Breaking News

Cara kekang suami kerap keluar malam | Husband and Wife, passion, sex and relationships, romance

SIKAP suami yang gemar keluar malam sememangnya mengundang amarah isteri. Pelbagai alasan diberikan. Ada yang kononnya bermain futsal bersama teman, dan tidak kurang juga sekadar bertandang ke kedai kopi untuk melepak.

Sekali dua mungkin boleh dimaafkan, tetapi jika dilakukan saban malam, pasti boleh menimbulkan perselisihan faham kerana menganggap isteri cuba mengawal. Tetapi jika tidak ditegur, sikap suami semakin menjadi-jadi. Ada kalanya, wanita berada dalam keadaan serba salah.

Mungkin bagi kebanyakan lelaki, perkara ditimbulkan sesuatu yang remeh, tetapi wanita mempunyai persepsi berbeza. Ketika itulah, sepatutnya masa diluangkan bersama keluarga atau menguruskan hal persekolahan anak.

Pensyarah Kanan Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan,Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Dr Rusinah Siron, berkata cara terbaik bagi memastikan tidak timbul perbalahan, wanita digalakkan supaya menggunakan pendekatan cara halus untuk menegur suami.

“Cara hendak menegur suami perlu ada caranya. Ada beberapa pendekatan yang boleh digunakan, pertama dengan cara lembut. Jangan guna strategi 3M negatif – marah, membebel dan merengus kerana dibimbangi akan timbul satu lagi M apabila suami jadi meluat.

“Suami apabila sudah timbul rasa meluat, itulah yang timbul krisis dan perbalahan. Kita kena faham sikap lelaki. Mereka tidak suka dimarahi, apa tah pula jika isteri asyik membebel dan merengus. Mereka akan menjadi lebih degil dan tidak mengendahkan teguran kita,” katanya.

Dalam hubungan ini, Dr Rusinah, berkata cara terbaik bagi wanita untuk menegur suami ialah dengan menggunakan satu lagi pendekatan M iaitu ‘menarik’ dengan membabitkan diri dalam kegiatan suami. Umpamanya, isteri boleh mengajak suami untuk melakukan kegiatan bersama keluarga.

Isteri juga disarankan supaya menegur suami dengan pendekatan yang lembut menerusi perbincangan secara hati ke hati kerana cara itu lebih berkesan berbanding kekerasan yang boleh mengundang pergaduhan.

“Apabila hendak menegur sikap suami itu gunakan pendekatan yang lembut. Sebagai contoh, beritahu dia sikapnya itu akan meningkatkan perbelanjaan rumah. Kalau beli teh tarik RM1 sehari, sebulan sudah berapa? Sedangkan kalau dia duduk di rumah, modal air teh secawan tidaklah sampai begitu.

“Apa yang lebih dibimbangi, pertemuan di luar itu akan menjurus kepada perkara negatif. Umpamanya, mungkin dia akan berkenalan dengan wanita lain. Tetapi apa yang lebih penting, anak terabai kerana isteri juga mempunyai banyak kerja rumah untuk diuruskan,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan satu lagi kaedah positif 3M yang mungkin boleh menarik perhatian suami. Kaedah yang membabitkan sikap ‘manja, mesra dan mengada-ngada’ itu satu bentuk reverse phsycology bagi melembutkan hati suami.

“Ada lelaki yang bersifat keras kepala, degil. Tambah lagi jika dia sudah tua, sukar hendak mendengar kata. Pada peringkat usia 40-an dan 50-an, lelaki lebih mudah tertarik kerana ketika itu mereka seperti kembali ke alam kanak-kanak dan suka dimanjakan.

“Sekiranya isteri asyik membebel dan marah, susah juga. Wanita perlu faham, kita tidak boleh guna kekerasan untuk melawan lelaki. Lagipun, lelaki tidak suka dikawal, apa tah pula dimarahi. Mesti ada strategi kalau hendak melembutkan hati lelaki,” katanya

Bagaimanapun, katanya, jika suami masih tidak mengendahkan teguran isteri, wanita boleh menambahkan satu lagi strategi M iaitu ‘menolak’, kaedah yang lebih agresif, tetapi dalam cara halus. Sebagai contoh, tidak memasak dengan alasan suami sering makan di luar. Cara ini, mungkin boleh memberi impak kepada suami.

Seorang teman menceritakan kisah adiknya yang turut mengalami masalah sebegitu. Kedai kopi di kampungnya bagai rumah kedua. Sebaik saja selesai sembahyang Maghrib, suaminya akan terus ke kedai berkenaan sehingga larut malam. Bagaimanapun, si adik tadi mengambil langkah bijak bagi memberi pengajaran kepada suaminya.

Caranya? Satu hari, apabila suaminya melangkah keluar, beliau turut membawa empat anaknya yang masih kecil menuju ke kedai kopi itu. Sebaik tiba, dengan muka selamba beliau duduk di sebelah suaminya tanpa mengendahkan orang di sekeliling. Perbuatannya itu bukan saja mengejutkan suaminya, bahkan lelaki lain yang sering melepak di kedai berkenaan.

Sejak hari itu, suaminya tidak lagi mengulangi tabiatnya itu dan kini mereka hidup aman damai. Tanpa menggunakan kekerasan atau bebelan sebagai senjata, beliau berjaya mengubah sikap buruk suaminya.

Oleh Fadzlena Jafar (Berita Harian)

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]








No comments