728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

10 May 2007

Hilang sentuhan romantis kerana dingin seks

MUKADIMAH
SEKS, apa pentingnya kepada manusia selain mendapatkan zuriat?. Menurut satu laporan, masyarakat di negara ini semakin pudar sentuhan romantis dan sukar mendapat kepuasan yang sepenuhnya daripada pasangan.

Hubungan seksual dilaporkan sebagai fundamental atau pada asasnya merupakan sebahagian daripada kesejahteraan dan kesihatan manusia.

Lantaran itu, hubungan seksual yang sihat, mempunyai faktor yang seimbang dari segi fizikal, emosi dan sosiologi. Ia berkait rapat dengan perlindungan serta memupuk kasih sayang dengan pasangan.

Wartawan Keluarga Rahana MD berkongsi maklumat mengenai Laporan Kaji Selidik Global Kesejahteraan seksual Durex (jenama kondom) keluaran SSL Healthcare Malaysia Sdn. Bhd 2007/2008 serta temu bual dengan pakar yang berkaitan.

RAKYAT Malaysia masih mencari-cari kepuasan seksual, lapor Kaji Selidik Global Kesejahteraan seksual Durex( jenama kondom) 2007/2008. Laporan itu menyebut, masyarakat di negara ini kehilangan sentuhan romantis dan masalah seksual menjadi faktor utama.

Kaji selidik yang dijalankan membabitkan lebih 26,000 responden dari 26 negara, dengan 1,026 daripadanya adalah warga Malaysia.

E-book Kamasutra | iklan berbayar di RAHSIA PERKAHWINAN


Responden telah ditanya tentang semua aspek kehidupan seks merangkumi kesihatan, kesejahteraan am, pendidikan, kepercayaan, seks dan perhubungan serta sikap mereka terhadap perhubungan seks.

Agak mengejutkan keranan daripada lima orang, kurang dua merasa kepuasan sepenuhnya dan didapati rakyat Malaysia telah kehilangan minat, keinginan dan sentuhan romantis.

Hanya 38 peratus daripada responden mendakwa mereka benar-benar mendapat kepuasan daripada kehidupan seks.

Bagaimana pun, responden wanita Malaysia lebih merasa puas daripada responden lelaki, dengan 40 peratus menyatakan mereka mendapat kepuasan sepenuhnya, berbanding 37 peratus responden lelaki.

Situasi tersebut bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan kerana keadaan yang sama juga dirasai oleh masyarakat dunia.

Hanya 44 peratus daripada semua responden mendakwa benar-benar bahagia dan gembira dengan kehidupan seks mereka.

Ternyata rakyat Malaysia merasa lebih puas daripada masyarakat di Jepun kerana hanya 15 peratus mendapat kepuasan.

Negara juga berada di atas berbanding masyarakat di Perancis, yang selama ini dianggap negara romantik, tetapi daripada empat responden, hanya seorang atau 25 peratus sahaja yang merasai kepuasan sepenuhnya.

E-book Seks Hebat| iklan berbayar di RAHSIA PERKAHWINAN


Lantaran itu, apakah yang menyebabkan berlaku situasi tidak keruan di dalam bilik tidur pasangan di Malaysia?

Di Malaysia, secara purata hubungan seks dilakukan sebanyak 115 kali setahun berbanding angka purata global iaitu 103 kali setahun.

Sekali lagi Jepun tampil sebagai negara yang paling kurang aktif, dengan penduduknya melakukan hubungan seks hanya 48 kali setahun.

Sungguhpun kebanyakan pasangan di seluruh dunia memahami masalah yang dihadapi, namun tiga daripada lima responden atau 61 peratus yakin dan percaya kehidupan seks boleh ditingkatkan dengan cara mengurangkan tekanan dan kelesuan.

Sementara 64 peratus ingin merasai lebih keseronokan ketika bersama pasangan dan satu perempat lagi melahirkan rasa ingin bebas atau kurang kongkongan.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia mempunyai idea jelas teknik untuk memperbaiki kehidupan seks. Antaranya menyuntik elemen belaian kasih sayang, kemesraan dan sentuhan romantis bersama pasangan dan diakui oleh 74 peratus.

Dua pertiga atau 64 peratus lagi inginkan lebih keintiman dan komunikasi lebih baik dan bilangan yang sama juga mengidam lebih banyak masa untuk berdua-duaan dengan pasangan masing-masing.

Menurut Pengurus Besar SSL Healthcare Malaysia Sdn. Bhd., Voong King Yee, pihaknya sedar hubungan seks memainkan peranan penting dalam kesejahteraan fizikal dan emosi.

