Breaking News

7 Tanggungjawab Selepas Penceraian | perkahwinan, malam pertama, pengantin, Wedding Ideas

HUBUNGAN kekeluargaan dalam sistem rumah tangga Islam tidak terhenti setakat lafaz cerai dilafazkan. Sistem kekeluargaan dalam Islam sangat sempurna dan adil kepada semua pihak di kalangan ahli keluarga.

Sungguhpun ikatan pernikahan putus akibat jatuh talak, Islam memberi ruang kepada pasangan suami isteri untuk terus berhubung antara satu sama lain dengan batas pergaulan yang diharuskan oleh hukum syarak. Matlamat ini murni bagi memastikan hak bekas suami isteri dan anakdilindungi.

Hak yang boleh dituntut di mahkamah selepas sesuatu perceraian berlaku ialah:

Nafkah edah

Nafkah edah adalah nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri dalam tempoh edah raji’e disebabkan sesuatu perceraian iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut hukum syarak.

Mutaah

Mutaah adalah satu bayaran yang wajib ke atas suami diberi kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut hukum syarak.

Kadar mutaah boleh ditentukan menerusi persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya ada pertikaian mengenai kadar ini, mahkamah akan menentukan kadar bayaran mutaah itu.

Harta sepencarian

Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan bekuat kuasa mengikut syarat ditentukan oleh hukum syarak.

Tuntutan harta sepencarian ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Hak jagaan anak (Hadanah)

Hadanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri.

Mengikut hukum syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuat kuasa, ibu adalah orang yang paling berhak bagi menjaga anaknya yang masih kecil (di bawah umur tujuh tahun bagi lelaki dan sembilan tahun bagi perempuan).

Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak itu sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.

Tuntutan hak jagaan anak (hadanah) hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Nafkah anak

Nafkah anak adalah suatu nafkah yang wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.

Tunggakan nafkah

Tunggakan nafkah adalah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suami dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut di mana-mana Mahkamah Syariah.

Hak tempat tinggal

Seseorang perempuan yang diceraikan berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal ketika dia dalam perkahwinan selama edah.


Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]








No comments