Breaking News

Saudara baru berhak kebahagiaan | Rahsia , Al-Islam, Muslim, Sejarah, Ceramah ISLAM

URUSAN perkahwinan dan perceraian bukan Islam di negara ini dikawal selia oleh Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Dari segi sejarah penggubalannya, akta ini diceduk daripada undang-undang Inggeris berasaskan agama Kristian.

Selepas diluluskan di negara ini, undang-undang itu mendapat bantahan daripada beberapa agama lain menyebabkan ia hanya diwartakan selepas beberapa tahun diluluskan.

Akta itu diluluskan oleh Parlimen bertujuan menyediakan perkahwinan monogami, tidak membenarkan berkahwin lebih daripada satu, urusan perisytiharan dan pendaftaran perkahwinan, undang-undang berkaitan perceraian dan perkara yang bersangkutan dengannya.

Akta itu terpakai bagi rakyat Malaysia dan bermastautin tetapi tinggal di luar Malaysia. Akta itu tidak terpakai kepada orang Islam atau sesiapa yang berkahwin menurut undang-undang Islam.

Perkahwinan membabitkan salah seorang daripada pasangan bergama Islam juga tidak boleh dilakukan atau didaftarkan mengikut akta itu.

Mengikut Seksyen 51, akta itu memperuntukkan bahawa satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu sudah memeluk Islam, pihak satu lagi yang tidak memeluk Islam boleh memfailkan petisyen untuk perceraian dengan syarat petisyen tidak boleh difailkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh memeluk Islam.

Apabila membubarkan perkahwinan, mahkamah boleh mengeluarkan perintah kepada isteri atau suami untuk kepentingan anak kepada perkahwinan itu, jika ada, atau meletakkan syarat apabila membubarkan perkahwinan itu. Mahkamah yang dimaksudkan adalah mahkamah sivil.

Jika diperhatikan dengan teliti, Seksyen 51 itu hanya memberi hak kepada pihak tidak memeluk Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya di mahkamah, manakala pihak yang memeluk Islam tidak mempunyai hak membubarkan perkahwinan.

Jika pihak tidak memeluk Islam enggan memfailkan petisyen atas alasan tertentu, tidak ada sebarang penawar dan jalan keluar bagi pihak yang memeluk Islam.

Undang-Undang Keluarga Islam adalah undang-undang yang memperuntukkan mengenai perkahwinan, perceraian, nafkah, penjagaan dan perkara lain berkaitan kehidupan berkeluarga orang Islam.

Mengikut Seksyen 46(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 menyatakan, jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan itu tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan disahkan oleh mahkamah. Seksyen 1 mentakrifkan mahkamah yang dimaksudkan dalam Seksyen 46 ialah mahkamah syariah. Seolah-olah ada percanggahan antara dua undang-undang itu.

Walaupun pihak memeluk Islam boleh memohon membubarkan perkahwinannya di mahkamah syariah melalui Seksyen 46(2) enakmen berkenaan, perintah mahkamah syariah tidak mengikat pihak yang tidak memeluk Islam.

Acap kali perintah mahkamah syariah tidak dihiraukan dan diperlekeh pihak yang tidak memeluk Islam kerana mereka berpendirian perkahwinan mereka didaftarkan melalui kaedah sivil dan mahkamah sivil yang berhak membubarkan perkahwinan itu dan bukan mahkamah syariah.

Mereka enggan tertakluk kepada perintah mahkamah syariah sedangkan pihak yang memeluk Islam tidak mempunyai penawar melalui Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 itu. Ini tidak adil bagi mualaf yang memeluk Islam.

Sudah lama peruntukan ini diperkatakan tetapi tidak ada pindaan dibuat berhubung perkara itu. Seksyen 51 ini mesti dipinda bagi membolehkan mana-mana pihak sama ada yang memeluk Islam atau tidak memeluk Islam diberikan hak yang sama membubarkan perkahwinan sivil mereka. Dengan cara itu keadilan boleh diberikan kepada pihak yang memeluk Islam.

Seksyen 51 seolah-olah tidak mengiktiraf hak atau kebebasan individu untuk memilih agama sendiri kerana jika mereka memeluk Islam, sebahagian hak mereka dinafikan walaupun hak dan kebebasan memilih agama dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Keadaan ini sebenarnya banyak kali berlaku di Malaysia dan yang menjadi mangsa ialah pihak yang memeluk Islam, sama ada suami atau isteri.

Kita mengharapkan kerajaan dapat segera meminda seksyen itu bagi memberi imbangan keadilan bagi pihak yang memeluk Islam.

Seksyen itu seolah-olah menganggap memeluk Islam suatu kesalahan dan kerana itu mereka menerima penalti dan hak untuk perceraian ditarik daripada mereka.

Berdasarkan pelaksanaan sekarang, pihak memeluk Islam dinafikan haknya untuk hidup mengikut kepercayaan agamanya kerana beliau masih dianggap suami isteri di sisi undang-undang jika pihak tidak memeluk Islam tidak memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan. Sedangkan jelas mengikut hukum syarak, perkahwinan itu terbubar dalam tempoh tertentu jika pihak yang satu lagi tidak ikut memeluk Islam.

Oleh itu, pihak memeluk Islam hanya boleh menunggu sehingga pihak tidak memeluk Islam memfailkan petisyen perceraian.

Apa akan berlaku jika pihak tidak memeluk Islam langsung tidak memfailkan petisyen sehingga kematian pihak memeluk Islam.

Bagaimana jika yang memeluk Islam itu adalah isteri, dia akan tetap tertakluk kepada suaminya yang bukan Islam kerana mengikut undang-undang mereka adalah pasangan sah dan perkahwinan mereka masih berkuatkuasa.

Sudah tentu isteri yang memeluk Islam akan teraniaya kerana tidak ada jalan keluar untuknya melaksanakan ajaran agama dipilihnya.

Jika suami yang memeluk Islam dan berkahwin dengan wanita lain, kemudian si suami meninggal dunia, tentu pihak yang tidak memeluk Islam berhak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan.

Sudah tentu akan terjadi perebutan harta antara kedua mereka kerana undang-undang gagal menyelesaikan masalah sebegini.

Walaupun begitu, pindaan kepada Seksyen 51 saja tidak akan menyelesaikan beberapa masalah lain seperti hak jagaan, agama anak, harta sepencarian dan urusan nafkah.

Perkara itu perlu diteliti bagi memberi keadilan kepada semua pihak dalam mengamalkan agama. Selain undang-undang yang ada, jalan penyelesaian terbaik adalah melalui perbincangan.

Dalam mengadakan perbincangan, hormat-menghormati dan percaya mempercayai antara satu sama lain penting. Hak orang Islam untuk mengamalkan agama perlu dihormati selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan mengamalkan agama, apatah lagi agama yang diamalkan itu adalah agama rasmi Persekutuan.

# Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dikirim ke admin@pgsm.org.my

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]








No comments