Breaking News

Mandi bunga ibarat magnet | perkahwinan, malam pertama, pengantin, Wedding Ideas

AMALAN mandi bunga bukan baru dalam masyarakat Melayu namun selalu disalah anggap dan dikaitkan dengan ritual membuang sial atau sesuai untuk wanita berusia yang belum menemui jodoh.

Kini, amalan itu mula mendapat tempat di kalangan wanita sama ada yang sudah berumah tangga atau belum berkahwin untuk kelihatan cantik dan menarik.

Masih mengekalkan penggunaan bunga dan limau purut namun caranya diubahsuai mengikut peredaran semasa.

Tujuannya untuk menghilangkan tekanan, menyegarkan badan, mencantikkan kulit, menghilangkan bau badan dan menaikkan aura warna dalam badan untuk kelihatan ceria dengan wajah yang berseri.

Pengarah Urusan D&D Beauty House, Diana Ibrahim, 42, berkata mandi bunga kini menjadi satu keperluan di kalangan wanita tanpa mengikut status dan keperluan.

“Jika dulu, hanya pasangan pengantin yang ingin mendirikan rumah tangga datang berjumpa kami untuk melakukan mandi bunga namun kini permintaan yang diterima semakin menggalakkan dari kalangan wanita bekerjaya.

“Kesedaran menjaga kecantikan dan meningkatkan keyakinan diri ketika bertemu khalayak mungkin menjadi faktor utama masyarakat mula menerima amalan ini kembali,” katanya.

Dua jenis mandi bunga yang masih diamalkan ialah melalui cara tradisional dan moden.



“Mandi bunga cara tradisional lazimnya dilakukan pengamal perubatan tradisional dengan bacaan ayat al-Quran bertujuan membantu mereka yang mempunyai masalah peribadi seperti lambat mendapat jodoh atau mengalami masalah rumah tangga.

“Pasangan pengantin juga selalunya disaran melakukan amalan ini untuk mengusir anasir negatif dalam badan sebelum memulakan hidup baru,” katanya.

Diana berkata, kini mandi bunga diperbaharui mengikut cara moden dan boleh dilakukan di kebanyakan salun kecantikan atau jika berkesempatan, mandi bunga juga boleh dilakukan sendiri di rumah.

Katanya, tujuannya sama iaitu untuk menaikkan seri wajah selain meningkatkan keyakinan diri.

“Tapi ramai orang kini terikat dengan kerjaya dan urusan seharian dan adalah lebih mudah jika mereka mendapatkan khidmat mandi bunga di salun kecantikan kerana selain ditawarkan pakej dengan harga berpatutan, pelanggan juga berpeluang memanjakan diri dengan pelbagai rawatan lain misalnya mandi lulur, mandi susu, sauna dan urutan.

“Namun perlu diingatkan, jika anda ingin melakukan mandi bunga sendiri di rumah, pastikan anda memilih bunga yang betul. Jangan gunakan bunga yang banyak hama seperti bunga matahari atau bunga berbau busuk seperti bunga tahi ayam.

“Pilihlah bunga berbau wangi dan seelok-eloknya mempunyai warna menarik kerana dari segi saintifik, aura warna dan bauan bunga mempunyai tenaga sendiri yang akan bertindak balas dengan tenaga dalam tubuh seperti kuasa magnet, “ katanya.



INFO: Bunga dan khasiat
# Mawar merah – membuatkan seseorang menjadi lebih berani dan berkeyakinan tinggi.
# Mawar putih – menyegarkan dan menyucikan badan supaya nampak lebih berseri.
# Cempaka putih – melembut dan mewangikan badan.
# Cempaka kuning – menyerikan wajah dan mewangikan badan.
# Melur putih dan kuning – menyucikan dalaman.
# Bunga kenanga – menaikkan seri dan senang didekati.
# Limau purut – buang kotoran badan dan membuka pori supaya aura serta seri bunga dapat bergabung dengan aura badan dengan mudah.
# Limau susu – melembutkan kulit.

Oleh Siti Nur Almizan Aripin

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]



No comments