728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

14 February 2007

CMV setiap kali hamil | Question and ask all about marriage, life, money

Doktor,
SAYA berusia 31 tahun dan telah berkahwin selama empat tahun. Saya keguguran sebanyak empat kali sepanjang perkahwinan saya. Keguguran selalu berlaku pada minggu kelapan hingga kesembilan kehamilan.

Setiap kali keguguran, doktor mengambil sampel darah dan mendapati saya mempunyai virus sitomegalovirus (Cytomegalovirus/CMV). Selepas melalui proses pendilatan dan pengkuretan (D&C) serta mengambil ubat yang disarankan oleh doktor, virus berkenaan tiada.

Tetapi setiap kali kehamilan dan keguguran, CMV jugalah jawapan yang diberikan oleh para doktor. Persoalannya doktor, bolehkah CMV ini diubati dan bolehkah saya hamil dan mengekalkan kehamilan saya setelah dua tahun tidak mencuba untuk mengandung.

– FARA

————————

Jangkitan CMV

Jangkitan virus sitomegalovirus (CMV) boleh didapati di antara 35 peratus sehingga 100 peratus populasi dewasa.

Jangkitan CMV selalu terdapat pada suatu kawasan tertentu dengan kadar prevalens/ kekerapan yang lebih tinggi dalam golongan sosioekonomi yang rendah dan mereka yang tinggal dalam keadaan persekitaran yang kurang bersih.

Di kalangan wanita dewasa, jangkitan CMV selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala, tetapi penyakit ini akan diaktifkan oleh keadaan immunotupresi sementara yang dikaitkan dengan kehamilan.

Jangkitan pada janin adalah ekoran daripada infeksi maternal/keibuan primer atau yang diaktifkan. CMV merebak dari seseorang kepada yang lain dan mempunyai tempoh inkubasi selama 21 hari.

Wanita hamil boleh memindahkan virus CMV semasa peringkat antenatal, ketika proses bersalin dan juga semasa menyusukan bayinya.

Walaupun kebanyakan ibu hamil ini tidak menunjukkan sebarang gejala, terdapat mereka yang mempunyai sakit tekak, demam, sengal-sengal badan dan keletihan yang berlebihan.

Jangkitan CMV yang berlaku di peringkat awal kandungan akan menyebabkan keguguran. Bayi yang dilahirkan adalah lebih cenderung untuk menunjukkan gejala penyakit yang teruk jika ibu dijangkiti CMV sebelum kandungan berusia 20 minggu.

Ini berbeza dengan bayi yang dijangkiti oleh CMV semasa proses bersalin atau diberikan susu ibu di mana bayi ini tidak mempunyai sebarang masalah. Bayi yang dijangkiti oleh CMV akan mengumuhkan CMV untuk beberapa waktu selepas dilahirkan.

Jangkitan kepada janin dan kesan daripada jangkitan ini boleh berlaku pada bila- bila masa semasa hamil dan tidak terhad kepada 16 minggu pertama kehamilan.

Kecacatan janin yang serius boleh berlaku walaupun ibu hamil bukan mendapat jangkitan CMV primer. Virus CMV boleh diasingkan di antara 12 hingga 14 peratus wa nita hamil, terutamanya semasa trimester ketiga.

Dalam golongan wanita hamil ini, 40 peratus janin mendapat jangkitan dengan 90 peratus daripada bayi yang dilahirkan tidak menunjukkan sebarang gejala.

Walau bagaimanapun, 20 peratus hanya menunjukkan gejala selepas sesuatu tempoh masa. Daripada 10 peratus bayi yang dilahirkan dengan gejala, sebanyak 33 peratus daripadanya meninggal dunia manakala 67 peratus mengalami komplikasi jangka masa panjang.

Jangkitan kongenital melibatkan sistem saraf dan otak seperti konvulsi, kalsifikasi intraserebral, kecacatan mental, mikrosefali, gangguan motor dan kilang pendengaran.

Virus CMV juga melibatkan hati menyebabkan jaundis (penyakit kuning), pembengkakan hati dan limpa, hepatitis kronik dan korioretinitis sekiranya melibatkan mata.

Virus CMV didiagnosis dengan peningkatan antibodi IgM dan IgG pada ibu hamil. Semasa dalam kandungan, janin boleh dikenal pasti telah dijangkiti melalui pensampelan darah – Letal Blood Sampling – di mana antibodi IgM dikesan dan virus dikultur.

Bagaimanapun, kaedah tersebut hanya menunjukkan paras antibodi IgM yang meningkat dalam 50 peratus sahaja. Ia juga mempunyai risiko meningkatkan kadar jangkitan.

Pada masa ini, tiada rawatan efektif untuk jangkitan CMV. Tiada vaksin yang boleh diambil untuk mengelakkan jangkitan CMV. Walau bagaimanapun, beberapa langkah boleh dipraktikkan untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Kajian menunjukkan bahawa virus CMV didapati dalam air liur dan air kencing. Oleh itu, amalkan membasuh tangan selalu lebih-lebih lagi apabila bersentuhan dengan mereka yang telah dijangkiti.

Di samping itu, puan boleh mencuba mengambil langkah-langkah yang dapat mempertingkatkan sistem imun supaya jangkitan semula adalah pada tahap minimum.

Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pakar Shah Alam, Selangor. Dr. Kamsuraini Ibrahim.

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]



rahsia clickbank
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: CMV setiap kali hamil | Question and ask all about marriage, life, money Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top