728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

15 April 2007

Pakaian Mandi Wanita Bertudung

KEDINGINAN air kolam renang sering kali menggamit perasaan untuk berenang dan mandi-manda bersama teman dan keluarga.

Namun ada sesuatu yang menahan perasaan dan keinginan tersebut, iaitu tiada pakaian mandiyang sesuai untuk wanita Muslim bertudung.

Perasaan ini jugalah yang dialami oleh wanita gigih, Nuraini Mohd Ariffin, 35, yang mengakui dirinya seorang ‘kaki air.’ Melihat kolam renang dan laut yang indah membiru itu sudah cukup melambai Nuraini untuk mencecah kakinya ke dalam air.

‘‘Pada masa dulu saya memakai seluar trek atau tights serta kemeja T besar. Di tepi laut tidak menjadi masalah tetapi di kolam renang, saya diminta keluar dari kolam kerana tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

‘‘Pada waktu yang sama, saya mendapati pakaian yang dipakai di pantai itu agak kurang sesuai. Apabila selesai mandi, segan pula berjalan di depan khalayak,’’ ujarnya mengimbas kenangan lalu.

Menurut Nuraini, beliau tercari-cari pakaian mandi wanita bertudung sejak beberapa tahun lalu. Akhirnya terserempak wanita Indonesia yang memakai pakaian mandi wanita bertudung cantik, kemas dan ringan di tepian kolam.

Walaupun rasa malu, beliau menegur juga pelancong wanita Indonesia itu yang rupa-rupanya seorang ahli perniagaan, termasuk membekalkan pakaian mandi wanita bertudung.



Di akhir perkenalan, rakan baru itu, memberikannya sepasang pakaian mandi Muslimah yang cukup dihargai Nuraini.

‘‘Dari situ timbul kesedaran dalam diri ini, mengapa tidak memasarkan pakaian mandi ini untuk wanita Malaysia yang saya percaya mempunyai keinginan seperti saya.

‘‘Mereka juga tidak perlu lagi risau diusir keluar dari kolam sebaliknya berasa yakin kerana pakaian mandi ini sesuai dan selesa,’’ jelasnya.

Hari ini hasratnya, tercapai juga apabila Syarikat Aktif Bestari Sdn. Bhd., milik bersama beliau dan suami menjadi pengedar pakaian mandi Muslimah dengan jenama Active Attire sejak tahun lalu. Koleksi ini hadir dalam pelbagai fesyen, warna dan corak.

Pengarah Projek Aktif Bestari ini menambah, beliau berharap koleksi pakaian mandi ini dapat memenuhi impian wanita bertudung agar berasa selesa untuk mandi atau berenang di mana saja destinasinya.

Malah yang menarik mengenai pakaian mandi ini ialah pemakai akan berasa selesa kerana fabrik yang digunakan, spandex lucra ini ringan, tidak panas dan mudah kering.

Ujarnya, dengan kelebihan ini, pemakai boleh terus memakai dari rumah dan ke kolam renang, selepas itu pulang dengan pakaian sama.



Bagi mereka yang mandi di laut selepas mandi dan berenang, hanya perlu mandi dengan air biasa tanpa perlu menukar pakaian lain dan pulang dengan keadaan yang kering.

Koleksi pakaian mandi yang kasual ini tampil dengan corak dan rekaan yang terpilih. Setiap satu rekaan itu dibuat hanya sekitar 20 pasang sahaja. Pakaian mandi ini untuk semua, bukan sahaja untuk mereka berbadan langsing atau saiz S tetapi juga untuk saiz besar dari XL ke atas. Sepasang baju berharga RM330 ke bawah, mengikut saiz dan fesyen.

Lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini menambah, minat berniaga pula banyak didorong dan disokong oleh suami serta keluarga.

Beliau menambah, suaminya banyak memberi tunjuk ajar dalam selok-belok berniaga. Selain berniaga pakaian mandi, pihaknya juga menyediakan pakaian untuk ke pejabat.

Katanya: ‘‘Saya masih baru, masih belajar dan mencari pengalaman dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar.”

Ibu kepada Muhammad Haziq, 7, Nur Jasmina Aliya, 6, dan Nur Wardina Sofia 3 tahun menambah, koleksi pakaian seperti ini tidak terbatas untuk mandi-manda malah boleh juga digunakan untuk aktiviti riadah.

Apa yang memberansangkan, pihaknya juga mempunyai lesen perniagaan bagi membekalkan koleksi pakaian seperti ini untuk sektor awam dan swasta.

Harapannya, agar suatu hari nanti produknya mendapat sambutan hangat di kalangan rakyat negara ini, khususnya wanita bertudung.

Oleh: TAJAIYAH IHSAN


Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pakaian Mandi Wanita Bertudung Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top