728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

13 April 2007

Sabar perisai hadapi musibah kehilangan anak | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA

ANAK adalah satu anugerah Allah yang amat istimewa bagi sepasang suami isteri dalam kehidupan berumah tangga. Malah setiap pasangan yang berkeluarga memang impikan anak untuk memeriahkan lagi serinya institusi rumah tangga mereka.

Itu sudah menjadi satu keinginan yang bersifat semula jadi yang Allah ciptakan di dalam sudut hati setiap manusia. Oleh itu, tidak hairanlah anak dianggap penyejuk hati dan mata ibu bapa di kala suka dan duka dalam menelusuri pentas kehidupan yang penuh pancaroba.

Alangkah sepinya hidup ibu bapa yang tidak memiliki anak untuk mewarnai kemeriahan hidup mereka. Namun sejak akhir-akhir ini, kes kehilangan anak kesayangan semakin menjadi-jadi di dalam masyarakat kita. Kadang-kadang ia menjadi satu bahan berita yang cukup sensasi sehingga mendapat perhatian khalayak.

Tidak kurang pula sebahagian orang yang membuat pelbagai tafsiran mengenai misteri kehilangan anak itu dengan mengaitkan cerita yang di luar kewarasan akal. Walau apapun, ia sebenarnya adalah satu masa yang paling sesuai bagi semua pihak bermula dari ibu bapa hingga ke pihak yang bertanggungjawab untuk melakukan muhasabah dan penilaian terhadap peristiwa yang berlaku.

Kes kehilangan anak pasti peristiwa malang dan menyedihkan kepada semua pihak, terutama ibu bapa anak terbabit. Kadang-kadang ibu bapa akan melakukan apa saja demi anak kesayangan, biarpun terpaksa menghabiskan duit yang mencecah ribuan ringgit supaya mereka dapat menemui semula anak mereka.

Begitulah betapa tingginya nilai kasih sayang ibu bapa terhadap anak. Dalam masa yang sama, keprihatinan pihak masyarakat dan media arus perdana amat dihargai dalam usaha menjejaki anak yang hilang itu.

Menurut perspektif Islam, kehilangan anak antara siri ujian yang Allah hamparkan di atas pentas kehidupan umat manusia ini. Justeru, sebarang musibah dan ujian yang menimpa manusia mewajarkan satu renungan dan muhasabah diri setiap Muslim terhadap perjalanan hidup yang telah dan sedang berlangsung pada saat ini. Dari satu sudut, setiap Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau kecuaian yang pernah dilakukannya sehingga menghadapi ujian begitu hebat daripada Allah.

Dari sudut lain pula, kehidupan ini pada dasarnya sarat dengan ujian dan dugaan Allah bagi menguji sejauh mana keimanan dan ketakwaan setiap Muslim terhadap Allah. Muslim yang berjaya ialah mereka yang sentiasa mengambil iktibar, merenung diri dan seterusnya bersyukur kepada Allah.



Maka amat tepatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan dalam kehidupan ini melainkan orang yang benar-benar mahu mendengar dan merenung diri atau orang yang berilmu dan berkata benar. Wahai manusia! Kalian berada pada satu zaman yang penuh kemelut dan krisis. Di samping itu, masa juga berjalan begitu pantas. Pada waktu itu, kalian menyaksikan sesuatu yang asing dan baru akan berlaku silih berganti siang malam serta sesuatu yang jauh akhirnya menjadi lebih dekat di samping berselang-selang satu demi satu apa yang dijanjikan Allah.” – (Hadis riwayat Ibnu ‘Asakir)

Ini bermakna kehidupan di dunia ini tidak sunyi daripada kemelut, krisis, musibah dan malapetaka di mana tidak seorang pun manusia akan terlepas daripadanya. Masa pula seakan tidak lagi memberikan kesempatan bagi manusia untuk membuat pilihan sama ada esok atau lusa. Ini kerana malam dan siang bersilih ganti menghadirkan seribu satu dugaan dan ujian yang terhampar sepanjang perjalanan hidup manusia bagi menguji tahap keimanan dan ketakwaan yang bertakhta di jiwa sanubari.

Malah, dunia ini tidak lagi memberikan kebaikan dan keberkatan hidup kecuali kepada seorang yang sedia mendengar dan menginsafi diri atau seorang yang memanfaatkan ilmunya untuk menyampaikan kebenaran.

