728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

19 April 2007

Wanita perlu peka perubahan payu dara | WOMAN, sexy, beautiful, matured, health Wanita MALAYSIA

Pemeriksaan sebulan sekali mampu kesan perkembangan terutama barah bagi elak kematian

SEJENIS kelenjar peluh terubah suai yang menghasilkan susu untuk bayi baru lahir; organ perangsang seks dan dianggap sebagai organ utama yang menyerlahkan kecantikan seseorang wanita adalah peranan utama payu dara.

Sebalik keindahan itu tersembunyi racun kerana hingga ke hari ini Daftar Kanser Kebangsaan merekodkan barah payu dara menduduki tangga teratas peragut nyawa wanita. Laporan juga menyebut setiap seorang daripada 19 wanita berisiko mendapat barah payu dara sepanjang jangka hayatnya.

Membandingkan hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Malaysia 1996 serta Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia 2004 mendapati, pemeriksaan sendiri payu dara meningkat ke 69.5 peratus daripada 34.2 peratus dan pemeriksaan payu dara di klinik meningkat kepada 53.2 peratus daripada 31.1 peratus, realitinya kebanyakan kes yang mendapatkan rawatan, datang ketika penyakit berada pada peringkat yang serius.

Sungguhpun setiap wanita berisiko mendapat barah payu dara dengan 80 peratus penyakit payu dara bukan bersifat barah, tetapi wanita perlu melihat dan memeriksa payu dara kerana dengan pengesanan awal saja dapat menyelamatkan nyawa.

Pegawai Perubatan Unit Klinikal Kepakaran Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Komathy Thiagarajan, berkata walaupun barah tidak disertai kesakitan hakikatnya wanita perlu lebih peka memastikan sebarang perubahan pada payu dara.

“Sama ada perubahan itu disertai dengan rasa sakit atau sebaliknya, paling mustahak memeriksa sekurang-kurangnya sebulan sekali kerana pengesanan awal itu membantu untuk mendapat rawatan yang sewajarnya. Tambahan pula bukan semua perubahan itu membabitkan barah.



“Sebagai contoh sekiranya menghidap radang payudara, ia bukan bersifat barah sebaliknya terjadi apabila kulit payu dara pecah dan kuman memasuki tisu payu dara menyebabkan jangkitan. Besar kemungkinan bahagian itu sakit, tetapi rawatan hanyalah ubat antibiotik atau pembedahan kecil mengeluarkan nanah yang terkumpul. Bagaimanapun setiap perubahan itu perlu disusuli rawatan ke klinik sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya pada seminar Lihat dan Periksa Payudara Anda anjuran LPPKN di ibu negara, baru baru ini.

Beliau berkata, sungguhpun wanita berisiko mendapat barah, ada beberapa faktor yang menjurus kepada barah seperti umur yang mana risikonya semakin meningkat dengan peningkatan usia sementara faktor genetik dengan sejarah keluarga menghidap barah payu dara, menjadikan risiko mendapat barah adalah 60 hingga 85 peratus.

“Bagi individu yang mana ada ahli keluarga terdekat pernah mengalami barah pada sebelah payu dara, sebarang perubahan perlu mendapatkan rawatan segera. Bagi wanita yang tidak pernah mengandung atau mengandung anak pertama pada usia melebihi 30 tahun atau tidak pernah memberi susu badan atau datang haid awal kurang 12 tahun dan menopaus melebihi usia 55 tahun ke atas, risiko mendapatkan barah lebih besar.

“Sementara faktor luaran lain termasuk tabiat merokok, pengambilan alkohol, tidak bersenam selain mendapatkan rawatan gantian hormon (HRT) melebihi tempoh lima tahun dikatakan berisiko tinggi berbanding wanita yang tidak mengambil hormon berkenaan,” katanya.

Sebahagian besar barah tidak menunjukkan kesan ketara, sungguhpun begitu, benjolan pada payu dara, puting termasuk ke dalam, keluar lelehan daripada puting dalam rupa bernanah atau berdarah antara petanda kanser yang perlu diberikan perhatian.

Bukan saja payu dara, kawasan sekitar kadang kala menjadi petunjuk yang mana membabitkan perubahan lain di kawasan sekitar umpamanya bengkak kelenjar limfa ketiak dan leher. Individu boleh mengesan tanda perebakan sel barah termasuk sakit tulang belakang, sakit kepala, pening, muntah, sakit kuning, sakit pada dinding dada dan batuk berdarah.

Beliau berkata, selain pemeriksaan sendiri payu dara, ujian diagnosa barah termasuk mamogram yang mengesan imej daripada sudut atas ke bawah dan daripada tepi payu dara untuk mengesan sebarang perubahan di dalam payu dara. Dalam keadaan tertentu biopsi tisu iaitu pengambilan contoh tisu untuk memastikan barah atau sebaliknya perlu dilakukan menggunakan jarum khusus.

