728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

24 February 2007

Angkara orang ketiga | Married, Couple, Health care, Family Planning, MALAYSIA

Angkara orang ketiga | Keluarga & Perkawinan | Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat| www.e-keluarga.com| www.lppkn.gov.my|  KELUARGA v.2 | Rahsia Keluarga Bahagia | Gambar Keluarga Fasha Sandha | Yayasan Pembangunan Keluarga  | Married, Couple, Health care, Family Planning, MALAYSIA
Tiada kata yang terluah untuk menceritakan apa yang dirasa kala menatap gambar muka depan akhbar Utusan Malaysia, Selasa lalu.

Memilukan, sayu dan hiba mengenangkan kematian tragis dua beradik di tangan ibu mereka sendiri.

Puncanya hanya kerana si ibu mengsyaki suaminya ingin berkahwin lagi. Ia belum benar-benar terjadi, bagaimanapun naluri wanita yang tidak ingin berkongsi kasih mengubah keadaan menjadi begitu tragik.

Nyata sekali, tekanan yang dihadapi menjadikan si ibu hilang pertimbangan dan menjerut leher kedua-dua anaknya sehingga mati. Alangkah sedihnya! Masalahnya daripada ibu bapa, anak pula menjadi mangsa.

Kisah yang berlaku di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu sepatutnya membuka mata masyarakat khasnya pasangan suami isteri akan pentingnya bertolak ansur dan persefahaman dalam kehidupan rumah tangga.

Kaum lelaki, khasnya para suami perlu mengambil iktibar daripada kejadian menyayat hati ini. Berlaku adil kepada isteri adalah jalan terbaik. Berterus teranglah dan jangan terlalu berahsia dengan si isteri.

Sesuatu perlu dilakukan untuk menghalang kejadian seperti ini daripada berulang. Ibu bapa dan mentua juga perlu memainkan peranan. Tegur ajar anak menantu dengan cara terbaik mampu menghalang perselisihan faham berlanjutan.

Pasangan yang ingin berkahwin perlu ditebalkan dengan pemikiran lebih positif terhadap tanggungjawab untuk berumah tangga, bukan sekadar untuk hidup bersama. Kemurungan isteri perlu dikongsi bersama oleh suami. Bukan melarikan diri.

Trend mencari orang ketiga dalam hidup elok difikirkan sedalam-dalamnya. Jangan terburu-buru. Utamakan hukum Tuhan daripada hukum dunia.

Yang berlaku telah berlaku, takdir Tuhan telah tertulis. Menangis keluar air mata darah sekalipun, tidak akan mengembalikan dua beradik yang tidak berdosa itu.

Secara kebetulan kisah ini tragis ini mengingatkan saya kepada pertemuan dengan seorang wanita yang saya namakan Syida bersama dua anaknya berumur tiga tahun dan setahun lebih di Hentian Putra, Kuala Lumpur ketika menghantar anak perempuan saya pulang ke Terengganu baru-baru ini.

Kisah seorang isteri yang datang ke bandar raya Kuala Lumpur untuk mencari suami yang sudah empat bulan tidak pulang dengan alasan mencari kerja.

Sejam memerhati, melihat dan membuat andaian, saya tertanya-tanya juga, ke manakah suaminya? Masakan membiar isteri dengan anak-anak kecil itu sendirian di stesen bas.

Sebaik bas yang dinaiki anak saya berlalu, saya nekad menghampiri wanita itu yang berusia awal 20-an sambil berpura-pura bertanya hendak ke mana.

“Balik Kota Bharu,” jawabnya lembut dalam loghat Kelantan yang pekat.

Saya menghulur tangan bersalam dan memperkenalkan diri. Kemudian memegang pipi salah seorang anaknya yang ketika itu sedang menangis.

“Suami mana?’’ tanya saya.

Dia mengeleng kepala, merenung wajah saya dengan pandangan penuh makna. Pada matanya saya perhatikan ada air jernih yang mula bertakung.

“Maaf kalau soalan kakak menyinggung perasaan adik,’’ balas saya dengan rasa bersalah setelah mengetahui tujuannya datang ke Kuala Lumpur.

Ketika itu anak-anaknya masih belum berhenti menangis.

“Tak apa kak. Saya tidak ambil hati pun. Saya sudah dua hari kat sini… cari suami yang dah empat bulan tak balik.

“Katanya, datang sini nak cari kerja. Tapi kata kawan-kawannya di kampung dia sudah bernikah lain. Sebab itu dia lari ke sini,’’ kata Syida tenang mengawal kesedihan.

“Ada alamatnya? Di mana tempat kerja dan rumahnya di sini?” tanya saya ingin kepastian.