E-book Hebat di Ranjang| iklan berbayar di RAHSIA PERKAHWINAN


“Kami percaya semua orang patut menikmati kehidupan seks yang sihat dan memuaskan. Lantaran itu Durex menjalan kajian bagi mendalami kefahaman maksud kesejahteraan seksual menerusi kaji selidik bagi tujuan mengumpul data tulen dan fakta-fakta yang boleh membantu pelanggan merasa yakin dengan sebarang keputusan.

“Pada prinsipnya, tinjauan kaji selidik ini mencerminkan peralihan peranan jenama, daripada hanya memperjuangkan hubungan seks yang selamat kepada membantu pelanggan kami menikmati hubungan seks yang lebih baik,” katanya.

Ujarnya lagi, masyarakat hari ini semakin sensitif dan sedar dengan isu-isu yang menghalang mereka daripada mendapat kepuasan seks.

“Hasil kajian juga mendapati, kesakitan ketika melakukan hubungan seks dan beberapa masalah lain turut menjejaskan tahap kepuasan.

Lebih tiga daripada 10 atau 32 peratus responden Malaysia mengakui mengalami hubungan seks yang menyakitkan pada suatu peringkat dalam hidup mereka.

Sejumlah 43 peratus daripada wanita mengalami kekeringan vagina, masalah yang bukan sahaja dialami oleh mereka yang baru bergelar ibu atau wanita lebih tua, tetapi turut dialami oleh wanita muda.

Masalah ini turut dialami oleh responden wanita global yang mencatat 44 peratus. Di kalangan kaum lelaki pula sebanyak 22 peratus mengalami kesukaran mendapatkan ereksi (ketegangan) manakala 34 peratus mengalami masalah untuk mengekalkannya manakala responden lelaki global pula mencatatkan 42 peratus.

Pendapat Pakar

“Jangan pandang remeh atau sebelah mata masalah seksual kerana ia boleh menjejaskan keharmonian rumahtangga malah boleh mengakibatkan berlaku perceraian, suami main kayu tiga atau berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri pertama di sempadan,’’ tegas Dr. Mohd. Ismail b. Mohd. Tambi, Pakar Perunding Andrologi Klinikal, Reproduktif dan Kesihatan Seksual, Damai Service Hospital, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur ketika ditemui baru-baru ini.

Sambungnya lagi, lazim masyarakat Asia tidak membincangkan isu masalah hubungan kelamin secara terbuka menyebabkan mereka yang mengalaminya derita dalam diam.

“Baik lelaki mahupun perempuan, perlu menyedari keintiman dengan pasangan adalah tuntutan dalam kehidupan dan perlu dicari penyelesaian dan bukannya menjadi punca keretakan hubungan,’’ katanya.

 E-book Rahsia Jutawan Internet | iklan berbayar di RAHSIA PERKAHWINAN


Melakukan hubungan seks dengan pasangan menurut Dr. Ismail merupakan fitrah manusia untuk mendapatkan zuriat.

“Sebagai manusia, kita dilahirkan dengan fitrah tersebut dan sampai satu peringkat iaitu selepas akil baligh, manusia akan mendapat ‘seruan’ atau berkehendak.

“Berbeza dengan golongan haiwan yang juga dikurniakan ‘seruan’ tersebut, manusia berdarjat tinggi dan memiliki sistem yang lebih terkawal di minda.

“Manusia mempunyai tamadun dan wujudlah perkahwinan untuk menghalalkan hubungan,’’ ujarnya.

Ditanya mengenai makna klimak atau kepuasan sepenuhnya, katanya ia bersifat subjektif.

“Pengalaman tersebut tidak sama antara manusia kerana tidak ada sistem untuk mengukur, sebaliknya ia berasaskan pengalaman dan kefahaman individu.

“Misalnya apabila individu yang sebelumnya telah mengecap klimak ketika berhubungan tetapi tiba-tiba alat reproduktifnya gagal berfungsi, atau pasangannya bermasalah keadaan tersebut mungkin memberinya tekanan,’’ katanya.

Sambungnya lagi, tidak mustahil apabila seseorang yang pernah mengecap keseronokan dan kepuasan dalam seks tetapi tidak memperolehnya akan kelihatan murung, tertekan dan resah gelisah dan mempengaruhi produktiviti diri.

