728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

11 April 2007

Penyakit Parkinson, kita semua akan tua – Sempena Hari Penyakit Parkinson Sedunia pada 11 April 2007 | Health care, kesihatan, disease, medicine

MUNGKIN sekarang, anda masih muda dan tidak berapa hendak ambil peduli tentang penyakit parkinson. Fikir anda ‘Ah…, itu semua penyakit orang tua’. Untuk pengetahuan anda, pesakit parkinson termuda yang pernah dirawat di Malaysia berusia 23 tahun.

Ramai yang menganggap ia sebagai isu kesihatan yang tidak penting dan tidak seharusnya diberikan keutamaan. Justeru, tidak hairanlah jika sambutan Hari Parkinson Sedunia yang diraikan pada 11 April setiap tahun kurang mendapat sambutan semua pihak di negara ini.

Malah, tidak keterlaluan andai dikatakan ada yang baru pertama kali mendengar akan kewujudan hari yang penting dan serba bersejarah ini.

‘‘Rakyat Malaysia masih tidak tahu wajah sebenar penyakit ini, begitu juga dengan kewujudan Persatuan Penyakit Parkinson Malaysia (MPDA) apatah lagi Hari Parkinson sedunia itu sendiri. Ia sungguh mengecewakan.

‘‘Hakikatnya, banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk memahami penyakit ini. Dalam pada kita menyuruh anak-anak muda menghormati orang tua, saya rasa mat saleh lebih mementingkan tentang kebajikan warga emas mereka.

‘‘Kalau kita hanya menyimpan harapan agar penyakit Parkinson dapat berjalan atau bergerak di rumah, tetapi mereka pula menyasarkan supaya boleh ke kedai atau memandu,’’ kata Penasihat Perubatan MPDA, Dr. Chew Nee Kong.

Hari Penyakit Parkinson Sedunia mula diraikan sejak sedekad lalu iaitu pada tahun 1997. Adalah dianggarkan 6.3 juta penduduk dunia menghidapi penyakit Parkinson termasuklah kira-kira 10,000 orang di Malaysia.

Bagaimanapun Dr. Chew menganggarkan bagi setiap seorang pesakit yang menerima rawatan, terdapat dua lagi yang tidak berbuat demikian.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan orang kita lebih mementingkan masalah yang menimpa golongan remaja dan lebih muda seperti rempit dan bohsia tetapi sebaliknya mendakwa, tidak peka kepada golongan tua.

Ditanya alasan-alasan lain yang menjadikan penyakit parkinson tidak popular di kalangan masyarakat tempatan:

‘‘Pertamanya, ia dianggap sebagai penyakit yang tidak penting berbanding sakit jantung mahupun strok. Keduanya, masyarakat tidak sedar betapa teruknya penyakit ini.

“Secara peribadi, saya meletakkan parkinson sebagai penyakit yang paling mencabar untuk diuruskan. Selain masalah pergerakan tubuh, ia turut memberikan kesan terhadap minda pesakit, personaliti, menyebabkan gangguan tidur, masalah usus dan tekanan darah tinggi,’’ katanya.

Dan memandangkan kebanyakan pesakit terdiri daripada golongan yang telah berusia, mereka selalunya turut mengalami kegagalan jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi yang memburukkan lagi fizikal mereka.

Ketiganya, parkinson sering disalah anggap sebagai penyakit orang tua. “Kalau tak boleh jalan, duduk rumah sahajalah kerana ia normal. Habis cerita.’’ Keempat, pada setiap lapisan masyarakat tidak kira orang awam mahupun doktor sendiri, wujud satu pandangan negatif tentang penyakit ini.

Sesetengah doktor sendiri, tambahnya, tidak faham dan tidak update dengan perkembangan rawatan yang pesat berbanding 30 tahun lalu, termasuklah adanya prosedur pembedahan. Akibatnya, penyakit ini gagal dikesan awal.

‘‘Ramai pesakit yang telah beberapa kali berjumpa doktor dan akhirnya apabila dirujuk kepada pakar dan kita tengok balik fail mereka, rupa-rupanya dah dua tahun gejala parkinson telah wujud.

‘‘Adalah penting untuk mengesan penyakit ini pada peringkat awal kerana walaupun tiada penawarnya sehingga kini, terdapat ubat-ubatan yang boleh membantu memulihkan pergerakan mereka,’’ ujar Dr. Chew.

Beliau turut berkongsi pengalamannya mendiagnosis seorang pesakit yang datang hanya setelah empat tahun mempamerkan gejala-gejala awal. Dalam tempoh tersebut, kualiti hidupnya terjejas teruk apabila mengalami kesukaran untuk bangun tidur dan mandi.

‘‘Kualiti hidup di rumah adalah penting. Bayangkan dalam tempoh dua tahun kedua, penyakitnya berjaya dikesan dan diberikan rawatan, sekurang-kurangnya dia boleh keluar ke pasar daripada terkurung di dalam rumah sahaja.



