak puasa ke? Tak malu kan mak,” ajuk Norida teringat pertanyaan anak sulungnya, Ramadan lepas.

Senario memalukan ini bukan perkara pelik. Lihat saja sekeliling anda, boleh dikira lelaki yang rajin menunaikan solat, tidak kira lima waktu atau solat Jumaat. Malah, masih ada jejaka yang tanpa rasa malu ‘menyertai’ wanita membeli-belah, dan yang paling menyakitkan mata apabila dengan pasangan masing-masing menjamu selera waktu azan berkumandang tengahari Jumaat tanpa merasakan ia satu kesalahan yang besar.

Mungkin ada yang menyelar topik ini dengan menyatakan bahawa solat isu sensitif dan hak peribadi sehinggakan ada kalanya apabila ingin mengajak seseorang bersolat pun menjadi perkara yang paling sukar dilafazkan. Tidak keterlaluan kita pula yang malu untuk bertanya soalan berkenaan lantas menjadikan insan yang tidak bersolat bangga dengan perbuatan berkenaan.

Hakikatnya lelaki yang tidak menunaikan solat walaupun apa alasannya tidak layak bergelar pemimpin dan ketua keluarga.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata lelaki yang ‘liat’ bersolat, berkait rapat dengan pendedahan ketika peringkat awal dan kanak-kanaknya dulu, yang mana mungkin bapanya juga tidak bersolat atau keluarga tidak mengambil berat perihal solat.

Selain itu, katanya, dari segi psikologi pula pelbagai agensi pembentuk nilai sosial turut mempengaruhi termasuk terlalu banyak paparan hiburan di dalam media massa dan kekurangan tempat kemudahan beribadat turut mempengaruhi solat.
“Apapun alasan, solat adalah perkara yang wajib dilakukan, walaupun anda berada dalam keadaan sakit kerana ia adalah asas kepada agama dan sekiranya tidak bersolat maka orang itu ternafilah agama, lainlah kalau tidak sempat, tetapi sampai bila tidak sempat, kalau setiap hari bagaimana pula keadaannya?
“Secara praktikal seseorang yang meninggalkan solat bukan Muslim, tetapi Islam masih memandang baik orang yang mengakui keislaman. Dalam hal ini nasihat adalah elemen paling penting dalam mengajak seseorang itu mengerjakan solat, malah ada kemanisan sekiranya seseorang itu berubah untuk kembali bersolat,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Prof Mahmood Zuhdi berkata, isteri berperanan besar mengubah tabiat buruk suami itu dan ia boleh dilakukan dengan memberikan nasihat, tetapi pada masa sama isteri perlu bersikap serius dengan meneruskan amalan solat dan bukannya mengikut tabiat buruk suami.

“Isteri perlu bertegas terhadap hal ini apabila ‘tegur pun tidak jalan’ seorang isteri boleh mendapatkan khidmat pihak ketiga memberikan nasihat. Mungkin ada yang menyatakan suami perlu dihormati, tetapi isteri perlu tahu bahawa dia perlu mentaati suami yang tidak melakukan dosa.

“Kalau suami bersikap buruk tidak patut ditaati. Malah, ada pendapat mengatakan isteri boleh mengugut untuk minta cerai, tetapi ia bukan tindakan bijaksana. Sebaliknya ia mengambil satu sikap tegas dan kalau berlarutan ingatkan kepadanya bahawa bersolat menjadi perkara yang boleh disanjung anak-anak,” katanya.

Dalam hubungan ini, beliau berkata, anak juga boleh menegur tetapi dilakukan secara bijaksana dengan tidak mengguris hati bapa. Soal sembahyang sangat penting dititikberatkan kerana ia memberi penilaian yang asas dalam beragama. Kalau puasa dan zakat senang diubah, tetapi sekiranya tidak bersolat, ia menggambarkan pegangan yang tidak elok.

“Tidak ada seorang pun yang akan terlepas daripada keperluan untuk menyedari dia akan mati, jadi tanamkan rasa keinsafan itu dalam diri kita bersama,” katanya yang menyatakan solat tidak hanya dilakukan menerusi perbuatan sebaliknya hayati hikmah di sebalik tuntutan agama itu.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: ISTERI BERPERANAN UBAH PERANGAI BURUK SUAMI Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top