Breaking News

Bekas isteri boleh tuntut kadar baru nafkah

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

SAYA bercerai secara rasmi pada 16 Jun 2006. Suami saya meletakkan syarat supaya anak diletakkan dalam jagaan beliau (untuk mengelakkan potongan gaji bagi membayar nafkah), atau dia tidak akan menceraikan saya (pada hakikatnya dia tahu yang saya akan menjaga anak enam orang). Saya setuju dan sudah menandatangani dokumen rasmi mahkamah. Masalahnya sekarang, beliau cuma memberi nafkah RM200 sebulan saja. Adakah saya berhak menuntut nafkah anak, walaupun saya sudah menandatangani dokumen di mahkamah? Bolehkah saya memohon potongan gaji beliau memandangkan beliau tentera. Bolehkah saya memohon wang untuk anak selepas beliau mendapat wang pampasan ketika berkhidmat di Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Beliau akan bersara daripada tentera pada 2008. Harap tuan boleh memberikan pendapat dan pandangan. Terima kasih.

Bekas Isteri Tentera
Selangor

E-book Kamasutra | iklan berbayar di RAHSIA PERKAHWINAN


—————————————-

NAFKAH ditakrifkan daripada makna asalnya bermaksud mengeluarkan atau menghabiskan. Perkataan nafkah dengan maksud (mengeluarkan atau menghabiskan) hanya digunakan untuk maksud yang baik saja.

Dari segi istilah, nafkah ialah semua perkara diperlukan manusia seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Pada asalnya ada lima jenis nafkah harus dilaksanakan setiap manusia iaitu nafkah manusia kepada dirinya, nafkah usul (ayah datuk) kepada furu’ (anak cucu), seterusnya nafkah furu’ kepada usul, nafkah suami kepada isteri dan kelima adalah nafkah lain.

Nafkah seorang bapa terhadap anaknya tergolong dalam jenis nafkah kedua iaitu nafkah usul kepada furu’. Usul dimaksudkan kepada bapa atau datuk atau mana-mana waris di sebelah bapa yang diwajibkan menjalankan tanggungjawab memberi nafkah sekiranya bapa tidak berkemampuan.

Furu’ dimaksudkan dengan anak atau pun keturunan si bapa yang wajib diberi nafkah oleh bapa atau mana-mana wakil warisnya jika tanggungjawab itu tidak mampu dilaksanakan bapa.

Dengan kata lain, ayah kepada bapa atau mana-mana waris lain seperti adik-beradik si bapa hendaklah dan wajib mengambil alih tugas bapa memberikan nafkah kepada anak jika bapa tidak berkemampuan, hilang atau meninggal dunia. Oleh itu, bapa bertanggungjawab memberi semua jenis nafkah kepada anaknya, sama ada lelaki atau perempuan.

Dalil mewajibkan pemberian nafkah oleh bapa terhadap anaknya dinyatakan jelas dan terperinci dalam firman Allah bermaksud: “Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.” (Surah at-Talaq, ayat 6)

E-book Seks Hebat| iklan berbayar di RAHSIA PERKAHWINAN


Ayat itu menjelaskan seorang bapa wajib membayar upah menyusu seorang anaknya. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama dilaksanakan.

Kewajipan itu dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Dan ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara sepatutnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Islam menggariskan beberapa syarat mewajibkan bapa membayar nafkah dan melayakkan anak menerima nafkah iaitu bapa (usul) mempunyai kadar keperluan melebihi daripada keperluannya.

Jika hanya sekadar mencukupi untuknya atau isterinya dalam tempoh itu, maka tidak diwajibkan bagi usul memberikan nafkah kepada furu’nya.

Keduanya, furu’ hendaklah di kalangan orang fakir dan memiliki salah satu daripada ciri berikut, iaitu masih kecil, tidak mampu bekerja atau sakit seperti gila.

Namun, jika anak itu seorang yang baligh dan mampu bekerja, bapa tidak diwajibkan menyediakan nafkah, walaupun anak tidak bekerja.

Berkaitan kadar nafkah, Islam tidak menetapkan kadar tertentu. Yang penting, kadar nafkah itu mencukupi bagi anak dan untuk menentukan kadar kecukupan ialah berdasarkan adat kebiasaan dan kemampuan bapa memberi nafkah.

Berbalik kepada masalah puan, adakah nafkah RM200 mencukupi bagi enam anak dan adakah kadar itu paling maksimum mampu diberikan bekas suami puan.

E-book Hebat di Ranjang| iklan berbayar di RAHSIA PERKAHWINAN


Pada pandangan dan tanggapan saya, sudah tentu kadar sebegitu kecil tidak mencukupi menampung perbelanjaan bagi enam anak, tambahan pula dengan peningkatan kos sara hidup masa kini.

Oleh itu, jika puan berasakan kadar itu tidak mencukupi, maka puan boleh membuat permohonan baru di mahkamah melalui permohonan ubah perintah nafkah anak jika sebelum ini sudah termeterai satu perintah daripada Mahkamah Syariah berkenaan nafkah anak.

Puan menyatakan sudah menandatangani satu dokumen di mahkamah, maka puan harus memastikan apakah dokumen yang ditandatangani itu berkaitan dengan perintah nafkah anak.

Melalui permohonan itu, puan boleh memohon mengubah kadar perintah nafkah terdahulu dengan kadar terbaru bersesuaian kos keperluan anak serta kadar kemampuan bekas suami membayarnya.

Berdasarkan permohonan dan bukti mencukupi serta relevan daripada pihak pemohon, mahkamah akan mempertimbangkan satu kadar baru bersesuaian dengan kehendak dan keperluan semasa anak dan kemampuan bapa.

Mahkamah akan melihat juga daripada sudut tanggungan bapa dalam membuat keputusan lebih-lebih lagi jika bapa mempunyai tanggungan baru iaitu berkeluarga baru dan mempunyai anak daripada perkahwinan barunya.

Peruntukan undang-undang di Selangor mengenai kewajipan menanggung nafkah anak ditetapkan dalam Seksyen 73 (1) enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor, 2003 yang menyatakan: “Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain, sama ada dengan menyediakan baginya tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran seperti yang munasabah memandangkan kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”

Jelasnya, peruntukan di atas menetapkan bapa berkewajipan menyediakan nafkah terhadap anaknya tak kira sama ada anak berada dalam jagaannya atau orang lain seperti ibu.

 E-book Rahsia Jutawan Internet | iklan berbayar di RAHSIA PERKAHWINAN


Nafkah itu bukan saja makanan, tetapi termasuk tempat tinggal, pakaian, perubatan dan lain-lain keperluan semasa anak.

Persoalan mengenai pembayaran nafkah sama ada boleh atau tidak melalui potongan gaji, Mahkamah Syariah hari ini menyediakan pelbagai cara bersesuaian bagi pihak menjalankan tanggungjawab seperti diperintahkan termasuk melalui potongan gaji.

Memang diakui pemotongan gaji cara paling berkesan mengikat bapa daripada cuai atau gagal menjalankan tanggungjawab seperti diperintahkan mahkamah.

Jika bapa adalah pekerja sektor awam, maka lebih mudah pemotongan gaji dilaksanakan. Sekurang-kurangnya ia dapat mengelak bapa cuai daripada menjalankan tanggungjawab terhadap anaknya. Puan boleh menggunakan bantuan Peguam Syarie untuk memudahkan permohonan.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang persoalan syariah sila kemukakan ke admin@pgsm.org.my



Ingin Letak Iklan ANDA di RAHSIA PERKAHWINAN ?
EMAIL KEPADA admin@rahsiaperkahwinan.com

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]





No comments