Breaking News

Individu miliki hati kotor suka maki hamun dan mengumpat | Koleksi PETUA Tradisional, tips, information of MALAYSIA

Oleh Lokman Ismail

GABUNGAN lidah, rongga mulut dan olahan nafas daripada kerongkong melahirkan perkataan dan nada suara sebagai bahasa pertuturan ketika berkomunikasi. Pertuturan adalah cara berkomunikasi paling mudah berbanding menggunakan bahasa isyarat.

Individu tidak mampu bercakap dianggap cacat, biarpun nampak secara fizikal dia normal. Dia terpaksa berkomunikasi bahasa isyarat yang tidak semua orang memahaminya. Betapa sukar golongan bisu untuk berkomunikasi.

Justeru, orang yang sempurna kemampuan lidahnya perlu bersyukur dan melahirkan suara yang enak didengar dan memberi manfaat. Antara cara menunjukkan rasa bersyukur atas nikmat lidah ialah sentiasa mengucapkan perkataan baik dan menjauhkan mengeluarkan kata-kata tidak enak didengar.

Allah berfirman bermaksud: “Tidakkah Kami telah menjadikan baginya dua mata dan lidah serta dua bibir, dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhinya).” (Surah al-Balad, ayat 8-10).

Jelaslah, semua anugerah Allah mesti digunakan untuk kebaikan. Manusia perlu menggunakan akal berlandaskan kebenaran untuk menjaga nikmat yang Allah kurniakan agar tidak cenderung melakukan perbuatan ditegah.

Sesungguhnya, banyak individu yang tidak menjaga lidahnya. Perbuatan mengumpat, fitnah, adu domba, kata-kata keji, menipu, sumpah bohong dan sebagainya adalah lahir dari lidah berniat busuk.

Banyak kesan buruk akibat lidah celupar. Kata orang ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana’. Sebab itulah, besar faedahnya sesiapa mampu menjaga lidahnya daripada memperkatakan tidak baik.

Sebab itu, Islam amat prihatin terhadap cara bercakap agar tidak mengeluarkan kata tidak baik. Setiap perkataan dikeluarkan dari mulut membabitkan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah.

Percakapan juga seperti perbuatan melambangkan tahap keimanan seseorang. Orang beriman menjaga setiap tutur katanya bagi mengelak perkara buruk seperti mengumpat, menyebar fitnah, mengeji dan berbohong.

Orang yang bercakap perkataan tidak baik termasuk mereka tidak teguh imannya. Mereka tidak dapat mengelak diri daripada bercakap perkataan tidak baik sedangkan agama menyuruh berbuat demikian.

Memandangkan besarnya bencana berpunca daripada lidah, Rasulullah menganjurkan agar sesiapa tidak mampu mengawalnya daripada berkata-kata tidak baik, adalah lebih baik dia mengamalkan sifat ‘mendiamkan diri’.

Kita biasanya mudah tergelincir lidah mengeluarkan kata bermaksud dan membawa kesan buruk, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Maka, berdiam diri adalah pencegah kepada melakukan dosa.

Individu yang bisu tidak melakukan dosa berkaitan mulut atau lidah. Itu juga dikira satu rahmat, tetapi tentu kita tidak mahu menjadi bisu semata-mata untuk tujuan itu.

Sememangnya, berdiam diri adalah cara paling mudah, biarpun payah dilakukan untuk menyelamatkan diri daripada terbabit dengan fitnah, mengumpat dan berkata-kata perkataan tidak perlu. Dalam hadis lain Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang diam, dia akan selamat.” (Hadis riwayat Ahmad).

Individu Muslim wajib diam atau mengelak diri daripada memperkatakan perkataan buruk.

Tidak dinafikan kadang kala perkataan diucapkan tidak disengajakan. Jadi, sekiranya terkeluar perkataan tidak baik, cepat-cepat bertaubat dan mengaku kesalahan diri. Adalah mulia orang yang mengaku kesalahan dan ikhlas menarik balik keterlanjuran kata-kata.

Perkataan hina dan memualkan adalah lambang keceluparan mulut dan kekotoran hati pengucapnya.

Malah, perkataan ‘syaitan’ digunakan dalam maki hamun. Ketika itu pengaruh syaitan lebih kuat berbanding keteguhan iman.

Perkataan buruk itu terus diulang-ulang yang dianggap mendatangkan kepuasan atau menandakan kejayaan. Hakikat sebenarnya ialah yang berasa puas dan berjaya ialah syaitan.

Sesiapa mencarut bermakna mengikuti sifat syaitan yang sentiasa menimbulkan hubungan buruk sesama manusia. Justeru, bahasa mencarut dan kasar tidak wajar diucapkan dalam apa juga keadaan.

Menyalahgunakan fungsi lidah membawa kepada kufur nikmat yang Allah kurniakan. Banyak individu ditarik balik kebolehan bercakap apabila diserang penyakit lumpuh atau barah berkaitan mulut dan saluran pernafasan. Ketika itu kita akan berasakan betapa besarnya nikmat boleh bercakap.

Oleh itu, hargailah nikmat bercakap dengan mengucapkan perkataan yang baik dan mengelak daripada mengeluarkan perkataan tidak diredai Allah.


Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]






No comments