Breaking News

Gardasil cegah barah servik | Health care, kesihatan, disease, medicine, MALAYSIA

BARAH servik adalah barah kedua pembunuh wanita di Malaysia. Malah pada peringkat global, ia mengekori rapat barah payu dara yang sudah diketahui umum sebagai barah pembunuh utama wanita.

Barah servik berlaku di dalam servik, iaitu bahagian rahim yang berbentuk kon. Ia terjadi apabila sel abnormal dalam lapisan servik membiak dengan tidak terkawal hasil tindak balas virus ‘human papillomavirus’ (HPV).

Sel servik yang tidak normal berkumpul dan membentuk gumpalan tumor. HPV adalah virus yang dekat dengan manusia. Ia virus biasa yang menjangkiti hampir separuh populasi dunia pada satu ketika dalam hidup mereka. Tetapi pada sesetengah orang HPV membawa kepada penderitaan yang sangat teruk. Mereka yang dijangkiti HPV jenis 16 dan 18 misalnya berhadapan 70 peratus risiko barah servik.

Mengikut satu kajian, lebih 90 peratus wanita di Asia Selatan (India, Indonesia, Filipina dan Thailand) dijangkiti HPV terutama jenis 16 dan 18. Dalam kajian berasingan di Filipina dan Thailand pula, didapati hampir 90 peratus wanita yang menderita barah servik dijangkiti virus sama.

Malah di seluruh dunia, 500,000 kes baru dilaporkan setiap tahun mengikut statistik tahun 2002 yang membawa kepada 275,000 kematian. Lebih 1,300 wanita didiagnos barah servik dan lebih 750 wanita mati akibatnya setiap hari.

Di Malaysia, pada 2003, Daftar Barah Kebangsaan melaporkan jumlah kasar kes barah servik sekitar 16.5 wanita dalam setiap 100,000 penduduk. Penyakit ini mencakupi 12.9 peratus barah yang dihidapi wanita. Manakala tahun sebelumnya, 1492 kes baru dicatatkan dengan 766 kematian.

Presiden Persatuan Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Abdul Aziz Yahya, berkata wanita perlu bersikap proaktif dalam usaha mengambil langkah melindungi diri daripada barah servik.

“Barah servik selalu dikaitkan dengan wanita yang aktif seks. Walaupun mungkin virus sudah lama berada dalam tubuh ia akan hanya muncul pada usia wanita itu mencapai usia antara 40 ke 50 tahun. Ini disebabkan jangkitan HPV tidak membawa kepada sebarang simptom,” katanya.

Justeru virus HPV menyerang separuh populasi dunia, seseorang itu boleh mengurangkan risiko jangkitan dengan tidak bertukar-tukar pasangan seks. Malah, jika digunakan dengan betul, kondom bukan saja membantu mencegah kehamilan tetapi juga mengurangkan risiko jangkitan HPV.

Jangkitan HPV juga boleh dikesan melalui ujian pap smear. Ia adalah ujian ringkas bagi mengesan sel servik abnormal. Pap smear boleh mengesan perubahan servik sebelum ia berkembang menjadi barah.

Ujian ini berjaya mengurangkan kematian akibat barah servik sejak mula diperkenalkan sekitar 1950. Buktinya, antara 1950 hingga 1970, bilangan kematian disebabkan barah servik di Amerika berkurangan 70 peratus.



Bagaimanapun, ujian pap smear tidak sempurna. Adakala ia tidak menemui keabnormalan servik tetapi pemeriksaan yang kerap membantu wanita mengenai penjagaan kesihatan mereka. Kekerapan juga membawa kepada kepekaan kepada sebarang perubahan pada servik.

Di Malaysia, hanya 33 peratus wanita mendapatkan ujian pap smear. Selebihnya masih bersikap ‘tunggu dan lihat’ atau ‘rawat bila perlu berubat’.

Menyedari bahaya barah servik, sejak tahun lalu, penghasilan vaksin pencegah barah servik sudah dihebahkan. Vaksin yang dikenali sebagai ‘Gardasil’ dihasilkan bukan sekadar mencegah barah servik tetapi juga pra barah rahim dan pra barah vulva yang disebabkan HPV jenis 16 dan 18 selain mencegah ketuat genital yang disebabkan HPV jenis enam, 11,16 dan 18.

Gardasil diluluskan pihak berkuasa kawalan dadah Malaysia pada Oktober tahun lalu. Bagaimanapun, ia tidak melindungi pengguna daripada HPV jenis lain. Penggunaan vaksin ini diluluskan bagi gadis dan wanita berusia sembilan hingga 26 tahun. Ia diberikan menerusi tiga dos, selang dua bulan antara dos pertama dan kedua dan selang empat bulan antara dos kedua dengan ketiga.



Setiap satu suntikan bernilai antara RM450 ke RM500 dan buat masa ini hanya terhad di pusat perubatan swasta.

FAKTA: Simptom barah servik

# Pendarahan abnormal pada vagina
# Pendarahan selepas bersetubuh atau pemeriksaan pelvis
# Haid yang lebih lama dan lebih banyak berbanding biasa
# Pendarahan selepas putus haid
# Lelehan yang banyak dari vagina
# Sakit pada pelvis
# Sakit semasa bersetubuh

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]



No comments