‘‘Kalau 20, 30 tahun dulu memang ada pesakit yang terpaksa bergantung hidup kepada kerusi roda tetapi kini, ubat sudah boleh tahan sampai 10 hingga 15 tahun manakala pembedahan antara lima hingga tujuh tahun.’’ katanya.

Dengan jangka hayat yang bertambah baik dari semasa ke semasa, Malaysia tidak terlepas daripada dicengkam bebanan penyakit ini.

‘‘Jadi, baiklah kita mula berikan perhatian dan keutamaan terhadap penyakit parkinson kerana dalam 10 hingga 15 tahun lagi, jumlahnya dijangka melompat.

‘‘Bersedialah dari awal untuk hari esok kerana parkinson ada risikonya. Lagipun, suka atau tidak, hakikatnya suatu hari nanti…, kita semua akan menjadi orang tua,’’ akhiri Dr. Chew.

Ya, pada umumnya, semua manusia berdoa inginkan umur yang panjang tetapi ironinya sedikit pula yang mahu menjadi tua. Tidak dinafikan, bukan semua orang akan hidup hingga usia senja, tetapi sekurang-kurangnya biarlah kita dapat menjalani hidup ini dengan baik, setiap hari.

Dr. Chew yang juga Pakar Perunding Neurologi, Pusat Perubatan Pantai Cheras, Kuala Lumpur menjelaskan, penyakit Parkinson adalah satu penyakit kemerosotan otak di mana bahan kimia dopamin untuk mengawal pergerakan badan yang licin, berkurangan.

‘‘Ia wujud di kalangan semua bangsa di seluruh dunia, tidak kira wanita mahupun lelaki. Walaupun biasanya berlaku pada orang tua lebih 60 tahun, 10 peratus daripada pesakit mula menghidapi Parkinson sebelum umur 45 tahun.’’

Pesakit muda yang paling terkenal ialah bintang Hollywood, Michael J.Fox yang kini giat sebagai aktivis penyakit ini. Peninju legenda Muhammad Ali juga merupakan salah seorang daripada penghidap parkinson yang dipercayai berpunca daripada gegaran otak.



*Gejala penyakit parkinson

Tangan dan kaki yang menggeletar, rasa kaku badan, bradikinesia/pergerakan badan yang lambat. Gejala ini menyebabkan masalah berjalan, berdiri dari tempat duduk, menulis dan berpusing badan di katil. Lain-lain simptom termasuklah wajah yang tidak beremosi dan suara yang tidak jelas.

*Faktor risiko

Usia lebih 60 tahun, petani atau penduduk yang tinggal di luar bandar, pekerja industri yang terdedah kepada logam-logam tertentu dan keturunan di mana orang Barat mempunyai risiko lebih tinggi berbanding orang Timur.

Sementara itu, faktor-faktor yang mengurangkan risiko menghidap penyakit ini ialah orang yang kerap minum kopi dan merokok. Selain minum kopi, cara pemakanan tidak mempunyai apa-apa peranan di dalam menyebabkan parkinson.

*Rawatan

Terdiri daripada ubat-ubatan dan pembedahan otak Palidotomi dan Rangsangan Otak Dalaman. Pesakit harus dirawat kerana ubat-ubatan dapat mempertingkatkan mutu hidup dan memanjangkan tempoh hidup mereka sehingga hampir sama dengan orang sihat.

Meskipun menerima rawatan, masalah pergerakan badan pesakit Parkinson menjadi semakin melarat dari setahun ke setahun, khasnya selepas lima hingga tujuh tahun. Pembedahan otak diperlukan apabila pesakit tidak mampu berjalan lagi pada peringkat lewat penyakit.

Kedua-dua jenis rawatan hanya mengawal gejala tetapi tidak berupaya menyembuhkan penyakit sepenuhnya. Oleh itu, penyakit parkinson menyebabkan masalah fizikal, mental dan sosial yang berpanjangan.

Maka peranan kumpulan sokongan dan sukarelawan adalah mustahak kerana mereka boleh memberikan sokongan moral dan mendidik pesakit menangani masalah yang timbul.

Maklumat lanjut, sila hubungi MPDA di No. 35, Jalan Nyaman 10, Happy Garden, 58200 Kuala Lumpur, telefon dan faks 03-79806685 atau layari laman web: http://www.mpda.org.my atau emel: nkchew33@hotmail.com

MPDA ditubuhkan pada tahun 1994 oleh Presiden Seumur Hidupnya, Lloyd Tan yang juga pesakit Parkinson. Beliau baru sahaja meninggal dunia tanggal 28 Mac lalu. Kehilangannya amat dirasai, terutama sekali oleh kira-kira 550 ahli persatuan.


Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Penyakit Parkinson, kita semua akan tua – Sempena Hari Penyakit Parkinson Sedunia pada 11 April 2007 | Health care, kesihatan, disease, medicine Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top