“Ini adalah naluri semulajadi manusia yang dilahirkan dengan nafsu dan memerlukan pasangan untuk melampiaskan tetapi kita mempunyai kawalan tertentu,’’ ujarnya.

Beliau yang juga merupakan penyelidikan tempatan yang terlibat dalam Laporan Kaji Selidik Durex berkata, bersandarkan kajian terdapat masalah berbeza dalam mencapai kepuasan.

“Didapati di kalangan orang muda, kurang berasmara (romance, usia pertengahan pula berada dalam tekanan atau kurang kosentrasi manakala di kalangan yang berusia lebih gagal ereksi atau mengekalkannya,’’ jelasnya.

Menyentuh mengenai pasangan yang berhadapan dengan masalah hubungan, beliau menyarankan kedua-duanya berbincang dengan terbuka.

Pendapat Mufti

Suami yang gagal untuk memenuhi keperluan seksual pasangannya atau menunaikan tanggungjawab, si isteri boleh menuntut perkahwinan mereka dipisahkan (tasriq) melalui kuasa kadhi walaupun suami enggan menceraikan, tetapi isteri berhak.

Demikian, tegas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainol Abidin ketika dihubungi.

Katanya hubungan seksual merupakan naluri yang secara fitrah Allah swt ciptakan kepada manusia sebagaimana makan dan juga minum.

‘Walaupun hubungan seks tidak kritikal seperti makan dan minum namun ia sebahagian keperluan manusia.

“Lantaran itu ahli sarjana feqah Islam membenarkan golongan miskin dan tidak mampu berhak mendapat zakat untuk berkahwin kerana ia satu keperluan kepada manusia,’’ ujarnya

Ujarnya pasangan perlu berbincang secara terbuka mengenai masalah hubungan seks kerana ia adalah hak.

Adalah menjadi kesalahan di dalam Islam sekiranya hubungan seksual yang dilakukan tidak dinikmati oleh isteri atau pun sebaliknya.

Beliau juga menekankan telah berlaku penganiayaan jika suami bermasalah dan enggan berubah mendapatkan rawatan tetapi menyuruh isterinya mendiamkan diri.

“Penganiayaan berlaku tetapi salah isteri juga kerana mendiamkan diri dan dia tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak tetapi apabila adanya aduan, mahkamah boleh menghentikan perkahwinan tersebut,’’ ujarnya.

Ditanya apakah jalan penyelesaian jika suami enggan mendapatkan rawatan bagi memulihkan hubungan beliau berkata perbincangan adalah jalan paling selamat.

“Jika suami enggan berbincang, bawa perkara tersebut kepada pengetahuan keluarga suami dengan melantik ‘haqam’ untuk meredakan ketegangan tetapi biarlah kesannya positif dan suami boleh berubah,’’ ujarnya.

Beliau turut menasihatkan pasangan suami isteri yang menghadapi masalah agar mendapatkan rawatan kerana hubungan seksual adalah keperluan malah Allah swt berfirman yang antara lain bermaksud, jika tidak wujud keghairahan seksual maka tidak adalah kesinambungan zuriat umat Islam.

“Hubungan tersebut adalah tuntutan dan kehendak diri masing-masing, justeru dinasihatkan wajib bagi suami yang sakit mengubati dirinya.

“Jika gagal merawat dirinya, sedangkan si isteri memerlukan suami wajib menceraikan, jika tidak dia telah melakukan kezaliman.

“Keperluan hubungan seks ini adalah kewajipan dan jika gagal ditangani dengan cara baik, isteri berhak untuk mengangkat kes ini untuk membubarkan perkahwinan.

“Pihak kadhi pula hendaklah peka dan mempermudahkan masalah tersebut agar tidak berlaku penganiayaan,’’ katanya.

Kes 1
Tahun ini genap 14 tahun Sarina Yahya (bukan nama sebenar) berkahwin dan sepanjang tempoh tersebut beliau telah melahirkan tujuh anak hasil perkahwinan dengan suami tercinta.

Berwajah cantik dan memiliki air muka yang tenang, sukar menelah perasaan Sarina Ketika duduk-duduk berbual dengannya baru-baru ini entah macamana tiba-tiba Sarina menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan-lahan, terdengar keluhan di hujungnya apabila ditanya tentang suami.

“Aku malu nak cerita, ini hal dalam bilik tidur tapi sudah lama sangat aku pendam dan tidak pernah pun aku ceritakan kepada sesiapa,” katanya membuka bicara.

Sarina membuang pandangan jauh ke hadapan dan berkata, “sepanjang aku berkahwin dan bersama suami, aku tak pernah rasa klimak, itu normal ke”? tanyanya tersenyum sumbing.