“Ada alamat yang dia bagi. Tapi apabila saya pergi ke sana, rupanya kedai Cina. Nampak sangat dia menipu. Saya dah tak larat nak cari dia. Duit pun dah habis. Saudara mara pula tidak ada di sini,’’ katanya meluahkan apa yang ingin saya tahu tanpa di minta.

Mendengar kisahnya saya hilang kata-kata. Sayu yang teramat sangat mengenangkan bagaimana isteri-isteri diperlakukan demikian rupa oleh lelaki yang bergelar suami.

Dalam kes Syida ini, saya tidak tahu perkara sebenar tetapi kalau benar apa yang diceritakannya, pada saya amat kejam sekali perbuatan suaminya itu.

Sudah pendek akalkah kaum Adam sekarang? Tidak tahu menghargai isteri dan anak-anak yang dianugerah Allah. Kenapa tidak dijaga dengan baik sehingga ke akhir hayat? Susah sangatkah nak jaga isteri dan anak-anak daripada mencari orang ketiga untuk bertakhta di hati?

Saya tidak terus dibuai perasaan marah ketika itu tetapi lebih memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah Syida yang berada di depan saya ketika itu. Lalu saya bertanya pukul berapa bas yang hendak dinaikinya.

“Pukul 11.00 pagi. Entah sudah sampai ke belum,’’ katanya sambil menghulurkan tiket basnya.

“Adik saya yang belikan tiket itu..,’’ tambahnya seperti tahu saya ingin mengajukan soalan tersebut.

Melihat jam di tangan, baru menghampiri pukul 10.30 pagi, saya mempelawa Syida makan tetapi ditolaknya dengan lembut. Puas dipujuk dia enggan juga. Saya pula tidak mahu memaksa kerana faham mungkin dia malu.

Lalu mereka saya tinggalkan sekejap. Saya kembali dengan membawa air mineral, biskut, roti dan coklat dan menghulurnya kepada Syida. Dia tersenyum dan mengambilnya sambil mengucapkan terima kasih.

Lima belas minit terakhir saya habiskan dengan bergurau dan berbual dengan Syida. Banyak yang kami bualkan termasuk hal-hal berkaitan rumah tangga dan keluarga. Saya nasihatkan Syida supaya bersabar dan berdoa agar satu hari nanti suaminya akan kembali ke pangkuannya.

Pertemuan sejam itu cukup berharga buat saya. Terasa kami macam sudah lama kenal.

“Terima kasih kak kerana sudi menunggu dan berbual dengan saya..,terima kasih banyak-banyak!’’ kata Syida sebaik pengumuman bas yang hendak dinaikinya tiba di platform berkumandang.

Saya tidak sanggup lagi menentang anak matanya yang suram. Manik-manik putih mula menitis di pipinya dengan kedua-dua anaknya erat dalam dakapan.

Setelah memastikan beg yang dibawa dimasukkan, saya mengiringi Syida ke pintu bas. Sebelum berpisah, kami bersalaman. Saya menyelitkan buah tangan untuk Syida dan anak-anak.

Syida berusaha menolak tetapi saya katakan kepadanya, itu rezeki anak- anak.., ambillah!

Dia tersenyum dan membimbing anak-anaknya menaiki bas. Saya juga tidak lupa menitipkan pesanan kepada pemandu bas supaya melihat ketiga-tiga beranak itu. Apabila pemandu bertanya sama ada Syida saudara saya, saya tersenyum dan mengangguk.

Sebaik bas dinaiki Syida dan anak- anaknya berlalu, saya masih terpaku disini untuk beberapa saat. Apakah nasib mereka selepas ini?

Hentian Putra saya tinggalkan dengan satu keinsafan! Hidup ini sesungguhnya satu perjalanan yang sukar dan penuh ujian.

Ujian itulah juga yang dilalui oleh dua wanita yang kisahnya saya sentuh minggu ini. Pencarian dua isteri untuk mendapatkan kepastian tentang kesetiaan dan ketelusan hati seorang suami gara-gara ‘angkara orang ketiga.’

Serta merta saya teringatkan Syida dan anak-anaknya. Apa khabar mereka sekarang?

Hingga saat ini masih terbayang-bayang lambaian dan wajah Syida dan anak-anaknya di sebalik cermin bas.

Makin lama makin jelas. Begitu juga wajah jenazah dua beradik Muhammad Aliff Haqimi dan Muhammad Aliff Hazmi yang kini telah sempurna disemadikan untuk satu lena yang panjang di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Batu Maung, Pulau Pinang.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka! Al-Fatihah.

Salam.

- NORMALA HAMZAH (kaknor@utusan.com.my)

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]



rahsia clickbank
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Angkara orang ketiga | Married, Couple, Health care, Family Planning, MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top