“Antara rawatan barah termasuk rawatan setempat yang mana pembedahan sama ada seluruh atau sebahagian payu dara serta pembedahan kelenjar limfa ketiak diikuti dengan radioterapi. Rawatan sistemik selama lima tahun diikuti kemoterapi sebelum dan selepas pembedahan serta dalam kes melarat antara langkah diperlukan.

“Pembuangan keseluruhan payu dara atau mastektomi mungkin pilihan terakhir, tetapi kemajuan sains dan teknologi memberikan lebih pilihan kepada pesakit ‘mendapatkan’ kembali payu dara menerusi ‘breast conservation’ atau pembedahan plastik. Dalam mendepani barah ini, pesakit tidak berseorangan sebaliknya selain daripada keluarga ada kumpulan sokongan yang sedia membantu khususnya daripada segi sokongan moral,” katanya.


INFO

Penyakit bukan barah yang perlu anda tahu
# Penyakit Fibrosistik – sering terjadi. Boleh terjadi pada mana-mana peringkat umur, lebih kerap sekitar umur reproduktif iaitu antara 20 dan 45 tahun. Payu dara berbenjol dan mungkin sakit yang amat lebih ketara sebelum datang haid. Dalam keadaan ini wanita mungkin perlu biopsi dalam kes tertentu untuk memastikan bukan barah. Walaupun tiada rawatan khusus, benjolan yang mungkin terjadi itu boleh dilakukan dengan mengelak pengambilan kafein, mengambil evening primrose, vitamin E, Vitamin B6 mungkin boleh membantu. Pengambilan pil perancang keluarga boleh mengurangkan risiko.
# Penyakit Fibroadenoma – dikenali juga sebagai breast mouse, ia sering terjadi pada mana-mana peringkat umur, lebih kerap pada wanita berumur 20-an dan 30-an. Ia berupa benjolan dengan sempadan yang jelas dan bergerak-gerak pada payu dara dan boleh jadi ada lebih daripada satu benjolan pada satu masa. Ia didiagnosis menerusi biopsi. Bagi merawatnya satu pembedahan pembuangan benjolan dilakukan kecualilah sekiranya ia terlalu kecil atau terlalu banyak, sungguhpun begitu ia sering berulang walaupun sudah menjalani pembedahan.
# Nekrosis Lemak – terjadi bila berlaku kecederaan kepada tisu lemak payu dara. Tisu tercedera menjadi benjolan keras atau benjolan berisi minyak. Ia boleh didiagnosis melalui biopsi.
# Radang payudara – dikenali juga sebagai Mastitis. Ia terjadi apabila kulit payudara pecah dan kuman memasuki tisu payu dara menyebabkan jangkitan pada payu dara. Bahagian terbabit terasa sakit dan kulit payudara menjadi merah. Rawatan diberikan ialah ubat penahan sakit dan antibiotik, bagaimanapun sekiranya dibiarkan melarat, nanah boleh terkumpul dan perlu dibedah untuk mengeluarkan nanah.
# Galaktorea – susu dihasilkan daripada payu dara wanita yang tidak menyusui bayi, mungkin membabitkan sebelah atau kedua-dua belah payu dara. Susu mungkin keluar secara spontan atau bola payu dara disentuh. Antara sebabnya mungkin kesan ubat tertentu (ubat darah tinggi, ubat kemurungan, hormon, ubat tahan muntah) ketidakseimbangan hormon, dadah (marijuana, opiate), ketumbuhan kelenjar pituatari, pemeriksaan sendiri payu dara yang terlalu kerap, stimulasi semasa aktiviti seks.
# Ektasia Duktus – dikenali juga sebagai Duct Ectasia. Biasanya terjadi kepada wanita berumur 40-an dan 50-an. Puting mengeluarkan cairan hijau atau hitam yang tebal dan melekit. Areola mungkin terasa sakit dan merah serta mungkin ada benjolan keras akibat pembengkakan duktus (saluran) susu. Keadaan ini boleh hilang dengan sendiri atau dirawat dengan tuam panas dan antibiotik. Dalam kes tertentu, benjolan duktus mungkin perlu dibuang secara pembedahan.

Sumber informasi barah yang boleh dihubungi : Healthline lppkn – 03-2693 8877 (talian terus) setiap hari bekerja 8.30 hingga 5 petang. www.radiologymalaysia.org; www.cancer.org.my (Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia); www.ummc.edu.my (Pusat Perubatan Universiti Malaya)

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Wanita perlu peka perubahan payu dara | WOMAN, sexy, beautiful, matured, health Wanita MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top