Breaking News

Untuk yang suka membujang...

JIKA anda memilih untuk terus hidup membujang, risiko anda mati adalah lebih tinggi berbanding mereka yang merokok. Itulah kesimpulan yang diperoleh melalui perbandingan kajian di University of Warwick, United Kingdom dua tahun lalu.

Kajian ini menunjukkan betapa kehidupan mereka yang berkahwin adalah jauh lebih baik daripada mereka yang bujang.

Hampir sebahagian besar kajian di luar negara mengakui betapa sesebuah perkahwinan memberi kesan yang positif pada kesihatan, terutama pada emosi.

Antara yang disebutkan ialah, lelaki yang berkahwin, lebih panjang usia berbanding mereka yang memilih untuk terus hidup membujang.

Saintis juga bersependapat, sokongan sosial antara suami isterilah menyumbangkan kesan positif pada emosi mereka. Tetapi, keistimewaan ini tidak diperoleh di kalangan mereka yang hidup menyendiri.

Kajian oleh sepasukan penyelidik di Stockholm, Kanada juga menyokong pandangan ini. Lelaki yang tidak berkahwin mati lebih awal berbanding mereka yang berkahwin. Para penyelidik berpendapat, salah satu cara untuk mengurangkan risiko diserang angin ahmar ialah dengan berkahwin. Sekalipun, sebabnya masih samar-samar, mereka percaya, semuanya gara-gara sokongan emosi yang diterima antara pasangan terbabit.

Sehubungan itu, bukan satu yang memeranjatkan jika kajian yang dilakukan oleh agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS) mendedahkan perkahwinan menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan warga tua.

Mereka, lebih cenderung sarapan pagi, memakai tali pinggang keledar, menjalani pemeriksaan tekanan darah, bersenam dan tidak merokok.

Kajian yang dilakukan di Universiti Harvard juga tidak kurang menariknya. Paras hormon testosteron di kalangan lelaki bujang dikatakan jauh lebih tinggi berbanding lelaki yang berkahwin.

Hormon yang tinggi pada lelaki bujang ini, menyebabkan mereka terdorong untuk mencari pasangan.

Menurut saintis, interaksi secara berterusan dengan ahli keluarga menyebabkan paras hormon testosteron rendah pada lelaki yang berkahwin, sekali gus menggalakkan mereka menjadi suami yang setia.

Istimewanya sesebuah perkahwinan mungkin tidak disedari oleh segelintir daripada masyarakat negara ini yang ingin berkahwin lewat atau memilih hidup membujang.

Kemungkinan, mereka melihat institusi perkahwinan sesuatu yang begitu menyulitkan dan membebankan. Apa pun, isu kahwin lewat, memang banyak pro dan kontranya.

Fenomena berkahwin lewat yang melanda masyarakat Islam tujuh tahun kebelakangan dikhuatiri boleh menjejaskan masa depan institusi kekeluargaan.

Selain boleh memberi kesan pada aspek sosial, trend ini juga diburukkan apabila keupayaan wanita untuk melahirkan anak semakin menurun.

Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, dan Perubatan Reproduktif,Jabatan Obstetrik & Ginekologi (O&G), Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Paul Tay Yee Siang, bersetuju dengan kenyataan ini.

Trend berkahwin lewat boleh menjejaskan pertambahan penduduk di sesebuah negara. Menurut beliau, peluang wanita untuk mendapat anak juga semakin tipis apabila usia meningkat jika dibandingkan dengan wanita muda.

Apabila wanita mencecah usia 35 tahun, tahap kesuburannya mula menurun dan kebarangkalian untuk hamil juga rendah,'' katanya.

Kebarangkalian untuk hamil ini semakin menurun apabila wanita mencecah usia
40 tahun. Kadar penurunan ini sebanyak 10 peratus.

Sebaliknya, jika dibandingkan dengan wanita muda, kebarangkalian untuk hamil adalah 90 peratus. Sehubungan itu, wanita yang berusia 35 tahun ke atas, merancang ingin mempunyai anak, tetapi masih belum hamil selepas enam bulan berkahwin dinasihatkan berjumpa doktor.

