Breaking News

Cara mudah tingkat daya tahan tubuh | Health care, kesihatan, disease, medicine, MALAYSIA

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

MENGELAK daripada diserang pelbagai penyakit tidak semestinya bergantung kepada ubat-ubatan atau menjalani lebih kerap rawatan pemeriksaan kesihatan. Hakikatnya, terdapat pelbagai cara untuk memiliki tubuh badan kuat dan sihat.

Tubuh manusia sebenarnya memiliki perisai atau ‘imune sistem’ yang melindungi tubuh daripada benda asing yang berbahaya termasuk virus, bakteria dan kuman yang menyebabkan kemudaratan.

Bagi memiliki tubuh yang sentiasa sihat ia bukan saja menuntut aktiviti fizikal seperti senaman dan pengambilan makanan berkhasiat, malah faktor psikologi juga harus diambil kira.

Gaya hidup sihat menyumbang ke arah kesihatan maksimum. Bagi memiliki kesihatan berkualiti anda boleh mempraktikkan beberapa panduan ini supaya kebergantungan terhadap ubat-ubatan dapat dikurangkan.


Melatih otak

Kajian ahli saraf, Marin Diamond yang memiliki Ijazah Doktor Fasafah (PhD) dari Universiti California menjelaskan permainan yang memerlukan kemahiran berfikir boleh meningkatkan daya tahan tubuh badan seseorang. Ini kerana aktiviti mental yang menggunakan satu atau lebih kombinasi fungsi intelektual dapat membantu tubuh lebih berdaya tahan.

Bersosial

Seseorang itu akan memiliki kekebalan tubuh badan yang lebih baik jika kerap bersosial. Ia dibuktikan secara ilmiah oleh Barry Bittman, Pengarah Urusan Mind-Body Wellness Center di Meadvile, Amerika Syarikat.

Kaedah yang digunakan Barry adalah dengan menyebarkan virus selsema kepada beberapa individu. Kajian itu membuktikan semakin kerap seseorang bersosial, semakin nipis kebarangkalian mereka dijangkiti selsema.

Berfikiran positif

Menurut pakar dari Klinik Mayo, Amerika Syarikat, golongan yang pada masa mudanya selalu berfikiran optimis mempunyai kecenderungan untuk hidup 12 tahun lebih lama berbanding mereka yang selalu pesimis. Malah, Anna L Marsland dari Universiti Of Pittsburg Medical Center pula mendapati mereka yang selalu berfikiran negatif dan mudah tertekan mempunyai respon terhadap vaksin hepatitis yang lebih berganda berbanding golongan yang positif.



Makan secara sihat dan teratur

Walaupun anda sedang berusaha menurunkan berat badan, pastikan anda sentiasa peka dengan keperluan nutrisi pada tubuh bagi memastikan ia mencukupi. Ini kerana tubuh badan yang kurang nutrisi akan cenderung menghasilkan lebih banyak hormon yang menyumbang kepada tekanan.

Ketawa

Menurut kajian Fakulti Perubatan, Universiti California, Amerika Syarikat, membuktikan gerakan otot perut ketika ketawa boleh merangsang penghasilan antibodi dan sel-sel aktif yang berguna untuk memerangi jangkitan penyakit. Ketawa juga meningkatkan peredaran darah, melancarkan sistem pencernaan, menurunkan tekanan darah dan menghilangkan ketegangan otot.

Gerakkan tubuh

Aktiviti bersenam sekiranya dilakukan dengan betul dan teratur ia dapat memperbaiki mood, mengurangkan tekanan selain mampu meningkatkan daya tahan tubuh. Namun jika anda dibelenggu tekanan yang berat jangan memaksa diri melakukan senaman yang keterlaluan ia menyebabkan tubuh anda mudah jatuh sakit.

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]




No comments