728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

20 March 2007

Anak fobia sekolah perlu ditangani segera | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA

PENGGAL kedua sekolah sudah pun dibuka. Bagaimanakah perkembangan anak anda? Adakah anak anda liat atau malas ke sekolah dan memberi pelbagai macam alasan untuk tidak pergi ke sekolah?

Perkara seperti itu tidak mustahil berlaku, malah ada ibu bapa bingung menghadapi perubahan sikap anaknya yang tiba-tiba mogok, tidak mahu sekolah dengan memberikan berbagai alasan seperti sakit perut, sakit kepala, sakit kaki dan seribu satu alasan.

Apabila ini berlaku, ibu bapa sering diburu perasaan serba salah kerana jika tetap memaksa ke sekolah, bimbang anak akan tertekan. Pada masa sama, timbul perasaan ragu-ragu, adakah anak itu berkata benar atau sekadar berpura.

Menghadapi situasi seumpama itu apa yang sebaiknya dilakukan ibu bapa ialah mengendalikan masalah dengan menggunakan pendekatan bijak supaya tidak terjadi hal negatif sehingga menjejaskan perkembangan fizikal dan mental anak pada masa akan datang.

Umumnya, apa yang dialami anak anda itu dikenali sebagai ‘fobia sekolah’ iaitu perasaan kecemasan tinggi terhadap sekolah dan biasanya disertai dengan berbagai keluhan.

Fobia sekolah boleh dialami oleh kanak-kanak berusia lima hingga 14 tahun iaitu saat dirinya mulai bersekolah di sekolah baru atau menghadapi lingkungan baru mahupun ketika menghadapi suatu pengalaman yang tidak menyenangkan di sekolahnya. Sikap penolakan itu boleh dialami lebih setahun, bahkan selama anak bersekolah di tempat itu.

Antara beberapa tanda fobia sekolah atau penolakan terhadap sekolah ialah enggan untuk pergi ke sekolah, mahu datang ke sekolah tetapi tidak lama kemudian meminta pulang, malas ke sekolah; pergi ke sekolah dengan menangis dan ‘berkepit’ terus dengan ibu atau bapa atau penjaganya.

Selain itu, anak mungkin bertingkah laku tidak sepatutnya seperti menjerit-jerit di kelas, agresif terhadap rakan serta menunjukkan sikap ‘melawan’ atau ‘menentang’ gurunya. Ada juga yang menunjukkan ekspresi atau raut wajah seperti untuk meminta belas kasih guru agar dibenarkan pulang dan sebagainya. Alasan lain, anak berpura memberikan pelbagai alasan mengenai masalah kesihatan supaya diberi ‘cuti’, tidak masuk sekolah selama beberapa hari dan dibenarkan tinggal di rumah.

Berapa lama tempoh fobia sekolah pada anak, bergantung kepada pendekatan yang diambil oleh ibu bapa. Makin lama anak dibiarkan tidak masuk sekolah (tanpa mengambil sebarang pendekatan), makin lama masalah itu tidak akan selesai dan makin sering anak memberikan alasan. Bagaimanapun, jika cepat ditangani biasanya masalah itu akan beransur-ansur pulih dalam tempoh satu atau dua minggu.

Pakar psikologi kanak-kanak berpendapat, antara sebab fobia sekolah ialah apabila anak menghadapi perasaan bimbang berpisah. Bagaimanapun, perasan itu sebenarnya adalah fenomena yang normal sama ada anak kecil atau yang sudah besar.

Bagi mereka, sekolah bererti pergi dari rumah untuk jangka waktu yang cukup lama. Mereka tidak hanya akan berasa rindu kepada ibu bapa, rumah, ataupun permainannya, tetapi ‘cemas’ menghadapi pengalaman baru dan tekanan yang dijumpai di luar rumah.

Perasaan bimbang berpisah biasanya dialami anak yang datang daripada keluarga harmoni dan mempunyai hubungan rapat dengan ibu bapa. Lazimnya, perasaan sedemikian muncul apabila anak baru menjalani masa cuti panjang atau pun mengalami sakit serius hingga tidak boleh masuk sekolah dalam jangka waktu yang panjang.

Sepanjang masa di rumah atau bercuti, anak sentiasa senang dan selesa bersama ibu bapa. Pada waktu sekolah tiba, anak mula menghadapi ketidakpastian yang menimbulkan rasa cemas dan takut.

Bagaimanapun, pengkaji berpendapat, anak yang ada keyakinan diri, dapat perlahan-lahan menyesuaikan dengan situasi sekolah apabila masa sedikit demi sedikit berlalu. Berbanding anak yang berkeyakinan diri yang rendah, berpotensi menjadi anak yang anxiety prone-children (anak yang memiliki kecenderungan mudah cemas) dan cenderung mengalami kemurungan.

