Breaking News

Mengapa hadis terus dipertikaikan? | Rahsia , Al-Islam, Muslim, Sejarah, Ceramah ISLAM

BUDAYA menghukum sesama Muslim kini semakin meluas. Kalangan orang Islam bertambah galak melabelkan kufur, munafik, kafir dan seumpamanya ke atas sesama saudara seagama.

Ia membayangkan kuasa menentukan seseorang Muslim itu beriman atau tidak, kufur mahupun kafir menjadi hak ketentuan manusia.

Kenapa begitu? Jawabnya kerana umat Islam kini sudah terlalu jauh daripada aura kehidupan Rasulullah s.a.w., sunah-sunahnya, para sahabat dan ulama salaf.

Manakala al-Quran dan hadis yang ditinggalkan Baginda sebagai pegangan dan pedoman hidup ummah semakin jauh disisihkan.

Lebih malang apabila hadis atau al-sunah yang menjadi hukum kedua sama ada dalam soal akidah dan syariah Islam selepas al-Quran terus dipertikaikan.

Golongan yang menolak hadis ini terus berkembang dan mudah menjadi alat serta diperalatkan musuh yang mahu menjauhkan Muslim daripada akidah dan syariah serta melemahkan Islam.

Malahan ruang berdialog, berdiskusi, berbincang dan berdebat secara ilmiah, terbuka dan profesional antara yang menolak hadis dengan para sarjana dan ilmuwan yang mahir dan pakar dalam bidang berkaitan serta pihak yang diberi kuasa tidak dibuka secukupnya.

Walhal itulah jalan terbaik bagi mencari dan mengkaji sebab musabab mereka yang mengaku Islam tapi membelakangi akidah, syariah dan menolak hadis agar kembali ke pangkal jalan.

Itulah rumusan penulis ketika mengikuti majlis Diskusi Ilmiah Autoriti Hadis (Menangani Gerakan Anti hadis) di Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM) pada 28 Mac lalu.

Mengenai persoalan mengapa hadis terus dipertikaikan, Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Fauzi Deraman berkata, sunah atau hadis tidak mendapat jaminan daripada Allah s.w.t.. Apa yang lebih mendapat jaminan hanyalah al-Quran.

“Al-Sunah juga tidak ditulis pada zaman nabi dan usaha mendokumenkannya berlaku selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., berdasarkan kemahuan dan permintaan para pemerintah,” katanya.

Autoriti hadis kata Dr. Fauzi, telah jadi bahan polemik dan menjadi sasaran serangan sejak dari dulu lagi.

“Isu ini bukan perkara baru, tapi mutakhir ini ia sudah jadi satu pakej yang mempunyai banyak kaitan dan memiliki saluran cukup besar dengan perancangan yang lama dan rapi. Ia ada kaitan terus dengan orientalisme.” jelasnya.

Menurut beliau, fenomena sangsi hadis berlaku sebab ia sudah terlalu jauh daripada Rasulullah s.a.w. dan jauh pula daripada sumber yang murni.

“Mereka (golongan sangsi dan anti hadis) ini juga gagal melihat sumber Islam dari sumber yang murni. Mereka juga terpegun dengan metod atau kaedah baru yang dimanipulasi oleh orientalis.

“Tidak kurang yang terlibat kerana untuk mencari populariti dan terperangkap dengan nafsu nafsi sendiri,” katanya.

Al-hadis tambah Dr. Fauzi, melalui nasib malang dalam pengkajian secara ilmiah berbanding ilmu-ilmu lain.

Oleh itu kata beliau, jika sangsi atau ragu dalam soal keagamaan khususnya mengenai hadis, tanyalah orang yang berilmu dan pakar dalam bidang berkaitan.

“Jangan tanya orang yang tidak berilmu atau tidak ada kesinambungan ilmiah dalam keilmuannya.” tegasnya.

Diskusi Ilmiah mengenai Autoriti Hadis (Menangani Gerakan Anti hadis) kelolaan Akademi Pengajian Islam, UM itu turut mengundang wartawan kontroversi yang juga bekas pengarang majalah Al-Islam, Astora Jabat sebagai ahli panel.

Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Aizam Mas’od sebagai panel mewakili pihak berkuasa kerajaan.

Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadis API UM, Dr. Ishak Suliaman bertindak sebagai moderator pada majlis yang turut dihadiri oleh para ilmuwan dan peserta luar itu.

Pada majlis itu turut dilancarkan buku ilmiah Autoriti Hadis (Menangani Gerakan Antihadis) terbitan UM. Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Ijazah Tinggi API, Profesor Dr. Mohd Yaakob @ Zulkifli Mohd Yusof.

Astora yang kini sebagai pentadbir laman web Tematajdid.com berkata, orang anti hadis sebenarnya sentiasa berubah pendirian.

“Mereka tidak tolak semua hadis. Ada hadis yang mereka terima, mereka ini sesat secara tidak profesional,” katanya.

Oleh itu menurut Astora, Jakim perlu mem buat pembaharuan terutama dalam menangani isu dan golongan anti hadis.

Jakim katanya, perlu mengguna pendekatan keilmuan bukan menghukum pada perkara mengenai al-Quran, akidah, keimanan dan akhlak ummah.

“Banyak sangat penghalang pada Jakim dalam menyalurkan maklumat keilmuan dalam soal ini. Saluran berdialog secara ilmiah dengan golongan yang anti atau tolak hadis perlu diwujudkan,” katanya.

Mohd. Aizam bagaimanapun berkata, mereka yang menolak hadis sama ada al-awali’yah atau al-fi’illiyyah tetap anti hadis.

Katanya, media yang menyiarkan isu-isu berbau anti hadis juga tidak terlepas daripada perhatian dan tindakan Jakim kerana ia menyanggah pendirian kerajaan serta bertentangan dengan anutan Ahli Sunah wal-Jamaah.

“Golongan yang mempertikai al-hadis didalangi pemikiran liberal yang sesat dan menyesatkan sebab meninggalkan disiplin keilmuan al-Quran dan al-hadis,” katanya.

Ketika memberi respons daripada para peserta dan ahli panel, Mohd. Aizam berkata, tidak akta khas mengenai hadis dari Jakim, yang ada hanya akta penerbitan al-Quran.

Kata beliau, Jakim masih konsisten dengan fatwa dahulu melalui panel kajian khas yang berautoriti dan muzakarah mufti-mufti.

Namun penguatkuasaannya tertakluk pada Enakmen Jenayah Negeri yang diputuskan melalui Fatwa Kebangsaan dan diturunkan terus ke Jabatan Mufti Negeri-Negeri untuk diwarta dan dikuatkuasakan.

“Jakim hanya sebagai badan penyelaras. Tidak ada akta, penguatkuasaan mahupun bidang kuasa atau autoriti diperuntukkan kepada Jakim untuk bertindak,” ujarnya.

Hakikatnya, hadis atau al-sunah adalah jalan yang dirintis oleh Rasulullah s.a.w. dalam melaksanakan petunjuk daripada Allah s.w.t. dan syariat-Nya yang hak (wahyu – al-Quran). Ia merupakan sumber hukum kedua selepas al-Quran.

Tanpa hadis dan sunah mana mungkin umat Muslim dapat solat, puasa, berzakat, mengerjakan haji dan bermuamalat secara sekata.

Oleh: WAN RAHIMAH DRAMAN

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]








No comments