Sarina menyambung lagi dan kali ini bunyinya agak sayu. “Selalu suami aku pentingkan dirinya dulu, bila sudah puas dia tidak peduli aku lagi atau bertanya sama ada aku sudah klimak atau belum. Aku malu nak minta atau berbincang dengannya sebab sudah terlalu lama kami berkahwin. Bimbang pula aku kalau-kalau aku dituduhnya “gatal” atau ada seseorang yang mengajar aku meminta-minta,” ujarnya’

Akui Sarina, ketika bar-baru berkahwin usianya baru menginjak 19 tahun dan pada pandangannya dia memang tidak pandai berasmara tetapi apabila sudah banyak membaca, Sarina perasan dirinya tidak puas ketika bersama suami.

Walaupun tidak diluahkan melalui kata-kata dan perbuatan, namun sesekali hatinya mendongkol juga.

Namun setiap kali bersama dengan suami, waima sampai saat ini Sarina tetap melayan dengan baik walaupun hatinya merintih. Dia faham sikap suami yang tidak bersikap terbuka mengenai hubungan seks namun dari segi tanggungjawab terhadap keluarga, suaminya memang di tangga teratas.

Pengakhirnya kata Sarina, dia sesekali tidak akan buka mulut untuk melahirkan rasa terkilannya terhadap suami.

“Untuk menggembirakan hati, kalau boleh setiap tahun aku nak bersalin sebab ketika itulah suami akan berganda-ganda menyayangi dan menjaga aku. Agaknya itulah “klimak” yang aku dapat,” katanya tersenyum penuh makna.

Kes 2
JASMI ISMAIL (bukan nama sebenar) semakin khayal dengan dunia barunya kini, bercinta dengan Anne (samaran) pekerja wanita di pejabatnya yang baru kematian suami. Jasmi lupa pada Suraya (samaran) isterinya dan anak-anak seramai empat orang itu kerana Anne bukan sahaja berjaya menawan hatinya dengan paras rupa dan liuk lentoknya yang manja tetapi lebih daripada itu, Anne sanggup melayannya hingga ke ranjang, tuntutan batin yang semakin gagal dipenuhi oleh Suraya.

Hubungan keduanya berjaya dihidu Suraya dan berlaku pertengkaran namun Jasmi yang sedang mabuk asmara tidak mengaku dirinya bersalah dengan hubungan terlarang itu.

Sebaliknya Suraya dipersalahkan kerana gagal melayan nafsunya dan itu dijadikan alasan dia menjalin hubungan.

Suraya pula memberi alasan, kesibukan bekerja, melayan karenah anak-anak serta penyakit yang dialami antara penyebab, dia tidak ada ‘mood’ untuk melayan suami.

Sementelah pula Jasmi ego dan pentingkan diri sendiri dan enggan berbincang dengan Suraya mengenai masalah yang dihadapi.

Akhirnya di mahkamah Syariah, perkahwinan yang dibina selama 15 tahun hancur berkecai dan Suraya membawa diri bersama anak-anak.

Tip penyelesaian masalah

* Hanya kepada pasangan isu patut dibincangkan kerana merekalah yang akan memainkan peranan untuk mengubahnya.

* Bincang secara terbuka dari hati ke hati antara pasangan dan elak bincang dengan orang luar.

* Apabila keduanya sepakat mendapati ia berpunca dari masalah kesihatan seperti reproduktif gagal berfungsi, tidak ada ereksi, kekeringan vagina, tekanan atau penyakit, bertemu dengan pakar perubatan untuk menerima rawatan.

* Jika gagal merawat sedangkan pasangan berkehendak, masing-masing berhak untuk membubarkan perkahwinan.

Info kaji selidik

1.Tinjauan kaji selidik ini telah dijalankan oleh Harris Interactive dan disertai oleh negara-negara Australia, Austria, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, Greece, Hong Kong, India, Itali, Jepun, Malaysia, Mexico, Belanda, New Zealand, Nigeria, Poland, Russia, Singapura, Afrika Selatan, Sepanyol, Switzerland, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

2.Kaji Selidik Global Kesejahteraan Seksual Durex telah dijalankan secara “online” sepanjang bulan Ogos dan September 2006.

Ingin Letak Iklan ANDA di RAHSIA PERKAHWINAN ?
EMAIL KEPADA admin@rahsiaperkahwinan.com

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]





  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Hilang sentuhan romantis kerana dingin seks Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top