Kebanyakan ibu bapa tidak sedar bahawa sikap dan pola asuh yang diterapkan pada anak, turut menyumbang terbentuknya dependency (kebergantungan), perasaan kurang percaya diri dan kekhuatiran yang berlebihan. Contohnya, sikap ibu bapa yang terlalu melindungi anak sehingga tidak menumbuhkan keyakinan diri, keberanian dan berdikari.

Punca lain fobia sekolah ialah melalui pengalaman negatif di sekolah seperti takut dan malu setelah mendapat cemuhan, ejekan ataupun ‘diganggu’ temannya di sekolah. Anak juga mungkin berasa malu kerana ada kekurangan dari segi fizikal pada dirinya termasuk tidak cantik, kurus atau hitam, malah ada yang malu kepada rakan kerana tidak kaya dan tidak pandai serta takut gagal di sekolah.

Sikap guru yang pilih kasih, atau terlalu garang turut membuat anak jadi takut dan cemas menghadapi guru dan mata pelajarannya. Selain itu, ada juga yang enggan ke sekolah kerana tidak suka menaiki bas, serik dengan perjalanan yang panjang dan melelahkan, takut pergi sendiri ke sekolah, takut setelah mendengar cerita seram di sekolah, takut bertemu budak nakal dan banyak lagi.

Pakar berpendapat, masalah seumpama itu menimbulkan tekanan dan kecemasan yang membuat anak menjadi banyak ragam, kusut, resah, dan mulai merengek tidak mahu sekolah, ketika waktu hendak ke sekolah.

Masalahnya, tidak semua anak menceritakan ketakutannya itu kerana mereka sendiri kadangkala sukar memahami, meluahkan dan merumuskan perasaannya. Perasaan anak semakin berkecamuk kerana takut dimarahi ibu bapa yang menganggap alasannya itu mengada-ada dan tidak masuk akal.

INFO: Ada beberapa cara yang dapat dilakukan ibu bapa dalam menangani masalah fobia sekolah:
# Tetap menekankan pentingnya bersekolah.

Terapi terbaik untuk anak yang mengalami fobia sekolah adalah dengan mengharuskan anak tetap bersekolah setiap hari kerana perasaan takut wajar diatasi dengan cara menghadapinya secara langsung. Makin lama anak tidak masuk sekolah maka makin sulit mengembalikannya lagi ke sekolah.
# Berusahalah untuk tegas dan konsisten dalam memberi reaksi dan tingkah laku anak yang negatif.

Ibu bapa sepatutnya tidak melayani sikap tolak ansur jika anak keterlaluan. Ibu bapa juga perlu menghindari sikap menjanjikan hadiah jika anak mahu ke sekolah kerana hal ini akan menjadi pola kebiasaan yang tidak baik malah, anak langsung tiada kesedaran sendiri.
# Dapatkan khidmat rundingan doktor mengenai masalah kesihatan anak.

Jika ibu tidak yakin akan kesihatan anak, bawalah segera ke doktor untuk mendapatkan kepastian mengenai kesihatan anak.
# Bekerjasama dengan guru di sekolah

Umumnya, guru sudah biasa menangani masalah fobia sekolah. Justeru, dapatkan bantuan guru untuk menenangkan anak dengan berbincang dan menggunakan pendekatan yang sesuai
# Luangkan masa untuk berbincang dengan anak

Luangkan waktu yang intensif dan tidak tergesa-gesa apabila berbincang supaya anak tidak berasa takut, cemas atau enggan pergi ke sekolah. Hindarkan sikap mendesak atau tidak mempercayai kata-kata anak kerana cara itu hanya akan membuatkannya makin tertutup untuk berkongsi masalah.
# Lepaskan anak secara bertahap.

Pengalaman pertama bersekolah tentu menimbulkan perasaan resah kepada anak kerana suasana yang masih asing baginya. Oleh itu, lepaskan anak secara bertahap, misalnya pada hari pertama, ibu bapa boleh menemani seharian manakala keesokanny,a separuh hari dan begitulah seterusnya sehingga anak ada keyakinan diri untuk pergi sendirian.
# Dapatkan runding nasihat psikologi atau kaunselor jika masalah berlarutan.

Jika anak tidak dapat mengatasi fobia sekolahnya hingga jangka waktu yang panjang itu menandakan adanya masalah psikologi dan perlu ditangani secara profesional oleh ahlinya. Apatah lagi, jika fobia sekolah mengakibatkan anak ketinggalan pelajaran, prestasinya menurun dan hambatan penyesuaian diri yang serius. Oleh itu dapatkan khidmat nasihat pakar psikologi atau kaunselor secepat mungkin.

Sumber: Berita Harian 19 Mac 2007


Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]





rahsia clickbank


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Anak fobia sekolah perlu ditangani segera | children's, kids, education and school , child, baby, parent MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top