Breaking News

LELAKI JUGA MENGALAMI MENOPAUS


KITA sering mendengar frasa ‘kehidupan lelaki bermula pada usia 40-an’. Bagi sesetengah orang apa yang dimaksudkan ialah perubahan dalam hidup lelaki. Mereka menjadi lebih matang atau dalam kata lain, mereka melihat dunia daripada sudut berbeza.

Ketika itulah lelaki mula ‘pasang badan’, malah jika dilihat kebanyakan masalah rumah tangga bermula pada masa itu. Isteri yang dikahwini selama lebih 10 tahun dilihat tidak lagi sesuai sebagai teman hidup. Isteri tidak romantik, tidak pandai masak, tidak mahu mendengar kata dan 1,001 satu lagi alasan diberikan.

Malah, mereka mulai tidak betah berada di rumah. Apa saja yang dilakukan serba tidak kena. Justeru, apabila bertemu dengan wanita lain yang dikatakan lebih memahami, mereka akan membandingkan dengan isteri yang kini dilihat tidak sesuai dengan dirinya…selepas hidup bersama selama lebih 10 tahun atau mungkin 20 tahun.

Seorang wanita yang baru-baru ini bercerai dengan suaminya melahirkan kekecewaan kerana suami sanggup meninggalkan beliau dan anak-anak mereka untuk mengahwini wanita lain selepas mereka mendirikan rumah tangga 16 tahun.

Alasan bekas suami, beliau tidak pandai menghormati dirinya berbanding wanita berkenaan yang jauh lebih prihatin dengan kehendak dan cita rasanya. Malah, wanita itu dikatakan sentiasa membuatkan beliau gembira berbanding bekas isterinya yang gemar membebel.
Kenapa baru kini bekas suaminya berasa begitu? Jawapannya mudah, ketika menikmati alam percintaan semuanya indah kerana kita hanya bertemu seketika di luar rumah. Segala keburukan masih terselindung. Tetapi, apabila sudah hidup bersama, barulah tabiat buruk masing-masing terserlah.
Begitu pun, mereka masih boleh hidup bersama sehinggalah apabila usia melewati 40-an, barulah merasakan hidup tidak sesuai bersama lagi.

Hakikatnya, dari aspek sains ada penjelasan kenapa senario itu berlaku. Sebenarnya apa yang dialami itu adalah gejala lazim andropaus, istilah ‘menopaus’ bagi lelaki. Bezanya, wanita mempunyai gejala yang ketara iaitu putus haid, sedangkan lelaki tidak mempunyai gejala khusus yang menunjukkan mereka kini sedang ‘menyeberang’ ke satu lagi fasa dalam kehidupan.

Antara gejala andropaus, lelaki mulai merasai perubahan dalam dirinya – kurang bertenaga dan tidak aktif seperti ketika berusia 20-an atau 30-an. Bagi sesetengah lelaki, mereka keliru dengan apa yang dialami sehingga membuatkan mereka tidak keruan. Ada yang tidak dapat melalui tempoh kekeliruan itu dengan baik, mereka akan cuba mengaitkannya dengan keadaan di rumah yang dilihat serba tidak kena.

Seorang teman yang tidak pernah mendengar mengenai konsep menopaus bagi lelaki itu, ingin mengetahui dengan lebih lanjut perubahan yang berlaku kepada lelaki apabila andropaus. Baginya, apabila menopaus, bermakna wanita tidak lagi boleh mengadakan hubungan intim bersama suami. Persoalannya bagaimana pula dengan andropaus?

Wanita yang menopaus akan mengalami beberapa masalah berikutan kekurangan hormon estrogen seperti rasa panas yang tidak selesa, kecerdasan fizikal semakin menurun, malah ketika itu mereka tidak lagi subur dan tidak mampu melahirkan anak, tetapi tidak bermakna mereka tidak lagi aktif secara seksual.

Begitu juga dengan lelaki. Apabila andropaus, lelaki akan mulai mengalami kekurangan testosteron, hormon utama seks lelaki. Ini akan menyebabkan mereka mengalami beberapa gejala seperti perubahan pemikiran, sikap, tenaga, keinginan seks dan kecerdasan fizikal.

Justeru, jika anda selama ini gemar menjadikan menopaus sebagai jenaka untuk mengusik wanita, ubahlah sikap berkenaan. Lelaki juga menopaus. Ikuti tulisan wartawan Citra, Hidayah Mohamed, esok mengenai menopaus dan andropaus.
Apa yang penting, jangan jadikan frasa ‘kehidupan lelaki bermula pada usia 40-an’ sebagai alasan untuk mencari yang lain. Jika isteri anda sanggup bersama ketika susah dan senang sejak sekian lama, jangan hanya kerana terlalu mengikutkan kata hati, anda sanggup meruntuhkan rumah tangga yang dibina semata-mata tergila-gilakan wanita lain.
Kekeliruan perasaan yang anda alami itu sebenarnya bersifat sementara. Ingatlah, apa yang anda rasa bukan sesuatu yang perlu dimegahkan, sebaliknya sebagai ingatan bahawa usia semakin hampir ke penghujungnya.

Jangan biarkan kecelaruan itu memusnahkan kehidupan yang anda bina selama ini kerana terlalu mengikut perasaan. Seperti menopaus, gejala andropaus yang membuatkan lelaki berasa tidak selesa boleh dirawat.

Jumpa lagi!

fadzlena@bharian.com.my

No comments