Breaking News

Jangan menyusahkan keluarga si mati | Rahsia , Al-Islam, Muslim, Sejarah, Ceramah ISLAM

Kematian adalah suatu perkara yang pasti akan menimpa setiap manusia (Ali Imran:185, al-Anbiya’:35, al-‘Ankabut:57). Tiada makhluk di alam ini yang akan kekal melainkan Allah s.w.t. yang maha hidup dan kekal (al-Baqarah: 255, Ali Imran:2, Taha: 111, al-Qasas: 88, al-Rahman: 26-27).

Oleh itu, setiap makhluk yang bernyawa perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi saat yang pasti tiba ini (al-Hijr:99). Mati yang merupakan salah satu fitrah makhluk yang bernyawa sepatutnya ditangani dengan cara yang baik dan berhikmah bagi mengelakkan beberapa kezaliman tanpa sedar terhadap keluarga si mati.

Pengaruh kejahilan, adat setempat serta faktor pemikiran yang sempit menyebabkan amalan-amalan yang salah berkaitan kematian terus berleluasa di dalam masyarakat. Kesedihan yang menimpa keluarga si mati akan ditambah lagi dengan berbagai-bagai kesedihan seperti bebanan masalah kewangan kerana mereka perlu berhabis ribuan ringgit untuk membayar upah orang membaca al-Quran, bersembahyang jenazah, membuat kenduri arwah dan sebagainya.

Budaya ini sebenarnya bertentangan dengan roh Islam yang sebenar kerana Nabi Muhammad s.a.w. ketika mendengar berita kematian Ja’far ibn Abi Talib telah bersabda: Persiapkan makanan untuk keluarga Ja’far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan). (Riwayat al-Tirmidhi dan Abu Dawud).

Keluarga si mati yang baru ditimpa musibah (al-Baqarah: 155-157) perlu disokong dan dibantu bagi mengelakkan perkara-perkara buruk yang lain seperti sikap putus asa, kesedihan berpanjangan, penganiayaan hak anak- anak yatim dan sebagainya.

Amalan di sesetengah tempat yang menyediakan makanan untuk orang yang menziarahi keluarga si mati dan menyediakan bayaran tertentu kepada orang-orang yang menunaikan solat jenazah dan membaca al-Quran adalah salah dan perlu ditentang habis-habisan.

Amalan tersebut sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan kehilangan orang yang tersayang.

Selain itu, budaya menghabiskan ribuan ringgit mengadakan kenduri arwah bersempena kematian di malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam Islam.

Amalan tersebut membawa kepada pembaziran jikalau melibatkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan melibatkan penganiayaan harta anak-anak yatim.

Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan tersebut adalah haram dan perlu dihentikan. (Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh Hasanain Makhluf r.a. di dalam akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947. Fatwa ini kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir, dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947, bilangan 377)

Umat Islam seharusnya peka terhadap ancaman Allah di dalam surah al-Nisa’ ayat 10 yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

Budaya

Para ulama mazhab Syafie juga melarang budaya ini sebagaimana yang dapat dipetik daripada buku Fikah Mazhab Syafie, al-Fiqh al-Manhaji yang berbunyi; “Daripada bidaah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan upacara yang dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya” (jil 1/ ms 263, Damsyik: Dar al-Qalam).

Namun begitu, sesetengah orang yang mempertahankan budaya ini akan berkata duit yang digunakan untuk semua upacara tersebut adalah sedekah orang ramai. Secara jelas, anak-anak si mati yang masih kecil lebih memerlukan sedekah itu untuk mengubat jiwa mereka yang kehilangan orang tercinta dan menggunakan segala sedekah itu untuk membina hidup baru.

Kematian

Oleh itu, keluarga si mati perlu memainkan peranan utama untuk menghentikan budaya ini dan memahami tuntutan agama di dalam menghadapi musibah kematian dengan bersandarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya (Riwayat Muslim).

Hadis ini menggalakkan ahli keluarga si mati untuk sentiasa mendoakan kesejahteraan arwah sepanjang masa dan bukan hanya pada malam Jumaat atau malam-malam tertentu sahaja.

Tidak kurang juga kepercayaan sesat sesetengah pihak yang mengatakan roh si mati akan pulang pada setiap malam Jumaat atau pada hari-hari tertentu untuk mengharapkan sedekah amalan daripada keluarganya yang masih hidup. Perlu diketahui bahawa persoalan roh merupakan di antara rahsia Allah yang tidak boleh disandarkan kepada logik akal semata-mata (al-Israk: 85).

Perjalanan roh manusia akan menempuh lima alam yang berbentuk sehala dan tidak boleh berpatah balik untuk setiap alam. Alam pertama ialah alam roh di mana semua roh makhluk telah dikumpulkan dan diminta bersaksi akan ketuhanan Allah sebagai pencipta mereka (al-A’raf: 172), alam kedua ialah alam janin semasa kita berada di dalam rahim ibu kita selama sembilan bulan (al-Najm: 32), alam ketiga ialah alam dunia yang merupakan tempat tinggal sementara dan tempat mencari bekal ke akhirat (al-Mulk: 2).

Alam keempat ialah alam barzakh selepas kematian dan merupakan tempat kita menunggu tibanya hari kiamat (al-Mukminun: 99 & 100), alam kelima ialah alam akhirat tempat pembalasan segala perilaku makhluk di dunia (al-An’am: 27-29). Tidak ada satupun ayat al-Quran atau hadis sahih yang pernah menyatakan persoalan roh si mati boleh balik semula ke dunia.

Kepercayaan tersebut merupakan pengaruh agama lain yang membawa kepercayaan penjelmaan semula selepas kematian seseorang manusia.

Marilah sama-sama kita mempersiapkan diri kita untuk menghadap saat kematian yang pasti tiba dengan benar-benar mengikut panduan agama supaya setiap tindak tanduk kita tidak akan menjerumuskan kita kepada penganiayaan kepada keluarga si mati atau meruntuhkan nilai akidah kita.

Janganlah kita menjadi seperti orang yang hanya tersedar setelah dijemput kematian sebagaimana kata-kata hukama’: Manusia itu sebenarnya tidur, dan apabila mereka mati barulah mereka tersedar.

* ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM (AL-HAFIZ) ialah pensyarah di Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Oleh Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]








No comments