728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

09 April 2007

Suasana rumah punca remaja mudah hanyut | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA

Ketidakharmonian keluarga menyebabkan anak muda dipengaruhi anasir negatif, masalah sosial

RUMAHKU Syurgaku. Tanya diri anda bagaimana keadaan di rumah anda. Bagi anda yang memiliki anak remaja, sekiranya anda sendiri sudah bosan berada di rumah, diri bagaikan ‘cacing kepanasan’, agaknya bagaimanakah fikiran anak remaja anda itu?

Bagaimana ‘rupa’ anak anda, itulah kesan yang ditinggalkan. Mungkin terlalu ‘keras’ didengari, namun itulah hakikat harus diterima sekiranya faktor luaran lebih mendominasi fikiran anak remaja kerana daya tolakan di rumah yang terlalu tinggi.

Pegawai Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Chief Inspektor Adzzi Ismail, berkata kebanyakan masalah sosial seperti penagihan dadah, lari dari rumah, bunuh diri, mat rempit, bergaduh, mencuri dan pengguguran berpunca daripada masalah di rumah.

Malah, katanya, ketidakharmonian dalam keluarga menduduki tempat pertama punca berlaku gejala negatif. Keadaan rumah yang sempit hanya mempunyai dua bilik ditambah faktor persekitaran memberi sumbangan kepada peningkatan kes sosial seperti haruan makan anak.

“Jumlah ahli keluarga yang ramai tetapi ruang bilik terhad menyebabkan ada anak perempuan yang terpaksa tidur di ruang tamu bersama adik yang lain tanpa mengira jantina, dengan kata lain tidak menjaga aurat yang ditetapkan dalam Islam. Pernah di dalam satu kes seorang ayah melakukan perkara tidak senonoh terhadap anak gadisnya hanya kerana terlihat aurat anak perempuannya yang ketika itu sedang tidur di ruang tamu.



“Konflik remaja dan ibu bapa juga dilihat banyak berlaku apabila luahan perasaan daripada remaja terhadap ibu bapa berlaku dalam suasana yang bercanggah dari segi nilai, sikap dan tingkah laku. Suasana ini wujud disebabkan jurang antara generasi kedua-dua pihak,” katanya pada Bengkel Evaluasi Isu Sosial Remaja Belia yang diadakan di Kuala Lumpur, baru baru ini.

Bengkel anjuran Biro Pembangunan Sosial Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu diharap dapat mempersiapkan jentera pembangunan sosial dalam merancang, menggerak dan melaksanakan program paqda peringkat setempat dan luar, sesuai dengan perkembangan serta perubahan suasana sosial.

Disamping menyediakan ruang perbincangan dan cambahan fikiran, bengkel itu juga diharap menjadi medan pertembungan resolusi dalam mengenalpasti keupayaan badan penggerak pembangunan sosial dan golongan sasaran terbabit agar kaedah yang digunakan akan lebih bersesuaian dengan kelompok sasaran.

Selain itu, Adzzi berkata, perasaan rendah diri dan kurang kasih sayang juga menimbulkan kesan buruk dalam sesebuah rumah tangga. Misalnya, ada segelintir remaja yang dibebani tugasan rumah sedangkan beliau mempunyai kakak atau abang.

Masalah ini akan lebih ketara jika beliau mengaitkan kekurangan dirinya seperti tidak sepandai kakak atau abangnya.



“Kasih sayang boleh membawa kesan positif, tetapi jika berlebihan boleh membawa kesan sampingan yang negatif. Oleh itu, konflik remaja wujud apabila mereka merasakan bahawa diri terasing, sendirian dan tidak dikasihi. Dalam hubungan ini, remaja mula mencari alternatif lain sekiranya mereka tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa dan keluarga.

“Pada tahap remaja ini, mereka mempunyai emosi yang sangat sensitif berbanding sebelumnya. Emosi mereka juga sering terganggu kesan perubahan pada tubuh dan limpahan hormon yang agak ketara. Pada peringkat ini akan wujud perbezaan pendapat antara remaja dan ibu bapa sehingga menimbulkan konflik. Kesudahannya mereka akan melihat tarikan luar cukup menarik sedangkan itu adalah perangkap yang menjurus kepada gejala sosial,” katanya.

Konflik dan ketidakharmonian dalam rumah menjadi faktor remaja mula menjinakkan diri di luar. Malang sekiranya mereka terbabit dengan rakan yang tidak boleh diharapkan kerana remaja yang dahagakan perhatian akan mudah leka dan itulah punca sebenar kepada gejala negatif termasuk dadah, musuh utama negara.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Suasana rumah punca remaja mudah hanyut | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top