728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

20 April 2007

Akhlak ibu bapa banteras kes ‘Generasi XYZ’ | Health care, kesihatan, disease, medicine, MALAYSIA

MASALAH sosial, kerosakan akhlak dan budi pekerti semua golongan dalam masyarakat perlu dibaiki, dirawat dan disembuhkan. Satu usaha bersepadu perlu diambil terutama oleh ibu bapa sebagai golongan paling hampir dengan remaja.

Anak remaja perlu didekati, hati mereka mesti dimenangi. Mereka masih seperti kain putih. Ibu bapa dan masyarakat bertanggungjawab mencorak dan mewarnai kain putih itu.

Corak apakah yang ingin kita lukiskan, warna apakah yang ingin kita lakarkan? Sudah tentulah corak dan warna itu harus berpaksi kepada agama yang kita junjung, bergantung kepada budaya dan adat yang kita kendong.


Mungkin cara kita mempersembahkan corak yang ingin kita lukiskan tidak sesuai dengan cita rasa remaja. Mungkin warna tradisi yang ingin kita lakarkan tidak kreatif maka ia tidak serasi atau tidak kena dengan jiwa mereka.

Tambahan pula cara persembahan warna dan corak yang dihidangkan oleh budaya luar menjentik minat dan memancing minda mereka.

Kesungguhan mendidik remaja penting kerana mereka adalah pejuang agama dan penyambung budaya bangsa kita. Mereka adalah modal insan yang akan menerajui dan membina negara di masa depan.

Di Amerika, remaja masa kini disebut ‘Generasi XYZ’, generasi yang bebas dalam segala segi dan tidak mahu terikat dengan apa-apa ikatan sama ada ikatan agama, ekonomi dan etika budaya.

Mereka tidak sama dengan generasi sebelumnya yang kuat bekerja untuk majikan dan punya sasaran sehingga pencen. Golongan terdahulu mendapat inspirasi daripada suasana pasca perang, perkembangan teknologi dan intelektual.

Sebaliknya, Generasi XYZ hidup dalam satu suasana ‘fenomena dadah’ yang menonjol, mereka lemas dalam masalah kekeluargaan yang longgar dan kes perceraian yang tinggi.

Minda mereka lumpuh apabila melihat masalah sosial yang mereka warisi seperti persepsi hubungan kaum yang negatif dan perkauman melampau, konflik antara agama yang menekan, masalah Aids semakin menakutkan, keluarga berantakan dan defisit kewangan negara yang menggerunkan.

Remaja kita tidak boleh lari daripada pengaruh Generasi XYZ ini yang menular melalui ‘langit terbuka’ seperti internet, ICT dan pelbagai media berteknologi tinggi.

Maka, tanggungjawab ibu bapa semakin besar dan berat dalam mendidik anak bagi melahirkan generasi cemerlang mengikut acuan kita pada masa akan datang. Justeru, ibu bapa perlu menambah ilmu dari semasa ke semasa bagi menangani kerenah remaja yang semakin terkehadapan.

Waktu ini remaja masih tercari-cari haluan untuk meneruskan kehidupan dan pelbagai perkara baru mahu dicuba, apatah lagi perkara penuh cabaran yang kononnya memberikan satu kepuasan kepada mereka.

Sebagai ibu bapa, kita boleh membimbing anak remaja mengharungi cabaran masa kini antaranya:

l Ambil tahu – Kita perlu berusaha lebih sedikit untuk mengetahui di mana anak berada pada hari minggu dan selepas waktu sekolah. Waktu itu adalah ‘zon bahaya’. Zon ini membuka ruang (jika tidak dikawal) untuk terbabit dengan pelbagai gejala negatif.

Kita perlu sentiasa bertanya dan mengetahui di mana anak berada dan apa yang mereka lakukan. Ini tidak bermakna ibu bapa terlalu mengawal tetapi menandakan ibu bapa prihatin, penyayang, bertanggungjawab dan mengambil berat.

l Luangkan masa, beri perhatian – Luangkan masa dengan anak, makan bersama sekerap mungkin dan cari masa sesuai untuk berbual mengenai perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka untuk merapatkan diri dengan anak remaja.

Gunakan masa yang ada untuk berbual mesra, mendengar luahan hati mereka, memberi nasihat, bukannya berbalah. Lakukan aktiviti menonton televisyen, beriadah, bersiar dan babitkan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan.

l Kenali siapa kawan anak anda – Rakan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap satu sama lain. Oleh itu, penting bagi ibu bapa mengenali siapa kawan anak dan ibu bapa mereka.

