Breaking News

Memilih Pasangan

Perkahwinan dianggap dasar kepada pembentukan sebuah keluarga, masyarakat dan negara. Maka pemilihan pasangan hidup menjadi sangat penting dan kritikal. Selalu kita dengar dan lihat sebuah rumahtangga hancur berderai walaupun baru didirikan. Mungkin ada tembelang yang pecah, lalu meledak dan meranapkan sebuah perkahwinan.

Terdapat beberapa pendapat tentang jodoh. Apa yang penting bagi kita adalah usaha dan tawakal kepadaNya. Rujuklah kepada garis panduan yang telah diberikan. Semoga kita selamat dan mendapat berkat. Insyaallah.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, kerana dia akan dapat menuntun tanganmu".
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain disebutkan yang ertinya:

".......... Beruntunglah orang yang memilih kerana agamanya, kerana ia akan dapat menuntun tanganmu".

Kita semua mengetahui bahawa harta benda akan musnah. Kecantikan juga akan pudar bila dimamah usia, bila diserang penyakit atau kemalangan. Pangkat dan keturunan tidak kekal selamanya. Cuma ilmu dan ketaatan pada agama akan terus menjadi amalan sepanjang hayat.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Kamu jangan berkahwin dengan seorang perempuan kerana kecantikannya, kerana kecantikan akan memusnahkan dirinya. Jangan kamu berkahwin dengan perempuan kerana kekayaannya kerana kekayaan akan membuat derhaka. Kahwinlah dengan perempuan kerana agamanya. Sesungguhnya bahawa seorang perempuan pesuruh yang baik pengamalan agamanya adalah lebih baik dikahwini, sekalipun berkulit hitam dan cuping telinganya berlubang besar".

Meminang

Apabila seseorang laki-laki berhasrat untuk berkahwin , adalah digalakkan beliau mempelajari dan mengetahui akan sifat wanita solehah. Kerana yang demikian dapat membantu dalam membuat pilihan bakal isterinya.

Sebelum Meminang

Tidak menjadi kesalahan bila seorang laki-laki ingin mengenal pasti keadaan jasmani wanita (bakal isteri). Adakah dia sihat atau punya penyakit, kecacatan, gemuk atau kurusnya, putih atau hitamnya dan bagaimana raut wajahnya. Untuk keperluan ini semua, seorang laki-laki yang betul-betul berazam untuk memperisteri seorang wanita dibenarkan melihat wanita yang dimaksud. Melihat di kala itu adalah darurah.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Jika seseorang di antara kamu meminang seorang perempuan, maka tidak mengapa baginya (tidak berdosa) melihat sesuatu dari perempuan tersebut, apabila melihatnya memang keperluan untuk meminang, sekalipun dia tidak mengetahui". (H.Riwayat Iman Ahmad)

Walaupun melihat bakal isteri dibolehkan, tidak bererti boleh melihat dengan sesuka hatinya hingga melanggar ketetapan syarak. Ia tertakluk kepada beberapa syarat:

  • Mesti disaksikan oleh salah seorang muhrim siwanita. Tidak boleh berdua-duaan saling pandang memandang.
  • Melihat wanita yang akan dipinang hanyalah setakat wajah dan tapak tangannya saja.
  • Dengan melihat pada tapak tangannya dapat diketahui apakah wanita itu berbadan besar segar atau tidak, halus atau kasar. Dengan melihat pada wajahnya dapat diketahui apakah wanita itu cantik atau tidak. Cuma itu saja dapat dilihat.
Dalam hadis lain disebutkan: Ertinya:

"Apabila seseorang di antara kamu meminang perempuan, jika ia dapat melihat apa yang menarik sehingga ingin mengahwininya, lakukanlah itu". (H.R.Ahmad dan Abu Daud)

Melihat wajah wanita dan telapak tangannya dapat dilakukan sendiri oleh lelaki yang akan meminang dengan syarat seperti di atas.Hal-hal lain seperti tutur kata, akhlak dan hal-hal lain yang perlu tentunya susah dilakukan oleh lelaki. Dalam hal-hal ini dia boleh mengutus wanita dari kalangan keluarganya untuk merisiknya. Wanita yang dipercaya itu akan bergaul dan mengenali calon isteri dari dekat dan seterusnya dapat memberitahukan pada pihak laki-laki apa-apa
maklumat yang diinginkannya.

Syarat-syarat Wanita Yang Dipinang

a. Bukan Pinangan Orang Lain

Meminang wanita yang telah dipinang oleh laki-laki lain hukumnya haram di sisi syarak. Kerana yang demikian itu dapat merosakkan persaudaraan dan menyakitkan hati orang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Ertinya:

"Seseorang laki-laki tidak boleh meminang wanita yang telah dipinang oleh saudaranya (orang lain sesama muslim) sebeulum laki-laki yang meminang terdahulu meninggalkannya (telah putus hubungan pertunangan), atau tunangan terdahulu itu mengizinkannya". (H.R. Bukhari)

Apabila diketahui bahawa tunangan terdahulu sudah jelas tidak menghendakinya lagi, atau sudah putus hubungan pertunangan, maka lelaki lain boleh meminang tanpa izinnya.

b. Bukan Wanita Yang Ditalak Tiga Oleh Dirinya

Lelaki yang telah mentalak tiga terhadap isterinya, dia tidak boleh meminang lagi bekas isterinya, sehinggalah wanita tersebut telah bertahallul (dikahwin oleh laki-laki lain kemudian dicerai setelah disetubuhi). Apabila masa iddahnya telah habis maka bekas suami pertama boleh meminangnya semula.

c. Bukan Pada Masa Iddah

Tidak boleh (haram) meminang wanita yang sedang iddah bukan darinya. Tetapi bila wanita sedang iddah bukan talak raj'iy seorang laki-laki boleh meminangnya dengan cara ta'ridh (sindiran). Jadi tidak boleh meminang secara berterus terang. Contoh pinangan degnan ta'ridh adahal; "Engkau lawa' atau "Ramai orang yang sukakan engkau' dan lain-lain. Talak Raj'iy ialah talak satu atau dua, jadi masih ada kemungkinan bagi sisuami merujuk isterinya semula. Wanita
yang ditalak raj'iy tidak boleh dipinang secara ta'ridh apa lagi secara terang-terangan (tasrih). Merahsiakan Pinangan Pinangan sebaiknya dirahsiakan dari diketahui oleh orang ramai, gunanya untuk mengelak sesuatu yang tidak diinginkan. Hal ini untuk menjaga kehormatan siwanita itu sendiri seandainya suatu hari kelak pertunangan itu putus atau untuk mengelakkan fitnah-fitnah yang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;

"Umumkan perkahwinan dan rahsiakan pertunangan".

No comments