Breaking News

Kesedaran berubah perbaiki urusan rumah tangga | Question and ask all about marriage, life, money

SAYA adalah seorang ibu yang mempunyai dua anak. Anak sulung belajar di universiti dan yang bongsu belajar di Tingkatan Lima. Saya ibu yang bekerja. Dalam banyak hal, saya secara realitinya membesarkan anak dengan tenaga, wang ringgit dan masa yang padat (harapnya yang berkualiti). Saya berasa teraniaya dengan perbuatan suami yang kurang bertanggungjawab ini. Saya cuba memahami keadaan suami saya (namakan sebagai AS) dan dia berasal dari kampung. Alhamdulillah, AS mendapat pendidikan yang boleh dikatakan baik. Saya tidak kenal dia dengan begitu rapat sebelum kahwin. Selepas berkahwin saya dapati dia seorang yang suka bercakap besar, riak dan suka berbelanja tanpa perancangan.

Lama-kelamaan tingkah lakunya itu membuat AS tersepit sendiri. Hingga sekarang ini saya terpaksa menanggung belanjanya pula. Kadang-kadang saya risau, terutama pada masa sekarang semua barang mahal dan pendapatan sedikit. Cukup bulan tolak ini tolak itu, hampir tidak berbaki. Bagaimana hendak menyimpan duit?. Bagaimana hendak menabung untuk masa depan anak, bayaran tuisyen anak, duit buku, belanja makan dan sebagainya. Walaupun saya sentiasa berdoa, berzikir, sembahyang wajib dan sunat, itulah cara saya berserah kepada Allah. Namun, saya masih bimbang, risau terhadap masa depan keluarga kami yang seolah-olah terumbang-ambing. Minta sedikit nasihat untuk meredakan yang terbuku dalam hati.

Pencari Sinar
Melaka


Syabas, puan menggunakan pendekatan spiritual mendekati Allah dalam meredakan gelodak kebimbangan puan. Namun, tindakan ini perlu disokong dengan beberapa langkah seterusnya.

Kunci penyelesaian atau langkah pertama untuk keluar daripada permasalahan ini ialah melakukan ‘perubahan’. Namun sebelum seseorang itu mampu berubah, dia mesti menyedari dan berasakan dia perlu melakukan perubahan. Jika kesedaran ini tidak ada bagaimana seseorang itu boleh berubah kerana dia tidak berasakan perlu untuk berubah.

Jadi, dalam kes puan ini, saya rasa puan perlu berkomunikasi dengan suami puan. Puan perlu menerangkan kenapa suami puan perlu berubah. Berikut langkah yang boleh puan lakukan:
# Cuba puan buat draf belanjawan keluarga dengan mencatatkan jumlah pendapatan dan anggaran perbelanjaan bulanan serta pecahannya seperti berapa duit gaji diperoleh suami isteri, berapa pula anggaran belanja dapur, persekolahan anak, ansuran kereta, ansuran rumah, duit minyak, bil elektrik, air, telefon dan lain-lain. Prinsip pertama dalam menyusun belanjawan keluarga ialah tidak boleh berakhir dengan ‘defisit’ iaitu perbelanjaan lebih tinggi daripada pendapatan.



Prinsip kedua ialah mesti ada lebihan walaupun sedikit untuk perbelanjaan luar jangka. Soal pendapatan siapa yang lebih besar sama ada suami atau isteri bukan soal pokok. Kedua pihak bersetuju dan bersepakat untuk mengurus dan berkongsi perbelanjaan rumah tangga berdasarkan pendapatan terkumpul kedua-dua suami isteri. Memang pada asasnya suami bertanggungjawab untuk menyara keluarga. Namun, dalam kehidupan serba kompleks hari ini, isteri juga turut berperanan mengukuhkan ekonomi keluarga. Apabila wujud satu keadaan pendapatan isteri lebih besar, maka apa juga sumbangan isteri ke arah memenuhi tuntutan ekonomi rumah tangga adalah pahala bagi pihak isteri kepada keluarga.

