Breaking News

Dosa rasuah seperti membunuh | Rahsia , Al-Islam, Muslim, Sejarah, Ceramah ISLAM

RASUAH adalah antara jenayah terkutuk dilarang Islam kerana kesannya begitu buruk, bukan saja kepada pelaku malah menyebabkan bencana kepada masyarakat dan negara akhirnya.

Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan rasuah daripada pelbagai sumber dan segi. Diharapkan amalan keji itu terpadam daripada kamus kehidupan umat Islam. Allah menegaskan pengharaman rasuah di kalangan umat Islam dengan berfirman: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah, ayat 188).

Menurut perspektif Islam, rasuah ialah satu perbuatan sogokan dengan wang atau apa-apa hadiah atau manfaat sebagai ganjaran balas terhadap sesuatu hajat atau keinginan yang akan dan ditunaikan dengan cara tidak sebenarnya. Jelas daripada definisi amalan rasuah adalah satu jenayah terkutuk dan kesalahan besar dari sisi undang-undang.

Malah ia dilarang keras dan dikategorikan dalam amalan berdosa besar oleh Islam kerana terselit unsur kezaliman dan penindasan serta mengambil hak orang lain dengan tidak sebenarnya.

Bertolak daripada situ, jelas Islam melarang keras sebarang amalan rasuah kepada hakim dengan harapan untuk diringankan hukuman pihak yang bersalah atau dibebaskan daripada hukuman tertentu. Tidak kurang juga, kadang-kadang rasuah mampu mengubah fakta sedia ada sehingga yang salah menjadi benar dan begitu juga sebaliknya yang benar dikatakan bersalah.

Perlu ditegaskan, larangan itu tidak hanya terhad dalam bidang kehakiman dan perundangan, malah juga merangkumi bidang lain seperti politik, ekonomi dan sebagainya.

Meninjau senario umat Islam masa kini, didapati amalan rasuah semakin berleluasa dan membarah dalam bidang politik terutama ketika pilihan raya dan juga ketika pemilihan pucuk pimpinan dalam sesebuah organisasi politik. Keadaan seumpama ini bukan saja amat menyedihkan umat Islam, malah membawa petanda buruk kepada umat Islam mengenai kepincangan yang wujud dalam pentadbiran dan juga pengkhianatan pemimpin itu terhadap amanah rakyat kepadanya.

Keadaan itu juga menunjukkan betapa keadilan dan kebebasan sudah tidak wujud lagi dalam sistem pentadbiran negara. Umat Islam yang bertindak sebagai rakyat atau warga negara mempunyai hak dan kebebasan untuk memilih pemimpin yang berwibawa lagi adil dalam menerajui tampuk pemerintahan negara ke arah kemakmuran dan keredaan Ilahi.

Bahkan rakyat juga mempunyai hak untuk menegur dan jika perlu menurunkan pemimpin mereka jika didapati menyeleweng daripada landasan Islam yang sebenarnya atau mereka tidak berkemampuan untuk meneruskan teraju negara.

Haram memberi rasuah, haram juga menerimanya. Namun, dosa rasuah tidak terbatas kepada pemberi rasuah dan penerimanya saja. Ia turut membabitkan pihak ketiga yang bertindak sebagai perantara antara pemberi dan penerima rasuah. Yang perlu diambil perhatian di sini ialah akibat perbuatan itu amatlah menakutkan iaitu laknat daripada Allah.

Maksud laknat di sini ialah dijauhkan daripada rahmat Allah. Maka tidak hairanlah sekiranya amalan rasuah ini sebaris dengan amalan berdosa besar yang lain seperti syirik, membunuh, minum arak dan sebagainya.

Selain itu, akibat buruk berpunca daripada amalan rasuah sangat berkait rapat dengan kepentingan masyarakat umum dan negara apabila amalan itu boleh menggoyahkan kesatuan ummah di samping mampu menghakis kekuatan binaan sesuatu bangsa yang berdaulat.

Pemimpin yang mengamalkan perbuatan rasuah kebiasaannya akan membuahkan bibit penyelewengan dan ketidakadilan dalam pentadbiran seperti kronisme, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan sebagainya. Akhirnya rakyat juga yang menanggung risiko dan padah.

Pada masa sama, jentera pentadbiran kerajaan akan pincang dan terbantut kerana pemimpin hanya berebutkan kuasa untuk kekal lama dalam kerajaan pada hal kuasa itu adalah satu amanah yang dikurniakan Allah kepada manusia.

Lebih-lebih lagi, amanah kepemimpinan akan dipersoalkan dan dibicarakan di hadapan Mahkamah Agung di Padang Mahsyar pada hari akhirat nanti. Hal ini ditegaskan sendiri oleh Rasulullah dalam satu hadis maksudnya: Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang berada di bawah pimpinan kamu. (Hadis riwayat Bukhari)

Oleh itu, setiap pemimpin yang dipilih oleh rakyat wajib menyedari dan menginsafi akan hakikat kepemimpinan dalam Islam kerana mereka bertanggungjawab sepenuhnya dengan kuasa di tangan untuk menunaikan amanah dengan mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat terlebih dulu berbanding kepentingan diri sendiri.

Mereka juga hendaklah menjauhkan diri daripada amalan rasuah yang hanya menyebabkan bencana kepada masyarakat dan negara. Sebaliknya beramallah dengan ajaran Islam dengan menjadikan al-Quran dan hadis sebagai teras yang mendasari pentadbiran mereka. Dengan ini, barulah umat Islam dapat merealisasikan impian mereka sebagai umat yang terbaik lagi diredai Allah dalam segala lapangan hidup.


Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]





rahsia clickbank


No comments