728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

24 March 2007

Wanita mualaf layak tuntut hak penjagaan anak | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA

Soalan
Saya seorang gadis berdarah Portugis yang telah memeluk agama Islam yang mulia ini semasa menuntut di universiti. Beberapa tahun kemudiannya, Allah s.w.t menemukan saya dengan seorang lelaki Muslim.

Perasaan kasih yang luhur telah terjalin di antara kami berdua dan berakhir di jenjang pelamin. Kebahagiaan kami memuncak dengan kelahiran cahayamata lelaki yang kini berusia enam tahun. Sayang sekali, harapkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Setelah sekian lama mendirikan rumahtangga, saya berkeputusan untuk bercerai dengan suami kerana tidak dapat menerima kehadiran ‘orang ketiga’. Masalahnya, saya bimbang tentang apa yang akan terjadi kepada anak lelaki saya. Adakah seorang mualaf seperti saya berhak mendapat hak penjagaan ke atas anaknya apabila dia bercerai dengan suaminya?

- Azmaria Abdullah,

Kuala Lumpur.

———————————-

Jawapan
Seperti yang kita sedia maklum, Surah an-Nisa 4:3 memberikan kebenaran kepada seorang lelaki untuk berkahwin lebih dari satu dengan syarat dia mesti berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Ayat yang sama turut menegaskan bahawa lelaki tersebut tidak boleh mengamalkan poligami sekiranya dia takut tidak dapat melayan isteri-isterinya dengan saksama. Dengan yang demikian, dia dapat mengelak daripada berbuat aniaya ke atas wanita-wanita yang dikahwininya.

Malangnya, kebanyakan orang memilih untuk membaca ayat di atas setakat mana ia membenarkan perkahwinan poligami, yakni hanya bahagian pertama ayat tersebut tanpa mengambil kira bahagian kedua yang menggariskan syarat yang dikenakan ke atas seorang suami yang ingin hidup berpoligami. Golongan ini juga tidak peduli bahawa ayat di atas sepatutnya dibaca dengan ayat 129 surah yang sama. Ayat kedua ini jelas menyatakan bahawa seorang lelaki yang ingin berpoligami ada kalanya tidak mampu berlaku adil di antara isteri-isterinya walaupun dia sangat ingin berbuat demikian. Atas sebab ini, jika merasakan tidak mampu, adalah jauh lebih baik bagi lelaki itu agar kekal berkahwin dengan seorang isteri sahaja supaya dia tidak menganiaya dan menyakiti isterinya.

Isu berkaitan ketidakmampuan seorang suami yang mengamalkan perkahwinan poligami untuk berlaku adil terhadap isteri-isterinya adalah sesuatu yang perlu diambil perhatian umum. Kebanyakan wanita memilih untuk mendiamkan diri dan menelan segala kepahitan yang dialami hari demi hari. Namun, ada juga antara mereka yang memilih jalan keluar yakni dengan memohon perceraian atau pembubaran perkahwinan kerana sudah tidak sanggup berkongsi kasih sayang suami seperti apa yang puan ingin lakukan kini.

Tambah memedihkan lagi jika perceraian ini terjadi berikutan kehendak suami yang memilih untuk berpoligami seperti suami puan. Biarpun berdepan dengan pelbagai kesukaran baik dalam menghadapi pandangan sinis masyarakat (dan kadangkala ahli keluarga sendiri) mahupun dari segi kewangan dan sebagainya, perkara utama yang pasti merisaukan isteri tersebut adalah nasib yang bakal menimpa anaknya akibat daripada perceraian itu, apatah lagi jika anak itu masih kecil.

Menurut Hukum Syara’, hak penjagaan anak (hadhanah) bermaksud ‘membesarkan anak dengan memberikannya makanan, pakaian dan perlindungan baik dari segi fizikal mahupun mental sehingga dia membesar dan boleh menjaga dirinya sendiri’. Memandangkan hadhanah berhubungkait dengan penjagaan anak sejak bayi lagi, adalah dipercayai bahawa proses ini tidak boleh berlaku tanpa sentuhan kasih sayang ibunya atau wanita lain yang merupakan muhrimnya. Ia tanggungjawab yang wajib dipenuhi oleh sesiapa jua yang mendapat hadhanah ke atas anak tersebut. Ini kerana, sebarang kealpaan dalam membesarkan anak itu boleh mendatangkan kemudharatan kepadanya.

Berhubung soalan puan, tidak terdapat sebarang peruntukan dalam ajaran Islam mahupun undang-undang syariah yang menyatakan bahawa seorang mualaf tidak boleh mendapat hadhanah ke atas anaknya. Apa yang dipentingkan dalam menentukan siapa yang akan menjaga kanak-kanak itu adalah sama ada orang yang bakal mendapat hadhanah itu adalah orang Islam atau bukan. Menurut Mazhab Shafii, orang bukan Islam tidak boleh mendapat hadhanah ke atas kanak-kanak Muslim. Ini juga merupakan undang-undang syariah bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di mana puan menetap, yakni di bawah seksyen 82 (a) Akta Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Peruntukan undang-undang ini menggariskan bahawa salah satu syarat bagi seseorang untuk mendapat hadhanah adalah dia mesti seorang Muslim.

Oleh yang demikian, puan tidak perlu bimbang bahawa status puan sebagai seorang mualaf akan menjadi penghalang bagi puan mendapat hadhanah ke atas anak lelaki puan. Ketahuilah bahawa seksyen 81 (1) akta yang disebut di atas turut menyatakan bahawa, melainkan adanya sebab-sebab tertentu, ibu dianggap paling berhak mendapat hak penjagaan ke atas anak yang masih kecil.

Akhir kata, puan sebagai seorang ibu sepatutnya diberi pujian dan penghormatan kerana cukup mengambil berat akan kebajikan dan masa depan anak puan biarpun puan sendiri kini perlu berdepan dengan cabaran yang menggugat jiwa. Semoga anak puan membesar sebagai orang yang berguna apabila dia dewasa kelak. Insya-Allah.

Info
Satu talian khusus untuk Legal Clinic Sisters In Islam yang dinamakan TeleNisa kini boleh dihubungi melalui 03-77843733.

Legal Clinic ini juga boleh dihubungi melalui e-mel: sistersinis lamlegalclinic@yahoo.com.

Sisters In Islam

No 7, Jalan 6/10,

46000 Petaling Jaya, Selangor.

Tel. No. 03-7785606121/ 77842733

Fax No: 03-77858737

* Nur Fadhlin Mohd Yusof Pegawai Undang-Undang Sisters In Islam.

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]






  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Wanita mualaf layak tuntut hak penjagaan anak | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top