728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

19 March 2007

Bercinta Dengan Suami Orang | Question and ask all about marriage, life, money

SAYA wanita berumur 27 tahun dan ada kekasih bernama A yang berkahwin tiga tahun lalu. Ketika hubungan kami bermula, dia masih bujang. Hubungan kami sangat rapat seperti suami isteri dan kami banyak kali terlanjur, walaupun belum bernikah.

Kami juga pernah tinggal bersama selama enam bulan sebelum dia berkahwin dan akhirnya keluar dari rumah itu dengan alasan ibunya memintanya tinggal bersama. Namun rupa-rupanya dia berkahwin dengan teman wanitanya yang dia kenali sebelum saya.

Saya sungguh sedih tapi masih meneruskan hubungan, biarpun dia sudah berkahwin.

Kami juga melakukan ‘aktiviti’ seperti biasa kerana saya terlalu menyintainya. Kami pernah terfikir untuk berkahwin di negara jiran kerana ibu dan isterinya tidak merestui hubungan kami.

Bagaimanapun, niat itu terhalang kerana saya tidak sampai hati untuk melukakan hati ibu bapa saya. Apapun, A berjanji akan berusaha memujuk ibu dan isterinya untuk membenarkan kami berkahwin.

Malangnya, sampai sekarang saya tidak nampak usaha yang diambilnya. Hampir dua tahun saya menunggu, tapi masih tidak mendapat jawapan yang meyakinkan. Biarpun tahu kekasih saya banyak melukakan perasaan saya, saya masih tetap menyayanginya.

Kadangkala saya terasa seperti dipergunakan oleh A dan saya tidak tahu kenapa susah sangat untuk saya melupakannya.

Walhal sebelum ni saya pernah putus kasih dengan orang lain, tetapi saya mampu melupakannya.

Hubungan kami renggang selepas dia berkahwin. Kami jarang berjumpa dan berhubungan melalui telefon. Kalau berjumpa pun, dia curi-curi keluar rumah.

Ini membuatkan diri saya terasa sunyi dan kosong lalu saya berkenalan dengan lelaki bernama M. Dia juga suami orang dan saya kini rapat dengannya. Kami selalu meluangkan masa bersama. Jika nak dibandingkan dengan kekasih saya, M benar-benar menyayangi dan mengambil berat mengenai saya.

Dia menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan saya, walaupun mengetahui kisah hidup saya. Ini kerana hubungan dengan isterinya tidak bahagia. Malah, dia pernah menyatakan hasrat memperisterikan saya kepada ibu bapa saya.

Orang tua saya tiada halangan, asalkan dia mendapat keizinan isterinya. M juga memutuskan untuk mengambil saya sebagai isterinya, walaupun terpaksa kehilangan isteri sekarang.

Masalahnya, perasaan saya sekarang lebih kepada A kerana hidup saya terasa kosong tanpanya. Saya tidak boleh melupakannya.

Saya ingin memutuskan hubungan dengannya, namun tidak berdaya. Setiap kali berjumpa, hati saya jadi lembut dan tak berdaya nak menolak permintaannya.

Dia pernah menyuruh saya kahwin dulu dengan lelaki lain dan pada masa sama kami boleh berhubungan secara diam-diam.

Namun, saya tidak sanggup menduakan bakal suami saya. Kini, M masih menunggu jawapan saya. Dia meminta saya membuat pilihan kerana tahu saya masih berhubungan dengan A. Jalan mana satukah yang patut saya pilih?

WANITA BINGUNG

—————————————-

Adakah Dang Setia akan menasihatkan saudari supaya terus menjalin hubungan dengan A? Pasti tidak dan saudari tahu kenapa. Tidak lain tidak bukan ia kerana sudah terang A bukan lelaki baik.

Sebenarnya saudari tahu hakikat itu, tapi seolah-olah cuba mengetepikannya. Puncanya kerana pandangan dan hati saudari dibutakan oleh cinta. Inilah masalahnya apabila terlalu mabuk cinta hingga tidak tahu mana betul dan yang mana salah.

Dang Setia berani mengatakan saudari mabuk cinta sehingga mata dan hati menjadi buta berdasarkan petikan kenyataan saudari iaitu:

“Biarpun dia sudah berkahwin, kami masih melakukan ‘aktiviti’ seperti biasa kerana saya terlalu menyintainya.” Saudari juga menyatakan: “Biarpun tahu A banyak melukakan perasaan saya, saya masih tetap menyayanginya.”

Seterusnya, supaya saudari dapat melihat semula keburukan sikap A, ada baiknya Dang Setia nyatakan serba sedikit di sini, juga berdasarkan cerita saudari.

Antaranya, terus menerus berzina dengan saudari sehingga bertahun lamanya, membohongi saudari, masih berzina dengan saudari biarpun sudah beristeri dan paling teruk, menyuruh saudari kahwin dulu dengan lelaki lain tapi pada masa sama ingin terus menjalin hubungan secara diam-diam.

Dang Setia tidak tahu apa istimewanya A pada pandangan saudari atau apakah ‘ubat guna-guna’ dikenakan hingga saudari menjadi begitu hilang arah sama sekali.

Apapun, biar sehebat mana sekali pun A, sedarilah bahawa kita orang Islam yang hidup di dunia ini untuk sementara saja. Ajal boleh menjemput kita pada bila-bila masa saja dan tatkala di alam barzakh, seterusnya di alam akhirat, segala perbuatan kita di dunia akan diberi pembalasan.

Jika baik perbuatan kita di dunia, baik jugalah pembalasan yang bakal kita terima, tapi jika buruk kelakuan kita di dunia, masya-Allah, sesungguhnya pembalasan atau azab Allah kelak terlalu perit untuk kita tanggung.

Pada ketika itu kelak, segala cinta agung saudari kepada A tidak akan membawa makna untuk saudari melepaskan diri daripada azab Allah, malah menjadi penyesalan yang tidak berkesudahan.

Satu kelemahan kita manusia ialah seolah-olah tidak meyakini janji Allah ini, sedangkan ia benar dan pasti berlaku. Ini fakta dan hakikat. Ia bukan cerita dongengan.

Hanya kerana kita tidak nampak apa yang akan berlaku, jangan kita terlalu mudah menidak atau melupakannya.

Jika saudari ingin tahu lebih lanjut mengenai pembalasan yang bakal kita terima di akhirat, rajin-rajinlah membaca buku agama atau tafsiran al-Quran yang menceritakan mengenainya.

Pasti, jantung saudari akan berdegup kencang, bulu roma meremang di tengkuk selepas berasa betapa hinanya diri kita yang menzalimi diri kerana mengingkari perintah Allah.

Justeru, Dang Setia menasihatkan saudari supaya kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat dan terlajak lebih jauh. Manfaatkanlah sepenuhnya sedikit keinsafan yang Allah suntik ke dalam sanubari saudari untuk kembali semula ke jalan-Nya.

Ada kemungkinan kemunculan M dalam hidup saudari adalah jalan keluar yang ditunjukkan Allah. Jadi, ia tidak harus saudari sia-siakan. Bagi Dang Setia, berkahwin dengannya adalah langkah terbaik.

Jika pun keadaan tidak mengizinkan saudari berkahwin dengan M, carilah mana-mana lelaki lain yang sesuai kerana hanya perkahwinan mampu mengelakkan saudari daripada terus bergelumang dengan maksiat. Yang nyata, cukup-cukuplah menjalin hubungan dengan A.
Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]






  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Bercinta Dengan Suami Orang | Question and ask all about marriage, life, money Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top