728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

16 April 2007

Rawatan kanser prostat | Health care, kesihatan, disease, medicine, MALAYSIA

RAWATAN kanser prostat dikendalikan oleh gabungan dua doktor pakar, iaitu pakar urologi dan pakar kanser. Tidak semua pesakit kanser prostat mendapat rawatan yang sama.

Seseorang pesakit kanser prostat perlu memahami beberapa pilihan rawatan. Dengan dibantu oleh doktor pakar, pesakit perlu membuat pilihan rawatan yang sesuai dan paling baik untuk diri mereka.

Pilihan rawatan bergantung kepada dua faktor, iaitu faktor klinikal dan faktor psikologi. Para pesakit boleh berunding dengan pakar urologi, pakar onkologi dan pakar radioterapi.

Mereka boleh membantu pesakit untuk memilih cara rawatan yang sesuai. Berikut adalah pilihan rawatan kanser prostat:

1. Pengawasan yang aktif

Konsep pengawasan yang aktif atau tunggu dan lihat merupakan salah satu pilihan rawatan bagi mereka yang enggan membuat pembedahan atau radioterapi awal.

Ujian darah PSA setiap enam bulan dan membuat biopsi prostat setahun sekali. Sekiranya ada gejala atau ujian yang menunjukkan pembiakan kanser, rawatan mesti dilaksanakan.

Rawatan ini sangat sesuai bagi mereka yang mempunyai kanser prostat yang membiak secara perlahan ataupun kanser yang dikesan di peringkat awal. Ia juga sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah perubatan lain yang teruk.



2. Surgeri atau pembedahan

Rawatan ini boleh membuang kesemua atau sebahagian daripada kelenjar prostat. Pada amnya, bagi penyakit kanser prostat di peringkat awal, pakar urologi akan membuat prostatektomi radikal di mana keseluruhan kelenjar prostat dan sebahagian daripada tisu di sekeliling prostat akan dikeluarkan.

3. Terapi radiasi

Kaedah rawatan ini adalah membunuh sel-sel kanser menggunakan sinaran radiasi. Jenis terapi radiasi yang selalu digunakan adalah radioterapi sinar luaran.

Skan berkomputer (CT) dan pengimejan resonans magnetik (MRI) digunakan untuk menentukan kedudukan kanser tersebut. Kemudian sinar-x ditujukan ke arah kanser yang sudah dikenal pasti.

Satu lagi kaedah terapi radiasi adalah Terapi Radiasi Bermodulkan Intensiti (IMRT). Kaedah ini membolehkan pakar onkologi mempelbagaikan atau mengubah kekuatan radiasi pada kanser prostat dan juga organ- organ yang berhampiran dengan prostat. Ini boleh mengurangkan kerosakan pada tisu- tisu di sekitar prostat.

Brachytherapy merupakan salah satu cara terapi radiasi. Peluru kecil halus yang mengandungi bahan radioaktif iodin atau paladium dimasukkan ke dalam prostat melalui jarum. Radioaktif ini akan memusnahkan sel-sel kanser.

4. Terapi hormon

Sel-sel kanser prostat memerlukan testosteron untuk terus hidup dan membiak. Tujuan rawatan hormon adalah untuk mengurangkan tahap testosteron yang dikeluarkan oleh testis. Testosteron membantu pembiakan sel kanser prostat.

Tidak semua sel-sel prostat bergantung pada testosteron. Dalam kes ini, rawatan hormon tidak memberikan kesan. Oleh yang demikian, rawatan hormon bukan sesuatu langkah yang sempurna untuk merawat kanser prostat, tetapi ia merupakan satu langkah penting dalam rawatan kanser prostat yang sudah teruk.

5. Rawatan kemoterapi

Menggunakan bahan kimia untuk memusnahkan atau menghentikan pertumbuhan sel-sel kanser. Ia menahan sel-sel daripada membiak dan ini memberhentikan ketumbuhan dan menahan dari merebak.

Rawatan kemoterapi mempunyai banyak kesan sampingan jika dibandingkan dengan terapi hormon. Oleh yang demikian, kemoterapi hanya ditawarkan kepada pesakit kanser prostat yang tidak bergantung kepada hormon untuk membiak.

- Dr. Sulaiman Tamanang ialah Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear di Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan salah seorang daripada ahli MayFirst Health and Wellness Council (MHWC), panel pakar yang ditubuhkan oleh syarikat MayFirst Gold Sdn. Bhd., dengan matlamat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kanser prostat, melalui kempen CEgah KAnser Prostat (CEKAP).

Sebarang soalan mengenai kesihatan prostat anda dan juga kanser prostat bolehlah dihantarkan melalui e-mel ke alamat: kesihatan@utusan.com.my.

Soal jawab pembaca

Kerap kencing malam, tersekat-sekat

Doktor,
SAYA berumur 25 tahun mempunyai beberapa kemusykilan berkaitan kesihatan prostat saya. Saya tidak pasti adakah saya sihat atau sebaliknya. Antara masalah-masalah saya itu adalah seperti sukar kencing, kencing tersekat-sekat dan kerap kencing malam. Kadangkala semasa membuang air kecil, saya terasa sakit dan terpaksa mengambil masa yang lama untuk membuang air kecil.

Selain itu, paha hingga kaki ada ketikanya mengalami kejang atau seperti sakit urat. Pinggang saya juga terasa sakit termasuklah kadangkala sakit semasa berjalan. Saya juga mengalami sakit leher, bahu dan seluruh pergelangan sendi.

Saya pernah membaca berkaitan masalah kanser prostat dan daripada apa yang saya fahami, tanda-tanda awalnya adalah seperti yang saya alami. Apakah langkah- langkah yang saya perlu ambil dan di manakah saya boleh mendapat rawatan.

Untuk makluman pihak tuan, saya datang daripada keluarga yang miskin dan tidak mampu membayar kos perubatan yang tinggi. Adakah kerajaan mempunyai sistem perubatan yang meliputi kanser prostat secara percuma? Kalau ada, bagaimanakah caranya? Perlukah saya membuat sebarang temu janji? Sekian, terima kasih.

– JOE, Insan Bermasalah, Putrajaya

Respons Dr. Sulaiman

Lazimnya, kanser prostat tidak melibatkan kaum lelaki yang berada dalam lingkungan umur 20-an seperti anda. Kemungkinan anda menghidap kanser prostat adalah tipis.

Masalah yang anda hadapi ada kemungkinan berpunca dari sistem urinari. Mungkin anda menghidap penyakit batu karang atau pundi kencing.



Oleh demikian, anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor pakar urologi supaya pakar tersebut boleh membuat penyiasatan yang lebih lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar masalah anda. Usah bimbang tentang kos rawatannya. Hospital-hospital kerajaan turut menyediakan perkhidmatan ini pada kadar yang sangat minimum.

Oleh: DR. SULAIMAN TAMANANG

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]




  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

1 comments:

  1. boleh tak bagi pada saya gambar kanser prostat agr dapat memudahkn saya untuk menyelesaikn assgment saya

    ReplyDelete

Item Reviewed: Rawatan kanser prostat | Health care, kesihatan, disease, medicine, MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top