Mengulas perbezaan ini, Yee Siang menjelaskan, ovari wanita umpama kilang yang menyimpan telur. Apabila digunakan melalui pusingan haid setiap bulan, lama-kelamaan pada satu peringkat ia akan habis.

Fasa apabila telur tidak lagi dikeluarkan, ini dikenali sebagai menopaus atau putus haid.

Telur akan mula dikeluarkan apabila remaja perempuan mencecah usia baligh pada usia 12 atau 13 tahun. Setiap kali pusingan haid sebanyak 20 hingga 30 telur akan digunakan dan hanya telur yang terbaik saja akan disenyawakan,'' jelasnya.

Setelah wanita mencecah usia 40 tahun, semua telur hampir habis digunakan. Secara umum, setiap wanita dilahirkan mempunyai antara dua hingga tiga juta telur.

Atas alasan ini, katanya tempoh ideal untuk seseorang wanita berkahwin dan hamil antara usia 20 hingga 35 tahun. Tetapi, fenomena ini berbeza dengan lelaki. Sekalipun, mereka mencecah usia 70 tahun, lelaki masih boleh menghasilkan anak.

Tidak seperti wanita, organ dalam tubuh lelaki bukan kilang menyimpan sperma, tetapi bertindak sebagai pengeluar yang boleh menghasilkan sperma.

Selagi mereka menjalani kehidupan secara sihat, tidak merokok dan tidakminum minuman keras lelaki masih menghasilkan sperma sekali gus mempunyai anak.

"Sebab itu bukan sesuatu yang menghairankan, apabila lelaki berusia memilih berkahwin wanita muda,'' ujarnya.

Yee Siang menambah, wanita yang berkahwin lewat bukan saja berdepan denganimplikasi kesuburan.

Malah, mereka juga boleh menghadapi pelbagai komplikasi lain sepanjang kehamilan dan semasa proses kelahiran.

Wanita-wanita ini juga kemungkinan berdepan dengan risiko keguguran atau menghidap penyakit diabetes, hipertensi semasa hamil.

"Penyakit-penyakit seperti ini akan menyukarkan wanita terbabit melahirkan anak secara normal dan alternatif yang ada ialah pembedahan Caesarean,''katanya.

Mengulas risiko melahirkan anak Sindrom Down di kalangan wanita berusia lebih 37 tahun, ia hanya satu peratus saja.

Sebetulnya, kata beliau anak Sindrom Down juga boleh dilahirkan oleh wanita muda kerana ia berkait dengan masalah kromosom.

Yee Siang juga menasihatkan wanita yang menghidap penyakit-penyakit kronik seperti diabetes dan hipertensi supaya mendapatkan nasihat doktor sebelum merancang hamil.

Ini kerana, ubat-ubatan yang diambil untuk mengawal penyakit-penyakit seperti ini boleh menyebabkan kesan sampingan pada pembentukan janin dalam kandungan.

Beliau turut menyarankan kepada wanita berkahwin supaya mengamalkan pengambilan makanan tambahan seperti asid folik. Asid folik, sejenis vitamin B yang dapat membantu mengurangkan risiko melahirkan bayi yang cacat tiub saraf dan keguguran.

Kekurangan asid folik, selain mengakibatkan kecacatan saraf tunjang, bayi juga mengalami lemah kaki dan kegagalan mengawal pundi kencing.

Biasanya, wanita yang berkahwin tidak mengetahui bila mereka akan hamil, jadi ada baiknya amalan makan asid folik sebanyak lima miligram sebulan sebelum hamil dan tiga bulan selepas disahkan hamil,'' jelas beliau.

Sekalipun, ia boleh diperoleh melalui makanan seperti nasi, emping jagung dan sayuran hijau, kuantiti ini masih tidak mencukupi.

Begitu juga dengan penyakit kanser. Wanita yang berkahwin lewat tidak mempunyai anak atau wanita yang tidak berkahwin, berisiko menghidap kanser buah dada dan ovari.

Ini kerana organ-organ ini dirangsang oleh hormon estrogen setiap bulan.

Sekiranya mereka hamil, proses pengeluaran hormon ini terhenti selama 10 bulan, jadi secara tidak langsung ia merendahkan risiko untuk mendapat kanser ini,'' katanya.

dipetik dari infogossip

No comments