728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

16 May 2007

Bantu anak hadapi peperiksaan | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

LAZIMNYA apabila anak menduduki peperiksaan utama sama ada Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, ibu bapa yang lebih berasakan ketegangannya.

Pada saat itu, ibu bapa akan mengambil pelbagai usaha bagi memastikan anak memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki.

Kejayaan dalam peperiksaan sering digunakan sebagai kayu pengukur untuk melihat keupayaan seseorang anak.

Ia juga tiket kepada peluang mereka melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Sebagai ibu bapa, mereka bertanggungjawab mempersiapkan anak dari segi mental, fizikal, emosi dan rohani.

Antaranya mewujudkan kemesraan dan bersikap tegas ketika mendidik anak, memberi dan menerima anak tanpa syarat, menerima kritikan membina daripada anak dan mewujudkan suasana anak berasa dimiliki.

Ibu bapa juga patut mengelakkan diri daripada mengulangi kesilapan yang sering dilakukan iaitu tidak membentuk anak supaya bercita-cita tinggi, tidak membantu anak menetapkan matlamat jangka pendek dan panjang, tidak membantu anak mengurus masa dengan bijak, tidak menyediakan jadual waktu, tidak peduli jika anak tiada keyakinan diri atau bersemangat, meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak dan kurang berdoa.

Anak belajar secara berkumpulan perlu digalakkan. Kaedah itu lebih berkesan kerana biasanya mereka dapat bertukar fikiran dan bersoal jawab jika ada perkara yang kurang jelas.

Lagipun, suasana pembelajaran seperti itu tidak membosankan atau tidak boleh membuat anak mengantuk.

Secara bersama anak boleh berkongsi nota, membanding jawapan, merumus sesuatu idea dan bersaing sesama sendiri secara sihat.

Ibu bapa juga tidak seharusnya memaksa anak belajar berterusan tanpa berehat atau beriadah. Dikhuatiri jika terlampau menerima tekanan, anak boleh diserang penyakit ketika hari peperiksaan. Ini pasti menjejaskan keupayaan menjawab soalan.

Sebagai ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak, mereka boleh membantu meletakkan sasaran yang bersesuaian dengan kemampuan anak. Contohnya, berapa muka surat yang boleh diulang kaji setiap hari atau berapa jam sehari untuknya belajar secara berkesan.

Jika dilakukan secara berterusan, insyaAllah anak tidak akan panik menjelang minggu peperiksaan.

Tekanan biasanya dialami apabila anak kecewa kerana tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa. Jadi, tidak mustahil jika kita dikejutkan dengan kes pelajar sekolah membunuh diri kerana mendapat keputusan kurang baik dalam peperiksaan.

Ibu bapa boleh dikatakan begitu mengambil berat kemajuan anak. Malangnya, hasrat murni ibu bapa belum mencapai tahap yang memuaskan.

Mereka perlu mengajak anak berfikir mengenai senario akan datang. Peluang untuk masuk ke institusi pengajian tinggi didasarkan kepada merit. Sektor pekerjaan tentu akan terbuka luas kepada calon yang cemerlang.

Jika masih leka dan selesa dengan apa yang ada, pasti anak akan ketinggalan dalam pelbagai bidang.

Seperkara lagi, pelajar kelihatan semakin kurang menunjukkan minat membaca. Masih ramai yang menjadikan buku hanya teman ketika menjelang peperiksaan, sedangkan budaya membaca perlu dipupuk dan dijadikan amalan harian.

Sebagai permulaan ibu bapa perlu menyediakan satu ruang atau bilik di rumah masing-masing sebagai tempat anak belajar dan membaca. Boleh dikatakan sebilangan besar keluarga mempunyai bahan bacaan di rumah.

Bahan itu ada yang disusun dan diguna dengan sempurna dan tidak kurang pula yang tidak menjaganya dengan baik.

Ibu bapa perlu berusaha menyusun bahan bacaan sebagaimana mereka menyusun perhiasan di ruang tamu agar dapat dimanfaatkan anak dari semasa ke semasa.

Bukankah sudah termaktub dalam lipatan sejarah bahawa ayat yang pertama turun kepada Rasulullah ialah: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah al-Alaq, ayat 1). Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mewujudkan budaya membaca.

Ibu bapa yang gemar membeli bahan bacaan dan membaca akan menjadi ikutan anak. Berdasarkan itu, ibu bapa perlu menjadikan membaca sebagai kegiatan seisi keluarga sebagaimana budaya solat, makan dan bercuti bersama.

Dengan itu, budaya ilmu secara tidak disedari akan menjadi amalan yang sangat baik bagi kemajuan ummah.

Dalam satu hadis riwayat Abu Nai’m daripada Ibnu Abbas Rasulullah bersabda: “Manusia yang terdekat kepada darjat kenabian ialah orang yang berilmu dan berjihad. Ada pun yang berilmu, maka mereka memberi petunjuk kepada manusia daripada apa yang dibawa nabi. “Dan yang berjihad, mereka berjuang dengan pedang bagi membela apa yang dibawa nabi.” Kesimpulannya, ibu bapa adalah pembimbing dan pendorong kepada kejayaan seseorang pelajar.

Apapun perancangan yang dibuat, jika pelajar sendiri tidak bersikap positif dan memandang serius nasibnya, segala-galanya akan sia-sia saja.

Banyakkan melakukan amalan kerohanian seperti berpuasa, solat hajat, berdoa dan membaca surah Yassin ketika anak menduduki peperiksaan.

Amalan itu dapat membantu memberi semangat dan keyakinan kepada mereka. Seterusnya bertawakal kepada Allah selepas kita melakukan pelbagai usaha bagi mencapai apa yang dihajatkan.

Firman Allah bermaksud: “Apabila kamu bercita-cita maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal.”

Ingin Letak Iklan ANDA di RAHSIA PERKAHWINAN ?
EMAIL KEPADA admin@rahsiaperkahwinan.com

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Bantu anak hadapi peperiksaan | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top