728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

20 March 2007

Penderaan seksual kanak-kanak perlu dipandang serius | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA

BAGAIKAN kudis yang menanah dalam masyarakat hari ini, jenayah penderaan seksual terhadap kanak-kanak masih terus berleluasa. Walaupun statistik kejadian penderaan seksual semakin meningkat, dipercayai masih banyak lagi kes tidak dilaporkan kerana masyarakat masih menganggap ia satu kejadian memalukan dan perlu dirahsiakan.

Pengerusi Badan Bertindak Penderaan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (MCPCSA), Sabri Abdul Rahman berkata, sebagaimana isu melibatkan gejala sosial lain, isu penderaan seksual kanak-kanak juga perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Selalunya kata beliau, gejala penganiayaan itu tidak ketara dan mungkin tidak ada perubahan berlaku kepada tingkah laku terutama kanak-kanak itu sendiri kerana tidak menyedari bahawa apa yang dilalui itu adalah penderaan seks.

Namun, sebagai individu yang paling rapat dengan kanak-kanak terutama ibu, bapa, guru mahupun jiran tetangga, sebarang perubahan tingkah laku perlu diketahui kerana kemungkinan ia dapat memberi petunjuk bahawa mereka itu telah didera. Antaranya, enggan pergi ke sekolah atau prestasi pelajaran menurun, tingkah laku agresif atau cemas, suka memakai banyak lapisan pakaian dan murung.

Bagaimanapun kata Sabri, perlu diingat tidak semua kanak-kanak yang mengalami penderaan seksual menunjukkan gejala yang disebutkan dan tidak pula semua perubahan tingkah laku disebabkan oleh penderaan seksual.

Kesan penderaan seks juga berbeza mengikut personaliti seseorang kanak-kanak dan seriusnya keadaan peristiwa itu.

Ini kerana persoalan lain pasti timbul seperti ‘bolehkah mangsa mahu meneruskan kehidupan setelah apa yang menimpanya’, atau ‘bagaimana nasib kanak-kanak itu selepas pendera iaitu bapa kandungnya sendiri keluar penjara nanti’, atau ‘bagaimana layanan ahli keluarga mangsa selepas peristiwa itu?’

Oleh kerana itu katanya, selain mengetahui tindakan yang perlu diambil, seseorang itu juga perlu mengetahui bagaimana membuat laporan, kepada siapa, di mana dan seterusnya menyokong mangsa mendapatkan pemulihan.

Merujuk kepada buku panduan membuat laporan penderaan seks kanak-kanak yang ditulis sendiri oleh beliau dengan kerjasama pelbagai organisasi, kata Sabri, ia lebih fokus kepada apa yang perlu seseorang itu tahu untuk menghalang dan menghentikan penderaan. Antara topik yang dibincangkan ialah pengenalan tentang penderaan seksual, menangani pemberitahuan penderaan, prosedur melapor, pemeliharaan anak angkat dan pemulihan.

Sesiapa sahaja katanya, perlu tahu bagaimana tindakan yang seterusnya diambil apabila kanak-kanak ini memberitahu mereka telah didera.

Sambil melahirkan kekesalan kata Sabri, apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah sebaliknya, ada yang tahu tetapi sanggup memejamkan mata dan menutup telinga termasuk ada ibu yang sanggup menyembunyikan perbuatan si suami mendera anak kandung.

“Seseorang itu bukan sahaja perlu tahu bagaimana tindakbalas yang perlu dilakukan sebaik kanak-kanak memberitahu mereka menjadi mangsa, sebaliknya prosedur melapor, kepada siapa dan di mana membuat laporan itu perlu dibuat perlu diketahui.

“Tindakan yang terbaik adalah membawa kanak-kanak itu ke hospital untuk mendapat rawatan bagi kecederaan fizikal, selain menghubungi JKM, pihak polis atau mana-mana organisasi yang memperjuangkan nasib kanak-kanak,’’ ujarnya.

Identiti si pelapor tidak akan didedahkan kepada sesiapa tanpa izin secara bertulis daripada pelapor, kecuali atas perintah mahkamah.

Selain percaya kepada cerita kanak-kanak tentang penderaan itu, mereka harus menenangkan kanak-kanak itu dengan menyakinkan bahawa anda tetap sayang kepadanya dan anda tahu dia tidak bersalah dalam peristiwa itu.

“Sentiasa ingat bahawa keperluan kanak-kanak adalah paling utama. Jelaskan kepada mereka dengan cara yang lembut, supaya dengan cara bercerita dan melahirkan perasaannya itu akan memudahkannya melalui proses pemulihan,’’ ujarnya.

Bagaimanapun dengan tindakan serta pendekatan yang diambil secara tidak langsung membuatkan kanak-kanak ini lebih mudah untuk bercerita.

Sehubungan itu, orang-orang dewasa hendaklah memberi sokongan kepada kanak-kanak itu, terutama apabila mereka mula bercerita tetapi jangan sekali-kali menyalahkan, menghukum atau memalukan kanak-kanak tersebut.

Apabila seorang kanak-kanak didera secara seksual, adalah sama pentingnya untuk memulihkan keluarganya, supaya mereka dapat meneruskan kehidupan selepas apa yang berlaku. Mangsa hanya dapat dipulihkan dengan baik apabila mendapat sokongan dari keluarga dan masyarakat.

*Maksud penderaan seks kanak-kanak

Penderaan seks kanak-kanak berlaku apabila seseorang, sama ada tua atau muda, lelaki atau perempuan menggunakan kanak-kanak untuk memuaskan nafsu seksnya.

Ia boleh membabitkan paksaan, penipuan atau ancaman ke atas kanak-kanak untuk melakukan aktiviti seks. Penderaan seks boleh dalam bentuk fizikal atau bukan fizikal dan boleh meliputi satu rangkaian perilaku seks.

*Siapakah yang mendera kanak-kanak

*Lelaki atau perempuan.

*Tua atau muda.

*Kadang kala seorang yang tidak dikenali tetapi biasanya seorang yang dikenali atau rapat dengan mangsa.

*Selalunya mereka kelihatan sopan dan boleh dipercayai.

Bagaimana menangani pemberitahuan penderaan

*Dengar

*Percaya

*Bertenang

*Jangan sesekali menyalahkan

*Memberi pengakuan

*Memberi sokongan

*Sediakan kanak-kanak untuk menghadapi keadaan seterusnya

*Bersifat penyokong

Tanda-tanda seorang kanak-kanak itu mengalami penderaan seksual

*Enggan pergi ke sekolah atau prestasi pelajaran menurun.

*Tingkah laku yang agresif atau cemas (contohnya melarikan diri).

*Mengigau, tidur yang terganggu, takut kepada kegelapan.

*Memakai banyak lapisan pakai- an.

*Cenderung untuk membunuh diri.

*Murung.

lMencederakan diri.

lTingkah laku yang menjurus kepada seks atau takut kepada seks.

lKencing malam atau menghisap ibu jari terutama kanak-kanak yang lebih tua.

Talian Untuk Dihubungi

Mendapatkan Bantuan

lPersatuan Pertolongan Wanita (WAO) 03-7957 5068, 03-7956 3488

lPersatuan Pergerakan Wanita (AWAM) 03-7877 4221

lPertubuhan Perlindungan dan Penyelamat Kanak-Kanak Selangor dan Kuala Lumpur (P.S. The Children) 03- 7784 4344/55

lPusat Krisis Wanita ( WCC, Penang) 04-228 0342

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]






  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Penderaan seksual kanak-kanak perlu dipandang serius | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top