Saya yakin selepas puan bentangkan belanjawan ini kepada suami, beliau akan menilai kembali sikap dan cara dia berbelanja. Mungkin selama ini beliau tidak menyedari sebahagian besar perbelanjaan rumah tangga ditanggung oleh puan. Jadi, dengan ada dokumentasi perbelanjaan rumah tangga ini dia akan sedar betapa besarnya pengorbanan puan selama ini yang sepatutnya dipikul oleh dia. Mudah-mudahan akan menimbulkan keinsafan kepadanya dan akan bersikap lebih bertanggungjawab dalam berbelanja dan menghentikan sifat boros dan membazir.
# Cuba puan nasihatkan suami puan supaya melihat ke hadapan. Anak sudah masuk ke universiti dan tidak lama lagi seorang lagi anak akan melanjutkan pelajaran ke sana, Insya-Allah. Ia memerlukan komitmen kewangan yang besar. Walaupun anak puan mendapat pinjaman kewangan (Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan sebagainya) namun, mereka masih memerlukan sokongan kewangan ibu bapa. Bagaimanakah keperluan anak boleh dipenuhi jika tabiat berbelanja suami isteri masih pada takuk lama.
# Mengenai kelemahan suami yang dikatakan suka bercakap besar, riak dan berbelanja besar, saya rasa kelemahan ini adalah kerana dia berkawan dengan ‘kawan-kawan’ yang salah. Maksud saya dia berkawan dengan orang yang suka mengambil kesempatan. Ada jenis kawan yang mengambil peluang daripada kelemahan suami puan dengan mencabar dia supaya berbelanja besar. Ia menyuburkan sikap suka menunjuk-nunjuk (riak) dengan berbelanja lebih daripada kemampuan semata-mata supaya kononnya ‘dihormati’ dan ‘dipandang tinggi’ orang lain. Dalam keadaan sedemikian ada juga yang ‘mengipas’ suami puan supaya mereka mendapat manfaat darinya.

Jadi dalam keadaan sedemikian, jika ia berlaku eloklah suami menyemak kembali siapakah yang menjadi teman pergaulannya. Kita disuruh untuk berkawan dengan semua orang tetapi berteman dengan orang yang salih dan tawaduk. Jika suami puan mampu menjauhkan diri daripada pengaruh buruk rakannya dan mula mencari teman daripada kalangan kelompok yang positif, sedikit demi sedikit dia akan berasa perubahan dalam dirinya. Kawan adalah cermin diri sendiri. Dengan siapa seseorang itu bergaul menggambarkan sedikit sebanyak tingkah laku dan peribadinya.
# Puan mengatakan puan menyempurnakan semua tuntutan sebagai seorang Muslim dengan menyempurnakan solat fardu dan juga mendirikan solat sunat. Puan tidak menyatakan dalam surat puan, tetapi sebuah rumah tangga yang harmoni dan ‘beres’ kualiti yang ada pada puan juga perlu ada pada suami. Maaf, jika andaian saya tidak tepat. Jika suami ada kekurangan dari aspek ini, sebaiknya puan dengan nasihat dan penuh hikmah mengajak suami puan bersama-sama melakukannya. Insya-Allah rumah tangga puan akan diberkati dan dirahmati Allah. Ajaklah sekali sekala solat berjemaah bersama-sama terutama solat Maghrib dan galakkan dia bersolat Isyak di surau.
# Teruskan mengharap bantuan dan pertolongan daripada Allah seperti yang puan lakukan selama ini. Yakinlah Allah mendengar pengaduan hambanya dan pasti akan menjawab dan mengurniakan apa yang diminta oleh setiap hambanya.
# Jawapan disediakan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor (Pensyarah UPM) dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dikongsi di www.bicarakalbu.blogspot.com.

Sumber: Berita Harian

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]





rahsia clickbank

No comments