Breaking News

Penambahbaikan Mahkamah Syariah belum capai matlamat | Rahsia , Al-Islam, Muslim, Sejarah, Ceramah ISLAM

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

KENYATAAN Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman mengenai layanan dan keistimewaan berbeza di antara hakim Mahkamah Sivil dan hakim Mahkamah Syariah baru-baru ini, perlu diambil tindakan sewajarnya.

Bukan saja membabitkan imbuhan hakim dan layanan ke atas mereka, tetapi juga keseluruhan penambahbaikan ke atas Mahkamah Syariah dan kemudahan disediakan.

Mengikut sejarah, penjajah berjaya menghilangkan kehebatan perundangan syariah dengan melakukan pelbagai kaedah, antaranya menubuhkan bangunan indah untuk Mahkamah Sivil, menghiasnya dengan pelbagai kelengkapan dan hakim mengenakan jubah hitam seragam hingga menimbulkan rasa gah, takut dan hormat di mata masyarakat.

Sedangkan pada masa yang sama, Mahkamah Syariah dianaktirikan. Kadi tidak mendapat gaji bersesuaian, bangunan buruk tidak diindahkan dan kemudahan infrastruktur minimum, menyebabkan masyarakat tidak takut, tidak gah serta tidak menghormati sistem perundangan itu sendiri.

Ditambah pula, Kadi (ketika itu istilah Hakim Syarie belum diguna pakai) mengenakan pakaian ulama dan ia tidak seragam, sehingga masyarakat melihat Mahkamah Syariah sebagai tempat untuk mendapat nasihat agama, bukan penghakiman yang berkuat kuasa.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila keputusan Mahkamah Syariah tidak dihormati dan tiada kesan undang-undang apabila tidak dipatuhi.

Kita bersyukur dengan perubahan yang berlaku dan sedikit demi sedikit, kedudukan sistem perundangan syariah diangkat taraf serta diperbaiki.

Selepas pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan dan penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), banyak sinar baru menyinari sistem perundangan syariah di Malaysia.

Namun, keadaan belum mencapai tahap yang diinginkan dan perbezaan yang ada kini dibangkitkan melalui ucapan Abu Talib itu.



Masyarakat kita sebenarnya belum melihat perundangan Mahkamah Syariah dan penghakimannya seperti mereka melihat Mahkamah Sivil menyebabkan banyak pihak sewenang-wenangnya membuat kritikan terbuka terhadap Mahkamah Syariah dan sistem perundangannya.

Laporan akhbar 6 September tahun lalu memaparkan pelbagai pihak mengkritik Mahkamah Syariah kerana lambat membicarakan kes hingga menyebabkan wanita terpaksa turun naik mahkamah.

Pihak yang berbicara itu bukan mereka yang mempunyai kuasa, sebaliknya orang awam yang tidak mengetahui tatacara dan apa yang berlaku dalam perbicaraan. Ia sebenarnya menzahirkan perasaan tidak hormat kepada Mahkamah Syariah.

Kes di Mahkamah Sivil juga banyak tertangguh hingga bertahun, tetapi orang awam seolah-olah melihatnya sebagai kewajaran kerana ia Mahkamah Sivil dan tiada siapa berani mempertikainya.

Lokasi dan bangunan Mahkamah Syariah juga perlu berada di tempat yang sesuai bukan lagi di lokasi sukar dijumpai dengan papan tanda kecil, dikelilingi kedai makanan, di belakang sekolah, tiada tempat letak kereta dan tiada kafeteria.

Pihak berwajib perlu berusaha mempertingkatkan perkara itu kerana ia memberi kesan yang besar di hati masyarakat mengenai penghormatan dan rasa gah terhadap mahkamah itu sendiri.

Kenapa tidak pihak berwajib melaksanakan konsep kompleks mahkamah yang di dalamnya dua sistem undang-undang yang dianggap setaraf itu (seperti yang ada di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam sekarang ini).

Sebelah kanan adalah Mahkamah Sivil dan sebelah kiri adalah Mahkamah Syariah, atau satu bangunan yang di dalamnya ada Mahkamah Majistret dan Mahkamah Rendah Syariah.

Bangunan, kemudahan infrastruktur yang sama, tempat letak kereta besar sudah tentu memberi kesan besar di hati masyarakat yang melihat kedua-dua sistem sebagai medan mencari keadilan.



Dengan pelaksanaan sebegini, hakim juga boleh berinteraksi dan bertukar fikiran bersama teman sejawatnya dari dua sistem, selain peguam yang beramal dalam kedua-dua sistem akan lebih senang bertemu, berbincang dan sekali gus menjayakan kes diwakili dengan cepat kerana berada dalam kompleks mahkamah yang sama.

Kerajaan juga perlu menaikkan skim gaji hakim Mahkamah Syariah supaya setaraf dengan hakim Mahkamah Sivil. Perbezaan skim gaji menyebabkan perbezaan keseluruhan keistimewaan seperti keistimewaan mendapat kereta dan pemandu, elaun rumah dan elaun keraian.

Kerajaan juga perlu memberi peluang Hakim Mahkamah Syariah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD).
# Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dikirim ke admin@pgsm.org.my


Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]

No comments