Breaking News

Hukum Berkahwin dan Fadilatnya

Menurut Saidina Abbas r.a, bahawa tidak sempurna ibadat seseorang kecuali apabila ia sudah berkahwin. Persoalannya adakah kahwin itu suatu ibadat?

Saidina Abbas lebih cenderung untuk meletakkan perkahwinan itu sendiri merupakan suatu ibadat, ataupun ia dikira sebagai suatu kesempurnaan bagi perlaksanaan ibadah.

Yang dimaksudkan oleh Saidina Abbas iaitu tidak tenang hati seorang hendak beribadat kepada Allah SWT kerana dorongan syahwat yang telah ditakdirkan kepada keturunan Adam, kecuali setelah ia berkahwin. Walaupun seseorang itu kuat melakukan ibadat, seorang tok lebai yang baik budi pekertinya dan berakhlak mulia, namun ia terpaksa mengakui keperluan yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT dari segi nafsu syahwat, maka kedudukannya sebagai tok lebai itu belum boleh menjadi suatu jaminan melainkan ia kembali ke fitrahnya yang semula jadi itu untuk berkahwin.

Lebih-lebih lagi di zaman yang penuh pancaroba; buka jendela di pagi hari, sudah lihat perkara-perkara yang boleh mengoda perasaannya. Sedangkan di zaman Saidina Abbas r.a itu pun beliau telah merasakan tidak selamat tanpa berkahwin, betapa pula di zaman sekarang yang begitu banyak pendedahan perkara-perkara yang membangkitkan keinginan seseorang terhadap syahwat.

Oleh yang demikian perkahwinan menjadi suatu perkara yang sangat mustahak kerana ia akan menjadi perisai kepada keimanan.

Tidak sempurna suatu ibadat kecuali ia dilakukan dengan kelapangan hati. Kelapangan dan ketenangan hati akan lebih mudah dicapai setelah Seseorang itu menempuh perkahwinan. Jika seseorang itu memerlukan makan minum dan pakaian serta tempat tinggal bagi menjaga kepentingan fizikal, demikian juga nafsu syahwat yang Allah kurniakan itu juga memerlukan penyelesaian. Jika itu tidak dilakukan maka pastilah ketenangan hati sukar dicapai.

Pernah Saidina Abbas r.a menghimpunkan anak-anak lelakinya yang masing-masing telah remaja, lalu beliau berkata kepada
anak-anak remajanya itu:

"Wahai anak-anakku, jika kamu semua telah mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka beritahulah kepada ku, Insya
Allah aku akan berusaha untuk mengahwinkan kamu., Kerana apabila seseorang manusia telah melakukan zina maka ketika itu Allah SWT cabut iman mereka dari hatinya."

Keimanan adalah suatu hidayah kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya. Sekiranya iman itu telah dicabut lantaran hamba
tersebut melakukan zina maka tidak mudah Ia hendak dibina kembali atau diperolehi semula. Kerana perbuatan zina itu adalah perbuatan orang yang fasik dan zalim yang tidak mendapat hidayah dari Allah SWT.

Demikian beberapa pendapat dan pandangan seorang sahabat Rasulullah SAW tentang perkahwinan dan keperluannya.,
Sesungguhnya banyak keterangan di dalam al-Quran tentang adab-adab nikah, dengan adanya ayat-ayat yang mendorong ke arah perkahwinan itu. Terdapat begitu banyak kisah para nabi-nabi yang menjelaskan kehidupan mereka bersama isteri-isteri serta mempunyai anak dan cucu.

Terdapat di dalam ungkapan dan doa para nabi yang bermohon kepada Allah SWT semoga Allah SWT mengurniakan kepada mereka anak-anak dan cucu sebagai seuatu yang menjadi tenang mata memandang (Qurrota Aaayun). Doa-doa tersebut membuktikan bahawa nabi-nabi atau orang yang soleh melakukan perkahwinan.

Rasulullah juga menjelaskan di dalam hadithnya yang bermaksudkan: "Sekiranya kamu mempunyai anak-anak perempuan yang sudah remaja, lalu datang seseorang yang datang meminang, jika kamu dapati laki-laki yang masuk meminang itu baik akhlaknya, agamanya dan sebagainya, maka segeralah kamu menikahkannya."

Hadith tersebut membayangkan ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk menikahkan anak-anak perempuan mereka yang
remaja, kerana untuk menjaga kebajikan anak-anak remaja itu dan melindunginyadengan perkahwinan itu agar ia terselamat
dan terjerumus ke lembah perzinaan yang membawa kepada keruntuhan akhlak dan iman.



Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]

No comments