Sabar dalam menghadapi musibah adalah perisai terbaik dan perhiasan wajib bagi setiap ibu bapa kerana kehidupan dunia ini umpama medan ujian dan peperiksaan yang datang silih berganti kepada manusia. Allah berfirman dalam surah al-Taghabun, ayat 11 yang bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Oleh itu, sesiapa yang dapat menghadapinya dengan sabar dan tenang bermakna dia telah lulus dalam ujian itu dan akan terus diuji Allah sehingga menjadi Muslim yang benar-benar bertakwa kepadaNya.

Kenyataan ini selari dengan sabda Rasulullah SAW apabila baginda ditanya sahabat yang bermaksud: “Siapakah orang yang paling banyak sekali terkena ujian? Jawab baginda: Para Nabi dan seterusnya orang yang seumpama mereka. Maka barang siapa yang tebal imannya nescaya banyaklah ujian yang akan menimpanya dan barang siapa yang lemah imannya sedikitlah pula ujiannya.” – (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Dalam waktu yang sama, berhadapan dengan keadaan yang sukar itu, amat wajar pasangan ibu bapa terbabit supaya sentiasa berdoa kepada Allah agar dijauhkan daripada segala ujian dan musibah. Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Bersihkanlah hartamu dengan zakat, ubatilah sakitmu dengan sedekah dan tolaklah olehmu bala bencana dengan doa.” (Hadis riwayat Tabrani)

Bukankah doa itu sebenarnya senjata ampuh seorang mukmin bila berada pada saat-saat genting, lebih-lebih lagi apabila ditimpa musibah. Siapakah lagi pelindung dan penyelamat yang berupaya menyelamatkan dan menghindari manusia daripada bencana selain Allah yang Maha Berkuasa. Dalam hal ini, pasangan ibu bapa seharusnya melakukan solat hajat dan memperbanyakkan doa supaya diberikan hidayah petunjuk untuk menjejaki anak mereka yang hilang.

Janganlah pula mereka mengharapkan bantuan bomoh dan dukun yang ingin mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan kewangan. Perlu diingat bahawa perbuatan mencari bomoh dan dukun kadangkala dikhuatiri boleh menjejaskan akidah kerana wujud satu kepercayaan penuh kepada bomoh dan dukun dalam menyelesaikan masalah mereka dengan menggunakan kaedah yang pelik dan luar biasa yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan ajaran Islam.

Amat malang masih ramai umat Islam yang percayakan kepada amalan perbomohan yang sememangnya jelas bercanggah dengan hukum syarak.

Masyarakat pula sewajarnya mempunyai peranan dan tanggungjawabnya untuk sama-sama membantu dan meringankan beban kesusahan yang ditanggung oleh saudaranya. Ini kerana seorang manusia selamanya tidak mampu untuk bertahan keseorangan, malah tidak terdaya pula untuk menghadapi segala bentuk kepayahan dan kesulitan yang merintangi dirinya. Oleh sebab itulah, dia amat memerlukan pertolongan saudaranya untuk sama-sama mengharungi pentas hidup yang penuh berliku ini.

Maka benarlah pepatah Arab yang menyatakan: “Seorang itu amat sedikit (tenaga kekuatannya) apabila berseorangan, dan akan menjadi bertambah banyak jika dia berada bersama-sama saudara-saudaranya.”

Dalam Islam, salah satu hak persaudaraan yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim terhadap saudaranya ialah hendaklah dia menolong saudaranya baik masa senang atau susah. Barangkali inilah maksud yang cuba diungkapkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Ibarat seorang Mukmin terhadap Mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang setengah bahagiannya menegakkan bahagian yang lain.” – (Hadis riwayat Bukhari)



Dengan sebab itu, persaudaraan Islam yang tulen adalah satu nikmat Ilahi yang tiada ternilai ini bukan hanya sekadar nikmat kerohanian semata-mata yang lahir daripada jalinan akidah yang satu, malah ia juga adalah nikmat yang wujud daripada sifat tolong menolong dari sudut material berdasarkan kadar kemampuan masing-masing. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Budi kebajikan (tolong menolong) itu akan memelihara seseorang daripada ditimpa malang dan bahaya yang mendatang, bersedekah (membantu meringankan beban saudaranya) dalam keadaan sulit atau tersembunyi daripada pengetahuan umum akan menghapuskan kemurkaan Tuhan, dan menjalinkan atau mengeratkan tali silaturahim (dengan sifat tolong menolong) akan melanjutkan usia seseorang.” – (Hadis riwayat Tabrani)

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Sabar perisai hadapi musibah kehilangan anak | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top