728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

02 April 2007

Rumah tangga stabil tak semestinya berkualiti | Married, Couple, Health care, Family Planning, MALAYSIA

SABAN hari kita dipaparkan pelbagai isu dan masalah masyarakat di dalam media cetak mahupun elektronik. Ada peristiwa atau kejadian boleh dijadikan teladan dan ada juga cerita menyedihkan mengenai pergolakan rumah tangga hingga membuatkan kita terfikir, termenung dan berbincang panjang lebar mengenai realiti yang berlaku pada masyarakat kita hari ini.

Walaupun banyak perkara positif dan sihat boleh memberi manfaat dalam menjalani kehidupan berumahtangga, kita sering didedahkan perkara tidak sihat dan memilukan seperti pembunuhan suami atau isteri, penganiayaan anak, keganasan rumah tangga, sumbang mahram, penderaan emosi, penyalahgunaan dadah, mat rempit dan banyak lagi mencerminkan kegawatan akhlak, moral dan kesihatan mental masyarakat.

Tekanan dan kecelaruan mental bukan sekadar memberi implikasi terhadap personaliti individu terbabit dan keluarganya, malah menjejaskan kualiti produktivitinya dan ia memberi kesan buruk kepada negara.



Banyak pihak memberikan reaksi kepada keadaan sosial masyarakat. Ada pandangan mengatakan perubahan gaya hidup dan nilai disebabkan arus pembangunan dan perkembangan sejagat dan setempat meresapi dan mempengaruhi corak dan gaya hidup masyarakat.

Ada juga pihak menuding jari kepada kegagalan ibu bapa dan komuniti menjalankan peranan masing-masing dalam mencorak gaya hidup lebih produktif dan sihat. Dalam pada itu, tidak kurang menyalahkan personaliti individu terbabit. Walau apapun alasan dan sebab diutarakan, kita perlu melihat segala isu dan permasalahan itu sebagai tanggungjawab secara kolektif.

Usaha kerajaan memartabatkan institusi rumah tangga dan keluarga tidak perlu dipertikaikan lagi. Pelbagai mekanisme dan program sudah, sedang dan akan dirangka bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Program bersepadu ke arah kecemerlangan institusi keluarga dijana untuk kepentingan pelbagai golongan dan lapisan masyarakat sejajar hasrat murni kerajaan melahirkan modal insan berkualiti.

Walaupun sukar membuat pengiraan kecelaruan emosi dan mental apabila berdepan dengan perceraian, banyak dokumentasi mengenai kerapuhan hubungan suami isteri dikaitkan dengan kadar kematian pramatang, bilangan kematian tidak disengajakan, kesakitan kronik, kecelaruan psikiatrik, penyalahgunaan bahan, kemurungan, masalah ekonomi dan cabaran penyesuaian sosial (Larson, Swyer dan Larson, 1994).

Ramai wanita diceraikan mengalami kesukaran menyara keluarga, menanggung beban melebihi keupayaan mereka dan kebiasaannya mengalami penurunan standard kehidupan terutama ketika tahun pertama perceraian (McLindon, 1987; Weiss, 1984). Anak mangsa perceraian terpaksa menerima harga yang teruk akibat peristiwa itu.

Kecelaruan rumah tangga dikaitkan dengan kesan buruk hubungan anak dengan kedua ibu bapa, harga diri, hubungan rakan sebaya, kejayaan akademik, penyesuaian tingkah laku dan kesihatan fizikal (Larson, Swyers dan Larson, 1994).

Akibat dan kesan negatif daripada pengalaman mempunyai ibu bapa bercerai ketika kecil seperti kasihan kepada diri sendiri, dendam, kekecewaan, rasa bersalah, keseorangan, ketakutan, rasa marah, tidak percaya dan tingkah laku tidak sihat boleh dengan mudah meresap dan mempengaruhi kehidupan dewasa (Wallerstein, 1991).

Kita tidak boleh menerima andaian bahawa hanya satu rawatan boleh menghapuskan keseluruhan kesukaran disebabkan perceraian. Sebaliknya, adalah munasabah dan wajar untuk mengandaikan bahawa penemuan dan penyebaran beberapa aspek asas rumah tangga berkualiti boleh membantu memperlahankan arus perceraian atau sekurang-kurangnya menyediakan perlindungan daripada tempias kesan buruknya.

Statistik kerapuhan institusi keluarga yang diketengahkan badan atau agensi kerajaan berkaitan menggambarkan keperluan mendesak untuk menanganinya secara berhemah. Kita seharusnya perlu berhati-hati agar tidak hanya memfokus kepada kesan negatif perceraian saja sehingga kita terlepas pandang kesan tidak elok perkahwinan yang masih utuh tetapi tidak bahagia.



Mungkin lebih banyak rumah tangga bermasalah dan kita tidak dapat memastikan betapa banyak lagi pasangan tidak mempunyai kualiti perhubungan baik. Justeru, tidak wujudnya perceraian tidak bermakna sesebuah rumah tangga itu sentiasa berkualiti dan bahagia. Banyak rumah tangga stabil tetapi tidak berkualiti dan mereka hanya tinggal bersama mungkin kerana faktor anak, ekonomi dan keluarga.

Dilaporkan satu daripada tujuh pasangan yang memilih tidak bercerai mempunyai perhubungan rapuh, penuh kekecewaan, keseorangan, tidak memuaskan dan tidak bahagia (Levinger, 1976; Boland dan Follingstad, 1987; Heaton dan Albrecht, 1991).

Booth dan Edwards (1989) menerangkan bahawa perhatian lebih terperinci perlu diberi kepada rumah tangga sempurna dan nampaknya stabil dan berpanjangan sedangkan secara realitinya tidak bahagia. Renne (1971) juga mengutarakan pendapat sama di mana pasangan tidak bahagia lebih mudah terdedah kepada masalah kesihatan psikologikal dan fizikal berbanding dengan individu yang mempunyai keluarga dan yang telah bercerai.

Jadi, penggemblengan tenaga dan kerjasama semua pihak amat perlu. Peranan masyarakat dan kerjasama bersepadu pelbagai pihak terutama agensi pelaksana amat perlu dalam merealisasikan hasrat dan misi nasional pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara cemerlang, gemilang dan terbilang terutama dalam memartabatkan institusi rumah tangga dan keluarga sebagai sumber modal insan berkualiti dan ejen melahirkan mentaliti kelas pertama.

Penulis sedang mengikuti pengajian untuk Doktor Falsafah (PhD) University of Western Australia.

Oleh Abdul Razak Abd Manaf


Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Rumah tangga stabil tak semestinya berkualiti | Married, Couple, Health care, Family Planning, MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top