Justeru, pastikan kawan yang didekati anak remaja adalah yang baik dan berperibadi mulia. Pada masa sama, berikan mereka panduan bagaimana menjauhkan diri daripada kawan yang negatif.

l Tahu apa yang ditonton, dibaca dan didengar – Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menapis bahan yang sampai kepada anak anda. Remaja memerlukan panduan untuk menjadi seorang pengguna media yang berpengetahuan.

Tontonlah televisyen atau dengar muzik bersama anak anda dan bantu mereka memahami perbezaan antara kehidupan sebenar dan apa yang digambarkan dalam media. Imbangi semula apa yang ditonton, dibaca dan didengar dengan nilai positif yang sepatutnya.

l Bantu remaja mendapatkan keyakinan diri – Keyakinan diri adalah sesuatu yang diperoleh, bukannya anugerah. Terima mereka seadanya dan tanpa syarat, cuba penuhi keperluan mereka mengikut sepatutnya.

Pujilah mereka atas tugas yang selesaikan dengan baik, galakkan perkara positif dan tekankan perkara baik yang dilakukan anak anda. Jika mereka ketinggalan atau gagal, cadangkan cara untuk memperbaiki diri. Jangan mengkritik.

Kasih sayang dan rasa hormat akan menggalakkan mereka berkelakuan baik dan membina keyakinan diri anak remaja. Berbekalkan keyakinan diri yang tinggi, mereka berupaya menangkis pengaruh budaya negatif dalam kehidupan mereka.

l Babitkan diri dengan sekolah dan masyarakat – Ibu bapa perlu membina hubungan rapat dengan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Selalu hadir program anjuran sekolah.

Lebih banyak sokongan yang diberikan terhadap perkembangan positif remaja, lebih mudah bagi kita menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu atau bapa. Beri galakan dan sokongan kepada sekolah dan organisasi lain menjalankan aktiviti yang membina remaja.

l Jadilah model yang baik – Ibu bapa perlu menjadi contoh teladan terbaik dengan menunjukkan kejujuran, disiplin seperti yang kita mahukan daripada mereka. Jika ibu bapa menunjukkan contoh tidak baik, ini akan menggagalkan proses mendidik.

Tunjukkan contoh bagaimana ibu bapa sendiri melalui kehidupan yang bersih daripada perlakuan yang tidak baik.

Petunjuk daripada Ilahi kepada hati remaja adalah faktor penting mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak mereka. Ibu bapa mesti sentiasa berdoa supaya hati anak remaja sentiasa lembut dan bersedia menerima tunjuk ajar serta nasihat.

Ibu bapa perlu kembali kepada tradisi asal dalam membentuk peribadi anak seperti yang ditunjukkan Islam dan diamalkan oleh Rasul serta Nabi. Pendidikan agama mesti dijadikan paksi proses membina kesinambungan kecemerlangan manusia.

INTI PATI

Bentuk akhlak remaja

Ibu bapa perlu tahu di mana anak berada dan ke mana selepas waktu sekolah.

Luangkan masa dengan anak, makan bersama sekerap mungkin dan cari masa sesuai untuk berbual mengenai perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka.

Rakan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap satu sama lain. Oleh itu, penting bagi ibu bapa mengenali siapa kawan anak dan ibu bapa mereka.

Ibu bapa perlu menapis bahan yang sampai kepada anak anda. Remaja memerlukan panduan untuk menjadi seorang pengguna media yang berpengetahuan.

Bantu remaja mendapatkan keyakinan diri – Keyakinan diri adalah sesuatu yang diperoleh, bukannya anugerah. Terima mereka seadanya dan tanpa syarat, cuba penuhi keperluan mereka mengikut sepatutnya. Bersahabatlah dengan mereka.


Ibu bapa perlu membina hubungan rapat dengan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Selalu hadir program anjuran sekolah untuk mengetahui perkembangan anak.

Ibu bapa perlu menjadi contoh teladan terbaik dengan menunjukkan kejujuran, disiplin seperti yang kita mahukan daripada mereka.

Penulis ialah Pengurus Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah, Jemaah Islah Malaysia (PAKSI). PAKSI memberikan khidmat nasihat kaunseling dan nasihat guaman kepada remaja dan wanita. Talian hotline 019-6022624 atau e-mel wanitajim0@yahoo.com


Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Akhlak ibu bapa banteras kes ‘Generasi XYZ’ | Health care, kesihatan, disease, medicine, MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top